Saturday, August 7, 2010

Mahu Bunuh Bayi

Mereka mahu bunuh bayi ini

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
AMPANG: “Saya yakin mereka yang membuang bayi ini berniat membunuhnya,” kata Jamaludin Mawardi, 17, yang menjumpai seorang bayi perempuan dalam pembetung longkang berair berhampiran stesen minyak Petronas di Jalan Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Klang Gate di sini, petang semalam.
DI SINI..Jamaludin menunjukkan tempat bayi terbabit (gambar kecil) ditemui.
Ketika diselamatkan kira-kira jam 3.20 petang, bayi yang masih bertali pusat dan bogel serta terendam dalam air itu diselaputi lumpur dan kotoran serta menangis sekuat hati. Jamaludin berkata, ketika kejadian dia bermain bersama rakan di kawasan itu sebelum terdengar tangisan bayi, namun hairan kerana ia datang dari arah longkang besar tidak jauh dari MRR2. “Saya memberanikan diri meninjau ke dalam pembetung itu sebelum terkejut melihat kaki bayi terjuntai keluar dari longkang berkenaan dan bergerak-gerak. “Sebaik menyedari bayi itu masih hidup, saya memanggil penduduk dan pekerja stesen minyak berhampiran untuk menyelamatkannya,” katanya. Menurutnya, orang ramai berusaha mengeluarkan bayi perempuan itu dari dalam pembetung berkenaan dengan berhati-hati. “Ketika itu saya lihat seluruh tubuh bayi terbabit diselaputi lumpur dan kotoran longkang. Keadaannya teruk dan mungkin akan mati jika tidak diselamatkan segera kerana pembetung itu berair. “Orang yang membuang bayi terbabit binatang berwajah manusia yang tidak ada akal. Saya yakin ibu bayi itu berniat membunuhnya,” katanya. Sejurus dibawa keluar dari pembetung berkenaan, bayi terbabit dibawa seorang wanita yang juga isteri pemilik stesen minyak Petronas berhampiran ke premisnya untuk dibersihkan. Bayi terbabit dimandikan sebelum dibalut dengan kain bersih dan diberikan susu berikutan kelaparan. Isteri pemilik stesen minyak berkenaan, Fadzilah Abdul Majid, 50, berkata keadaan bayi itu kebiru-biruan akibat dibiarkan terendam kesejukan terlalu lama di dalam air. “Keadaan bayi terbabit amat menyedihkan kerana dia baru dilahirkan. Saya tak pasti siapa yang tergamak mahu membunuh bayi yang baru lahir itu,” katanya.Menurutnya, dia menghubungi ambulans untuk membawa bayi berkenaan ke hospital. “Tidak lama kemudian, beberapa petugas Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) bersama ambulans tiba dan membawa bayi itu ke Hospital Ampang untuk rawatan kecemasan,” katanya ketika ditemui wartawan semalam. Menurutnya, dia benar-benar sedih dengan apa yang berlaku dan percaya hanya manusia tidak berhati perut sanggup membiarkan bayi itu mati lemas. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan pihaknya sedang melakukan siasatan bagi mengesan pihak bertanggungjawab yang membuang bayi terbabit di kawasan itu. Menurutnya, bayi berkenaan kini stabil dan dirawat di Hospital Ampang. Pihaknya akan mengambil keterangan beberapa saksi bagi membolehkan siasatan dilakukan secepat mungkin. Kejadian terbaru itu mengulangi insiden sama apabila seorang bayi lelaki yang baru lahir ditemui dibuang di dalam kotak di Jalan Menteri, berhampiran sebuah bank di Sungai Besar, Selangor, jam 9.30 pagi kelmarin. Ketika ditemui bayi terbabit yang berada dalam keadaan bogel hanya ditutupi dengan kotak dengan menampakkan kepalanya sahaja. Bayi itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang bagi pemeriksaan lanjut. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Merekamahubunuhbayiini/Article

Thursday, August 5, 2010

Datuk Ratah Cucu

Datuk nafsu haiwan
Oleh Alias Abd Rani
BETONG: Perbuatan keji seorang datuk bernafsu haiwan yang sering ‘meratah’ cucu perempuannya berusia 13 tahun terbongkar selepas gadis sunti berkenaan berubah sikap secara mendadak apabila dia enggan pulang dari asrama sekolah ke rumah nenek yang menjaganya pada hujung minggu lalu.Perubahan sikap itu menimbulkan perasaan curiga ibu kanak-kanak berkenaan lalu menyelidik lebih mendalam sebelum membongkar rahsia pelajar terbabit sering menjadi habuan nafsu buas datuk tirinya. Lebih memilukan apabila nenek remaja itu sendiri didakwa turut bersekongkol dengan merahsiakan perbuatan suaminya berusia 40-an yang meratah tubuh mangsa sejak lima tahun lalu. Semuanya terbongkar apabila ibu remaja itu mendesaknya menceritakan hal sebenar kenapa dia enggan pulang ke rumah nenek ketika melawatnya di asrama sekolah, kelmarin. Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, mangsa tinggal bersama nenek serta datuk tiri sejak 2005 dan diperlakukan perbuatan terkutuk itu ketika pulang bercuti dari asrama pada hujung minggu.Menurutnya, ketika bertemu ibunya yang melawat asrama Jumaat lalu, mangsa bagaimanapun memberitahu dia tidak mahu pulang ke rumah neneknya lagi dan perkara itu menimbulkan kecurigaan kepada wanita terbabit. “Ibu mangsa cuba memujuknya, tapi pelajar tingkatan satu itu berkeras tidak mahu pulang ke rumah neneknya. “Ibunya kemudian mendesak pelajar itu menceritakan perkara sebenar sehingga mangsa mendedahkan dia sering dirogol datuk tirinya sejak 2005,” katanya. Terkejut dengan pendedahan anaknya, wanita berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong di sini, jam 12.45 tengah hari kelmarin Mohd Bukhori berkata, lelaki terbabit turut mengugut tidak mahu menghantar cucu tirinya ke sekolah jika dia memaklumkan kejadian itu kepada sesiapa. “Mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan dan polis sedang memburu suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Nanga Ajau serta nenek mangsa berusia 40-an untuk membantu siasatan. “Setakat ini, kedua-dua suspek dipercayai sudah menghilangkan diri. Polis sudah ke tempat kerja suspek namun gagal menemuinya,” katanya. Menurutnya, polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Datuknafsuhaiwan/Article

Wednesday, August 4, 2010

Nyaris Jual Anak Demi Sesuap Nasi

Nyaris jual anak demi sesuap nasi
GEORGETOWN - Seorang ibu tujuh anak pernah terfikir untuk menjual anak bongsu kerana kesempitan hidup, apatah lagi sering mendengar anak-anak menangis kelaparan. Namun, apa daya kerana dia tiada berwang untuk membeli makanan jauh sekali memberi keselesaan kepada mereka. Tajenisha Bheevi Sirajidin, 35, mempunyai lima anak hasil perkahwinan pertamanya, manakala dengan suaminya sekarang, mereka dikurniakan dua anak. Malangnya, suaminya kini merengkuk dalam penjara menjadikan kehidupan Tajenisha makin melarat. Menurutnya, tekanan yang dialaminya bertambah berat apabila tuan rumah memberikan tempoh dua minggu untuk dia menjelaskan tunggakan tiga bulan sewa rumah yang mencecah RM1,200. “Saya tak tahu apa akan jadi jika saya tidak dapat membayar jumlah itu dalam tempoh dua minggu ini, mungkin nasib kami lebih buruk dengan merempat di tepi jalan kerana tiada tempat berteduh. Saya buntu sekarang kerana tak tahu kepada siapa saya perlu minta bantuan. “Bukan saya tidak mahu bekerja, tapi siapa nak jaga anak saya bila saya ke tempat kerja? Kalau saya nak hantar ke tempat jagaan, saya tidak mampu. Memang saya tersepit sekarang,” katanya kepada media, di rumahnya di Lintang Batu Lanchang, di sini, baru-baru ini. Tajenisha berkata, sejak tiga hari lalu, dia hanya memberikan air suam bercampur gula kepada anak bongsunya untuk menggantikan susu, manakala anak-anak lain hanya menjamah bubur. “Selama mana saya nak meminta kepada jiran-jiran, mereka juga ada tanggungjawab lain. Pernah saya terfikir untuk menjual anak bongsu yang berusia satu setengah bulan untuk mendapatkan wang dan membeli makanan kepada anak yang lain namun saya batalkan niat itu demi kasih sayang saya kepada anak-anak saya. “Anak sulung saya berusia 18 tahun tinggal bersama suami pertama, manakala yang lain tinggal bersama saya, berumur 16 hingga satu bulan setengah. Apa yang saya terkilan, hanya anak ketiga dan keempat sahaja masih melanjutkan pelajaran di Sekolah Rendah Kebangsaan Jelutong selebihnya tidak bersekolah kerana kesempitan wang. Yang bersekolah pun sebab dapat biasiswa, kalau tidak mungkin mereka juga tidak dapat ke sekolah. “Anak kedua saya kini terpaksa bekerja di gerai roti canai sebagai pembantu gerai dengan gaji RM9 setiap hari mengikut keadaan kerana anak saya bukan pekerja tetap di situ,” katanya. Tajenisha berkata, dia sudah beberapa kali berulang-alik ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan bantuan bagi meringankan beban keluarga sejak Januari lalu. “Namun, sudah enam bulan, mereka tidak memberi apa-apa maklum balas terhadap nasib keluarga saya, malah mereka hanya memberikan jawapan yang sama iaitu menyuruh saya menunggu. "Berapa lama saya nak tunggu, kini tuan rumah telah memberi masa dua minggu bagi mengosongkan rumah jika tidak melangsaikan sewa," katanya. Sementara itu, mereka yang berhasrat menyalurkan bantuan kebajikan kepada keluarga ini boleh menghubungi Tajenisha di talian 016-4715994 016-4715994 atau P Murugiah ( 016-4449246 016-4449246) dari Persatuan Malaysia Hindu Sangam Pulau Pinang ataupun kirim cek atas nama Tajenisha Beevi Sirajidin ke alamat Hon- Secretary Hindu Sangam, Tingkat Satu, 10-A, King Street, 10200 Pulau Pinang. http://www.sinarharian.com.my/utr/content/story8003517.asp

Siapa Tembak Siapa..????

Tembakan dari dalam
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Shamsul Munir Safini dan Abdullah Wahab
am@hmetro.com.my
SUNGAI BULOH: Siapa tembak siapa? Itulah persoalan yang cuba dirungkai polis berhubung kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang, Datuk Abdul Aziz Mohd Noh, 64, dan bekas pembantu peribadinya, Siti Rohana Ismat, 43, dalam kenderaan dipandu mantan Yang Berhormat (YB) itu di Kilometer 455.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, semalam.

MAUT...anggota polis memindahkan mayat Abdul Aziz ditemui mati ditembak dalam kenderaannya, pagi semalam.

Kedua-dua mereka dipercayai ditembak dari jarak dekat berdasarkan tiada bukti tembakan dilepaskan dari luar kenderaan. Siasatan awal polis mendapati terdapat satu kesan tembakan pada kepala Abdul Aziz manakala kepala Siti Rohana mempunyai dua kesan tembakan. Polis turut menemui sepucuk revolver .38 milik Abdul Aziz dalam Toyota Caldina dinaiki mereka.Difahamkan, kereta berkenaan yang dipandu Abdul Aziz adalah milik Siti Rohana. Ibu tunggal beranak empat itu aktif dalam politik dan pernah menjadi pembantu peribadi kepada Abdul Aziz dan kini Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjung Karang. Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi semalam, petugas lebuh raya mulanya menyangka mangsa terbabit dengan kemalangan biasa, namun terpaksa memanggil polis sejurus mendapati punca kematian kedua-dua penumpang kereta berkenaan akibat kesan tembakan. Susulan itu, sepasukan anggota polis unit Forensik Selangor bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebelum mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat. Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis turut menemui sepucuk pistol dalam kereta berkenaan dan senjata itu kini dihantar ke makmal forensik untuk siasatan lanjut. “Terdapat dua peluru yang masih berada dalam chamber pistol (revolver) manakala tiga bekas peluru yang sudah digunakan di dalam chamber. Saya meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu. “Mungkin ia kes pembunuhan atau sebaliknya. Adalah baik sekiranya polis melakukan siasatan lebih rapi terlebih dulu,” katanya sambil memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Anak bongsu Abdul Aziz, Mohd Anis Hisham, 33, berkata dia mengetahui kemalangan menimpa bapanya sekitar jam 12 tengah hari, selepas mendapat panggilan telefon daripada rakannya lalu bergegas ke lokasi kejadian sebelum ke Bilik Mayat Hospital Sungai Buloh. “Saya masih tidak dapat memastikan sama ada bapa saya mati ditembak atau sebaliknya. Apa yang saya tahu, dia sememangnya memiliki lesen senjata api selain menyimpan sepucuk pistol model revolver .38. “Senjata api terbabit yang digunakan untuk tujuan keselamatan kerap dibawa bapa sejak dia menjadi Adun antara 2004 hingga 2008,” katanya. Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati sanak-saudara mangsa serta beberapa ahli politik termasuk Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Azeez Abdul Rahim, berada di pekarangan bilik mayat HSB bagi menziarahi mangsa dan mengetahui punca sebenar kejadian. Menurut Mohd Anis, dia hanya mengetahui bapanya ditemani Siti Rohana dalam perjalanan ke Tanjung Karang dari Petaling Jaya bagi menghadiri aktiviti yang dijalankan Umno bahagian berkenaan. Anggota Exco Pemuda Umno Malaysia itu berkata, kali terakhir dia berjumpa ayahnya awal pagi semalam sebelum keluar meninggalkan rumah yang didiami bersama keluarga di Shah Alam.“Kami bersarapan bersama sebelum membaca akhbar di ruang tamu sebelum keluar untuk urusan masing-masing. Ayah saya adalah mentor saya dan dalam karier politiknya dia disegani semua lapisan masyarakat di kawasannya,” katanya. Menurutnya, Abdul Aziz kini memegang jawatan sebagai Bendahari Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor dan banyak menghabiskan masa dengan kerja kebajikan. Difahamkan, selain Mohd Anis, mangsa meninggalkan dua lagi anak iaitu Nor Azila, 40, dan Nor Azian, 37, serta empat cucu. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tembakandaridalam/Article

Kebas Gaji Isteri Koma

Kikis duit gaji isteri koma


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Malang berganda menimpa seorang isteri yang terlantar sakit sejak lebih setahun lalu apabila dia diabaikan suami yang bukan saja langsung tidak pernah datang menjenguk, malah turut mengikis gajinya yang amat diperlukan untuk menampung kos perubatan menjangkau ribuan ringgit setiap bulan.
KASIH IBU...Robaeyah menjaga anaknya, Zalina yang terlantar.
Zalina Elias, 30, yang juga kakitangan Pejabat Pos Padang Temu, Melaka, kini bergantung hidup kepada ibu kandungnya yang uzur sambil mengharapkan ihsan sanak-saudara. Ibunya, Robaeyah Mansor, 54, berkata penderitaan Zalina bermula kira-kira setahun lalu apabila dia mengalami batuk berdarah sebelum jatuh pengsan dan dimasukkan ke Hospital Melaka hampir dua bulan. Doktor yang merawatnya memberitahu Zalina diserang penyakit tibi, namun agak menghairankan kerana dia selalu tidak sedarkan diri dan koma. “Malah, dia pernah putus nafas hampir 20 minit sebelum doktor memulihkannya. Namun, keadaannya tidak ubah seperti mayat hidup apabila hanya bernafas dengan keadaan mata terbuka tanpa memberi reaksi.“Lebih menyedihkan, sepanjang dia terlantar sakit dua bulan di hospital, mak cik terpaksa menjaganya bersendirian kerana suaminya bersikap acuh tak acuh dan enggan ambil tahu keadaan isterinya. “Hati saya terguris apabila mengenangkan anak perempuan saya yang terlantar tanpa perhatian suami. Saya yang menjaganya sepanjang masa terpaksa membawanya pulang ke kampung di Felda Tenggaroh 3, Mersing, Johor,” katanya. Robaeyah yang kini menjaga Zalina di rumah adiknya di Sijangkang, Banting, Selangor berkata, dia sering menitiskan air mata apabila mengenangkan kelakuan menantu yang langsung tidak mengendahkan keadaan isterinya itu, jauh sekali membantu mengangkat Zalina untuk dimasukkan ke dalam kenderaan bagi menjalani rawatan. “Lebih mengecewakan, semua wang gaji anak saya diambil suaminya berikutan kad juruwang automatik (ATM) dipegangnya. Kami pernah bertanyakannya, namun jawapan diberi amat mengecewakan. “Wang gaji bulanan anak saya RM1,400 sepatutnya boleh digunakan bagi menampung kos rawatan, sebaliknya diambil semua si suami,” katanya.Berikutan itu, kata Robaeyah, adiknya, Ibrahim Mansor, 44, membuat aduan di Ibu Pejabat Pos Besar Malaysia di sini, pada minggu lalu berhubung masalah berkenaan. Katanya, pihak pengurusan Pos Malaysia berjanji memberikan bantuan sewajarnya dan meminta mereka membuka akuan bank baru atas nama Zalina bagi memudahkan urusan memasukkan gaji bulanannya selepas ini. “Saya kesal kerana menantu mengambil kesempatan terhadap penderitaan isterinya dan langsung tidak mahu menjenguk isteri yang terlantar di kampung.Zalina kini seperti dibuang suami dan hanya menunggu detik ajal,” katanya. Menurutnya, kesukaran untuk menjaga Zalina menyebabkan seorang lagi anaknya, Siti Norhamidah Elias, 23, terpaksa berhenti kerja untuk membantu menjaga Zalina. “Bukan mudah menjaganya berikutan Zalina perlu dipantau sepanjang masa walaupun koma. Dia kini hanya hidup dengan minuman susu menggunakan saluran tiub yang dimasukkan melalui hidung.“Kami perlu sentiasa memastikan saluran pernafasan di lehernya yang ditebuk tidak tersumbat lendir dan kahak. Dia juga perlu dibersihkan dan dipakaikan lampin pakai buang, ”katanya. Robaeyah berkata, dia perlu membelanjakan RM60 setiap dua hari bagi membeli susu khas untuk Zalina dan membawanya ke hospital di Johor hampir setiap bulan untuk menjalani pemeriksaan susulan. “Saya dan adik kini berusaha membawa Zalina ke Banting untuk menjalani rawatan secara tradisional. Kami terpaksa mencuba pelbagai cara sama ada moden atau tradisional dengan harapan Zalina akan sembuh,” katanya. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kikisduitgajiisterikoma/Article

Lori Rempuh Sekolah

Lori rempuh sekolah
Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my
BAHAU: Seramai 36 murid tahun lima sebuah sekolah rendah, dekat sini, yang sedang mengikuti kelas agama Kafa, lari lintang-pukang selepas sebuah lori terbabas lalu memasuki kawasan sekolah sebelum merempuh bilik darjah mereka, semalam.
NAHAS...orang ramai mengeluarkan pemandu lori yang merempuh sekolah, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu, semua murid bersama seorang guru agama terpaksa menyelamatkan diri selepas bilik darjah mereka bergegar. Guru agama yang hanya dikenali sebagai Rosiah, 30-an, berkata ketika sedang mengajar, dia dikejutkan dengan satu bunyi amat kuat dan menakutkan. “Sejurus kemudian kelas bergoyang dan cermin kaca nako pecah menyebabkan semua pelajar lari untuk menyelamatkan diri. “Pada mulanya saya tidak mengetahui apa yang berlaku sebelum melihat sebuah lori merempuh tiang bucu kelas tempat saya mengajar,” katanya ketika ditemui, di sini. Beliau berkata, semua pelajar sempat melarikan diri dan tidak mengalami kecederaan dalam kejadian yang menakutkan itu. “Walaupun terkejut, saya bersyukur kerana kami tidak cedera dalam kejadian ini,” katanya. Sementara itu, jurucakap polis berkata, sepasukan anggota dan pegawai bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan siasatan sebaik menerima maklumat mengenai kejadian terbabit. Menurutnya, berdasarkan kepada siasatan awal, kejadian itu dipercayai berlaku apabila lori tanpa muatan yang dalam perjalanan menghala ke Air Hitam itu cuba mengelak sebuah kereta di depannya yang didakwa membrek secara mengejut. “Pemandu berusia lingkungan 30-an itu kemudian mengelak ke kanan jalan sebelum kenderaan berat terbabit dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke dalam kawasan sekolah melalui pintu pagar yang terbuka. “Lori itu merempuh bucu tepi bilik darjah menyebabkan pemandunya tersepit di tempat duduk lorinya yang remuk teruk,” katanya. Katanya, semua pelajar dan guru agama yang berada di dalam kelas bagaimanapun tidak cedera. Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bahau, S Jaganathan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.15 petang. “Sebaik tiba kami mendapati pemandu lori tersepit di dalam kenderaannya yang remuk teruk dan operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira 10 minit,” katanya. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lorirempuhsekolah/Article

Monday, August 2, 2010

Mati Tertimbus

Meraung tiga saudara tertimbus
Gambar Hiasan
POKOK SENA: Seorang abang hanya mampu melihat adik dan adik iparnya serta seorang saudara mereka tertimbus dketika masing-masing sibuk melakukan tugas memasang saluran paip di loji kumbahan Taman Sena 2 di sini, petang semalam.Dalam kejadian jam 4 petang itu, dua daripada mangsa maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi patah tangan. Semua mangsa yang juga warga Bangladesh berusia 30-an berada di dalam lubang yang dikorek di loji berkenaan, manakala seorang lagi berada di atas tebing untuk memasang paip saluran loji berkenaan sebelum tanah di bahagian tepi tiba-tiba runtuh menyebabkan mereka tertimbus kira-kira tujuh meter. Berikutan itu, Shamsul, 30-an, iaitu abang dan abang ipar dua mangsa terbabit menjerit meminta tolong penduduk kampung berhampiran bagi menyelamatkan ahli keluarganya itu. Seorang daripada mangsa yang tertimbus dikeluarkan penduduk dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk mendapatkan rawatan akibat patah tangan. Bagaimanapun, usaha menemubual Shamsul gagal apabila dia meraung kerana tidak menyangka akan kehilangan adik dan adik iparnya sekelip mata sehingga terpaksa ditenteramkan rakan-rakannya. Difahamkan, keempat-empat pekerja itu mempunyai pertalian adik-beradik dan bekerja di kawasan loji terbabit sejak empat bulan lalu dan menyewa di sekitar kawasan itu. Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab, berkata setakat ini pihaknya belum mengenali identiti semua mangsa dan disahkan mereka rakyat asing. Beliau berkata, dalam kejadian itu empat daripada mangsa melakukan kerja mengepam air di saluran loji itu. “Ketika kerja mengangkat pam itu selesai, tiba-tiba tanah di sekitar tebing runtuh dan menimbus dua pekerja terbabit. “Seorang pekerja yang berada di bawah tanah itu selamat dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana mengalami cedera di tangan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Meraungtigasaudaratertimbus/Article

Sunday, August 1, 2010

Manderam Suami

Kaedah jijik ikat nafsu

Oleh FIRDAUS SAHAT, MOHAMAD HUSSIN dan NAZDY HARUN
KUALA LUMPUR: Takut kehilangan suami, terutama akibat godaan gadis menawan, ramai wanita di negara ini, termasuk artis, mengamalkan pelbagai pendekatan khurafat bagi menundukkan suami supaya rumah tangga sentiasa harmoni tanpa kehadiran orang ketiga. Berikutan terdesak, tindakan syirik itu tetap dipraktikkan kerana diyakini kononnya mampu dijadikan benteng untuk menjinakkan suami daripada ‘makan luar’. Pendekatan jijik itu terbongkar apabila beberapa wanita yang ditemui, termasuk seorang pelakon tempatan, mengaku menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional bagi mendapatkan ilmu sihir berkenaan, manakala dua lelaki pula mendakwa menjadi mangsa onar isteri mereka.

PELAKON A, 50-an: “JUJUR saya katakan, artis juga tidak terlepas daripada isu ini. Malah, beberapa rakan saya pernah mendapatkan khidmat bomoh kerana kurang percaya terhadap suami. Kebanyakan mereka bertujuan menjaga rumah tangga dan bukan untuk memperbodohkan suami. Lagipun, kerja dalam bidang seni ini menuntut komitmen berpanjangan. Mungkin disebabkan perkara itu mereka tergerak untuk mendapatkan khidmat bomoh supaya suami tidak berpaling kasih. Terus terang, saya pernah guna khidmat pengamal perubatan tradisional untuk tujuan sama. Sebagai pelakon, masa untuk bersama suami dan keluarga tidak pernah tetap. Malah, saya sering ada di luar kawasan untuk memenuhi jadual penggambaran sehingga berhari-hari tidak berjumpa keluarga. Kerana takut suami menjalin hubungan dengan wanita lain dan lebih teruk, meninggalkan keluarga, saya terpaksa mendapatkan khidmat bomoh bagi mengikat nafsu suami daripada berlaku curang dan tidak memandang wanita lain. Bagaimanapun, saya tidak guna kaedah nasi kangkang, darah haid dan pelbagai perkara lagi untuk membuatkan suami mengikut kata seperti diamalkan rakan. Hakikatnya, saya tidak tergamak memperbodohkan suami hingga ke tahap itu. Saya hanya guna kaedah batang keladi yang bertujuan mengikat nafsu suami daripada mencari wanita lain. Itu sudah cukup bagi saya. Asalkan suami tidak ambil kesempatan terhadap kesibukan saya sebagai anak seni, ia sudah memadai. Tetapi untuk memperbodohkan suami, ia bukan cara saya. Namun itu cerita dulu. Kini saya tidak lagi guna kaedah itu kerana ia berdosa. Walaupun tidak guna cara kotor seperti nasi kangkang dan darah haid, saya tetap rasa bersalah. Kini saya bertaubat dan membuang segala ilmu sihir itu. Alhamdulillah, hubungan saya dengan suami dan keluarga masih utuh sehingga kini.”

ZURINA, 27: “DIPUKUL dan dicampak dari tangga ke lantai menjadi perkara biasa kepada saya. Lebih-lebih lagi saya diperlakukan sebegitu selepas tiga minggu kami sah bergelar suami isteri. Sebelum berkahwin, perangai suami tidak seperti ini. Saya takut perkara ini berterusan. Mungkin sesuatu yang lebih teruk akan menimpa saya jika tidak buat sesuatu. Rasanya kaedah batang keladi cara tepat untuk menjinakkan perangainya supaya kembali menyayangi saya. Sebenarnya, saya mengambil keputusan menggunakan khidmat perubatan tradisional kerana tidak mahu mahligai yang baru dibina berkecai. Tambahan pula saya berasa perubahan terhadap suami ada kaitan dengan kehadiran orang ketiga. Sewaktu bercinta, dia tidak seperti ini tetapi selepas bergelar suami isteri, macam- macam pula berlaku. Mungkin dia jemu dengan saya, lebih-lebih lagi kami bercinta sejak lima tahun lalu. Mungkin juga ada wanita lain di hatinya menyebabkan perangainya berubah. Tambahan pula, pekerjaannya yang sering keluar kawasan memberi kesempatan untuknya mencari wanita lain. Saya tidak berniat jahat. Saya masih menyayangi dan menghormatinya sebagai suami. Saya cuma mahukan keharmonian rumah tangga seperti mana keluarga lain. Saya sedar perbuatan ini salah. Mungkin juga ia syirik sebab percayakan sesuatu perkara tahyul. Namun jika tidak mencuba, apa akan jadi kepada saya? Saya pernah terfikir untuk bercerai dengannya. Begitupun, memandangkan usia perkahwinan kami, saya terpaksa memilih cara ini untuk bertahan. Rasanya penggunaan batang keladi serta jampi tujuh Jumaat berturut-turut akan melembutkan hatinya. Saya berharap perangai liar dan panas barannya akan berubah. Jika tidak buat seperti ini, saya akan menderita apabila terus diperlakukan seperti binatang. Saya fikir ia akan membawa kebaikan. Lagipun, jika suami kembali baik seperti dulu, saya tidak boleh mengambil kesempatan ke atasnya dengan berlaku curang. Jika saya berbuat demikian, semuanya akan menjadi seperti sedia kala dan akhirnya saya akan merasai nikmatnya apabila suami berubah jadi seperti dulu.”

KAMARUDDIN, 29: “TAKTIK isteri menggunakan ilmu hitam untuk menundukkan saya terbongkar apabila helahnya dihidu selepas beberapa bulan dia memperbodohkan saya menggunakan kaedah yang dilarang agama. Saya mendirikan rumah tangga empat tahun lalu dengan seorang jururawat yang bertugas di hospital swasta di ibu negara. Berikutan tuntutan tugas, kami tinggal berjauhan dan hanya bertemu apabila cuti. Rumah tangga kami tiada masalah tetapi selepas ditukarkan ke Terengganu, saya tiada banyak masa untuk diluangkan bersama isteri. Secara diam-diam, isteri yang cemburu dan bimbang saya berlaku curang menggunakan sejenis minyak untuk ‘mengikat’ saya. Saya tidak sangka terkena minyak ‘pengikat’ digunakan isteri kerana kami tiada masalah rumah tangga. Namun, pertemuan dengan seorang pengamal perubatan tradisional yang berlaku secara kebetulan merungkai tindakan isteri saya. Selepas bertemu pengamal perubatan itu, baru saya tahu terkena ilmu penunduk isteri. Bimbang perkara itu berlarutan, saya mendapatkan khidmat pengamal perubatan terbabit untuk mengubati diri. Patutlah saya sering mendapat mimpi menakutkan seperti bertemu hantu sepanjang tempoh terkena guna-guna isteri. Saya juga terasa seperti dikawal ‘pihak’ tertentu. Fikiran saya juga hanya tertumpu kepada isteri, hinggakan saya kerap telefon atau SMS dia. Saya juga ‘hilang minat’ dengan wanita lain biar secantik mana sekalipun. Selepas bebas daripada ilmu penunduk itu, saya bersemuka dengan isteri. Sebaik saya tanya perkara itu, isteri tersentak dan menundukkan kepala kerana tidak menyangka perbuatannya terbongkar. Kami kemudian berbincang dan isteri mengaku kesilapannya menggunakan minyak itu dengan alasan takut ketika berada di negeri ini saya ada wanita simpanan atau akan berkahwin lain. Kejujuran isteri mengaku kesilapan membuatkan saya rasa boleh menerima dan memaafkannya walaupun pada mulanya menyangka rumah tangga bakal musnah. Isteri saya kemudian menemui pengamal perubatan untuk membuang minyak ‘pengikat’ yang dibeli ketika menyertai satu rombongan beli-belah di utara tanah air.”

DARUS, 49: “SAYA dapat tahu bekas isteri membomohkan saya selepas berasa jauh dengan ibu. Sebelum ini saya rapat dengan ibu dan turuti apa saja keputusannya. Saya tidak menyangka bekas isteri yang berusia 45 tahun bertindak demikian semata-mata cemburu melihat hubungan saya dengan ibu kandung begitu akrab. Peristiwa ini terjadi 10 tahun lalu selepas bekas isteri berhenti kerja kilang kerana mahu menumpukan perhatian terhadap keluarga dan ingin membesarkan anak. Hubungan saya dengan ibu memang akrab kerana saya anak sulung dan menjadi tanggungjawab saya menjaga kebajikan ibu. Pada masa sama, saya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga sendiri. Hasil perkahwinan 24 tahun, kami dikurniakan tiga cahaya mata berusia 15 hingga 22 tahun. Sejak bekas isteri berhenti kerja, dia mula menunjukkan taringnya selepas melihat hubungan saya dengan ibu begitu baik. Dia marah kerana saya menuruti segala kehendak ibu, termasuk memberi wang belanja. Beberapa tahun selepas itu perubahannya begitu ketara kerana saya selalu dengar cakap ibu. Apa-apa keputusan saya merujuk kepada ibu sehingga membuatkan dia bertambah marah dan cemburu. Bekas isteri marah sebab saya selalu menyebelahi keluarga sendiri dan tidak mempedulikan keluarga mentua. Dia marah dengan tindakan saya sehingga tergamak bomohkan saya supaya dengar cakapnya. Dia mungkin memasukkan sesuatu dalam masakannya supaya saya melupakan ibu kandung. Sejak itu saya sentiasa mengikut telunjuk bekas isteri, termasuk membeli apa saja yang dia inginkan. Keluarga dan kawan pelik melihat sikap saya yang berubah, termasuk tidak pernah pulang ke kampung ibu. Mereka perasan saya berkeadaan pelik tidak seperti biasa. Saya selalu membangkang cakap mak dan keluarga. Satu ketika apabila tersedar daripada tidur, saya terus teringatkan ibu kandung yang sudah lama terputus hubungan gara-gara perbuatan bekas isteri. Saya marah kerana isteri sanggup bomohkan saya dan kami bergaduh besar sampai saya memukul isteri kerana geram. Saya mengambil keputusan menceraikannya kerana kecewa dengan perbuatannya. Akhirnya dia mengaku buat ubat ‘guna-guna’ dan memberi saya makan.” http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kaedahjijikikatnafsu/myMA/myArticle

Saturday, July 31, 2010

Bogel Itu Seni..???

Bogel itu seni?
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
Katy Perry
Katy Perry kian berani dedah tubuh demi populariti
DALAM persaingan merebut perhatian peminat, penyanyi wanita generasi baru hari ini seakan sanggup melakukan apa saja termasuk menyanyikan lagu dengan lirik bukan-bukan serta mengenakan pakaian lebih seksi. Kini, suara bukanlah satu-satunya senjata yang mampu menawan hati peminat. Kian ramai penyanyi yang lahir disertai dengan bakat suara yang hebat.Justeru, untuk berada setapak di hadapan pesaing, mereka perlu mencipta kelainan, sama ada dari segi imej mahupun mencipta kontroversi yang memastikan orang ramai memperkatakannya kemudian. Jika Lady Gaga menjual albumnya menggunakan imej dan fesyen melampau serta klip video yang ala filem panas, penyanyi berbakat lain seperti Mariah Carey dan Christina Aguilera juga nampaknya tidak mahu kalah apabila semakin hari, semakin jarang serta singkat blaus yang membaluti tubuh masing-masing. Terbaru, Katy Perry yang mula mencipta nama menerusi lagu I Kissed a Girl dan Hot N Cold kira-kira dua tahun lalu, bertindak lebih berani apabila menanggalkan terus pakaiannya untuk gambar kulit album terbarunya, Teenage Drama. Dirakam oleh artis kontemporari, Will Cotton, foto yang bakal dapat dilihat peminat apabila album itu muncul di pasaran Ogos ini, menyaksikan Perry berbaring atas perutnya di atas kepulan awan gula kapas, dengan bahagian punggungnya ditutup sedikit awan berkenaan. Penyanyi yang akan muncul pada MTV World Stage Live in Malaysia 2010! di Sunway Lagoon petang ini, menganggap gambar berkenaan cukup hebat serta boleh diibaratkan sebagai kerja seni yang sebenar. Katanya juga, dia mahukan gambar itu menjadi kulit albumnya saja dan tidak dicetak sebagai bahan promosi. "Saya mahu muncul dengan sesuatu yang mengejutkan dan orang ramai akan mengingatinya buat jangka waktu yang lama," ujar Perry yang nyata begitu teruja dengan hasil kerja Cotton. Sebelum bergambar bogel untuk album terbabit, Perry sebenarnya bukanlah asing dengan aksi melucutkan pakaian di depan kamera. Tidak lama sebelum dia bergambar tanpa seurat benang di badan untuk kulit album, artis kelahiran Santa Barbara, California, Amerika Syarikat (AS) ini pernah melucutkan pakaian ketika dirinya dirakam untuk muka depan majalah Esquire. Dalam gambar berkenaan, Perry yang hanya berseluar dalam fesyen lama dan berkasut hitam, dilihat menutup buah dadanya dengan tangan. Masalahnya, Perry yang dilahirkan dengan nama Katheryn Elizabeth Hudson pada 25 Oktober 1984 tidak hanya menjadi topik perbualan kerana gambar beraninya.Baru-baru ini dia turut menjadi tumpuan apabila bintang pop rock itu mengeluarkan kenyataan berbaur kecaman ke atas klip video Lady Gaga, Alejandro. Perry dikatakan menghentam tindakan Gaga yang tampil dengan aksi berlebih-lebihan dalam pakaian rahib untuk klip terbabit. Sebelum Gaga muncul dengan klip berkenaan, Madonna terlebih dulu mencetuskan kontroversi apabila didakwa mempermainkan agama Kristian menerusi video Like a Prayer. Masalahnya, jika Gaga mempersendakan agama berkenaan, apalah kurangnya dengan Perry yang secara terang-terangan mengaku mencium kaum sejenisnya, malah menyukai tindakannya itu? Tidak cukup dengan komen panasnya ke atas Gaga, penyanyi wanita ini juga dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap penyanyi remaja popular, Miley Cyrus. Kononnya, dia membandingkan Cyrus dengan Britney Spears yang berdepan masalah selepas mencipta kejayaan. Dia berkata begitu tatkala diminta pandangannya ke atas gaya pakaian Cyrus, yang kini dikatakan makin berani. Sedangkan, Perry sendiri menayangkan badannya dalam klip video single popularnya, California Gurls. Seperti menepuk dulang paku serpih pula rasanya. Begitupun Perry menafikan penghinaan yang dilakukannya ke atas bintang remaja terbabit.
Belum berkahwin
HUBUNGAN cinta antara Perry dan pelakon komedi British, Russell Brand, nampaknya semakin kukuh apabila kedua-duanya merancang untuk berkahwin pada Oktober ini. Namun begitu, wujud desas-desus mengatakan mereka sebenarnya sudah pun berkahwin, berdasarkan beberapa kenyataan yang mungkin tidak sengaja keluar daripada mulut kedua-duanya. Umpamanya, dalam satu temubual Perry dilaporkan berkata, kehidupan tidak pernah bosan apabila Brand berada di sisinya. "Sebab itulah saya mengahwininya," kata Perry. Bagaimanapun, tidak lama kemudian mereka menafikan cerita kononnya mereka sudah bernikah, sambil menegaskan perkahwinan hanya akan berlangsung pada Oktober nanti.Sumber yang terbabit dalam perancangan perkahwinan Perry sendiri berkata, penyanyi itu mahukan sebuah majlis perkahwinan besar-besaran. Apatah lagi dia sudah pun beriya-iya menempah gaun daripada pereka terkenal. Jadi, amat mustahil mereka sudah pun melangsungkan majlis itu tanpa pengetahuan sesiapa. Bercerita mengenai hubungan mereka, Brand mengaku amat sukar untuknya berdebat dengan Perry kerana dia tidak pernah mendengar kata-katanya dan wanita itu akan melakukan sesuatu mengikut apa yang disukainya. "Katy akan melakukan perkara yang dia suka. Katakan saya tidak mahu dia membuat sesuatu perkara seperti berbogel, lebih baiklah saya bercakap dengan awan saja," kata pelakon Forgetting Sarah Marshall itu. Menurut pelawak berkenaan, dia sekali-kali tidak akan campur tangan dalam keputusan Perry untuk melucutkan pakaian, sebagaimana dilakukannya dalam klip video California Gurls, walaupun selepas mendirikan rumah tangga. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Bogelituseni_/Article

Tembus Kereta

Besi penghadang tembus kereta
Oleh Shahrul Nizam Mohamad
KUALA LIPIS: Seorang tukang sapu wanita terbunuh selepas kereta Proton Pesona dinaikinya terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sehingga menyebabkan besi itu menembusi kereta mangsa di Kilometer 81, Jalan Lipis-Merapoh, dekat sini, petang kelmarin.
NGERI...keadaan kereta dinaiki mangsa yang ditembusi besi penghadang jalan.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang, Halimah Hamat, 57, dari Gua Musang, Kelantan yang bekerja sebagai tukang sapu di Sekolah Kebangsaan Tengku Muhamad Fakhri Petra, Kelantan maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala. Suami mangsa, Yusuf Che Hamid, 60, yang bekerja sebagai tukang kebun di sekolah yang sama dikatakan mengalami cedera ringan sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis (HKL) untuk menerima rawatan lanjut. Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, turut cedera anak saudara mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang, Nuraiman Azhar, 7. Menurutnya, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa bersama suaminya dikatakan dalam perjalanan menghala ke Seremban, Negeri Sembilan dari Gua Musang, dipercayai untuk menziarahi saudaranya.Katanya, kereta Proton Pesona dipandu Yusuf dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar besi penghadang jalan mengakibatkan besi itu menembusi kereta mangsa. Abdul Razak berkata, mangsa duduk di bahagian penumpang depan dirempuh besi penghadang jalan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian. “Jenazah mangsa dituntut ahli keluarganya selepas bedah siasat selesai dijalankan di HKL, malam kelmarin. “Polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Besipenghadangtembuskereta/Article

Friday, July 30, 2010

Misteri Objek Langgar Kapal Tangki

Misteri objek langgar kapal tangki
GAMBAR fail menunjukkan kapal tangki M. Star
FUJAIRAH – Pihak berkuasa pelabuhan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) semalam menyatakan kemungkinan kapal tangki Jepun, M. Star berlanggar dengan kapal selam atau terlanggar periuk api sehingga mengakibatkan dek kapalnya rosak semasa belayar melalui Selat Hormuz di Teluk Parsi dekat Iran. Pengurus Besar Pelabuhan Fujairah, Kapten Mousa Mourad berkata, pemeriksaan yang dibuat ke atas kapal sepanjang 333 meter itu selepas ia tiba di pelabuhan tersebut menunjukkan kerosakan berlaku akibat kesan pelanggaran dengan sebuah objek. “Kami belum pasti sama ada objek itu kapal selam atau periuk api,” katanya. Seorang wartawan agensi berita Reuters yang melihat kapal itu mendapati terdapat satu lekuk besar empat segi dan beberapa tanda kerosakan di sebahagian badan kapal. Agensi berita rasmi UAE, WAM menyiarkan gambar yang menunjukkan beberapa tingkap dan pintu kapal yang pecah. Sebelum ini, media melaporkan kapal itu dibadai ombak misteri kelmarin manakala kerajaan Jepun menyatakan ia mungkin diserang. Semasa kejadian, kapal itu membawa 2.3 juta tong minyak mentah ke Jepun. Sementara itu di Tokyo, firma kapal tangki kedua terbesar dunia, Mitsui O.S.K. Lines Ltd. yang memiliki M. Star menyatakan, mereka telah mengupah beberapa pakar dalam kes serangan tentera untuk menyiasat kejadian tersebut. – Reuters http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0730&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Kerabat DiRaja Kelantan Rentung

Kerabat Diraja Kelantan rentung
Oleh NUR AISHAH AMIN
KERETA Volvo yang dinaiki Raja Mohammad hangus terbakar selepas dirempuh dari belakang oleh sebuah lori simen di persimpangan KLIA, Sepang semalam.
SEPANG - Cubaan seorang pemandu lori simen dan kelindannya untuk menyelamatkan seorang kerabat Diraja Kelantan daripada hangus gagal apabila lelaki itu rentung selepas kereta Volvo dinaikinya terbakar selepas dirempuh kenderaan berat itu dari belakang. Bagaimanapun, dua lagi penumpang di dalam kereta itu selamat. Datuk Raja Mohammad Raja Ismail, 60, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas hangus 100 peratus manakala seorang rakan dan anak saudaranya yang dikenali sebagai Tengku Mariani, 26, cedera ringan di kepala apabila sempat diselamatkan. Kejadian pukul 8.45 malam di kilometer 31.3 Lebuh Raya Elite dekat susur keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa dilanggar lori berkenaan dari belakang menyebabkan kereta itu terseret sejauh 20 meter sebelum terbakar. Difahamkan, sebaik melihat kereta mangsa dan lorinya terbakar, pemandu dan rakannya bergegas turun sebelum memberi bantuan tetapi malang mereka hanya dapat menyelamatkan rakan dan anak saudara ahli perniagaan itu sahaja. Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Husin Omar berkata, sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) untuk menghantar anak saudaranya menaiki penerbangan ke Kota Bharu, Kelantan. "Pemandu lori dan kelindan itu mendakwa mereka mengeluarkan kedua-dua mangsa melalui tingkap kereta yang pecah sebelum api marak. "Bagaimanapun, ketika hendak menyelamatkan seorang lagi mangsa yang tersepit, api sudah mula marak dan membakar keseluruhan kereta termasuk Datuk tersebut," katanya ketika dihubungi. Tambahnya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Putrajaya sementara jenazah mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0730&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Thursday, July 29, 2010

Jerat Cepat Kaya

Kereta mewah pancing mangsa
Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
KUALA LUMPUR: Kumpulan sasarannya ialah kakitangan kerajaan berpendapatan rendah yang dimomokkan dengan keuntungan amat lumayan mencecah enam angka serta kereta mewah bernilai ratusan ribu ringgit setiap satu.

PELBAGAI...antara kereta mewah di lokasi perjumpaan ahli skim terbabit.

TAHAN...antara ahli skim cepat kaya yang ditahan.

Setiap kali pertemuan, deretan kereta mewah milik ‘upline’ antaranya BMW 5 Series, Nissan Fair Lady, BMW Z4 Spider, Mitsubishi Evo Lancer serta Nissan GTR Skyline akan diparkir di hadapan kafe atau restoran yang menjadi lokasi perjumpaan bagi memancing mangsa, selain menggambarkan keuntungan luar biasa yang bakal diperoleh. Itu taktik digunakan satu sindiket skim cepat kaya yang mengaut keuntungan atas angin dan aktif sejak tiga tahun lalu, kini disertai ribuan ahli di seluruh negara dengan majoritinya kakitangan kerajaan. Berselindung di sebalik nama kelab riadah dan keluarga, sindiket itu menawarkan pelaburan eksklusif dengan menjalankan perniagaan jualan langsung berasaskan produk makanan kesihatan sedangkan ia palsu. Modalnya juga bukan sedikit kerana ahli perlu membuat pelaburan sekurang-kurangnya RM41,000 sedangkan pulangan yang diterima tidak mencecah RM5,000 sebulan. Sesi perbincangan untuk berkongsi pelan pemasaran tidak berakhir dalam sehari. Dalang yang juga upline berpura-pura akan berkongsi keuntungan dan membantu mencarikan modal pelaburan melalui pinjaman bank yang akan diluluskan segera. Selain kereta mewah, dalang lintah darat terbabit sentiasa bermegah-megah dengan barangan mewah dan menceritakan pendapatan mencecah puluhan hingga ratusan ribu ringgit sebulan. Segala taktik itu terbongkar apabila lokasi pertemuan ahli kelab terbabit diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, JSJK Selangor dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) melalui Ops Serama di Pusat Perniagaan Mentari, Bandar Sunway, dekat sini, kira-kira jam 11 malam kelmarin. Ketua Penolong Pengarah (Operasi) JSJK Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa, berkata bertindak atas maklumat dan laporan orang ramai pihaknya menyerbu empat restoran dan menahan kira-kira 100 ahli serta dalang skim terbabit.“Mereka tidak mempunyai pendaftaran syarikat dan bergerak bebas mencari mangsa yang juga kakitangan kerajaan muda serta berpendapatan rendah. Pada peringkat awal, mangsa diminta membuat pelaburan RM41,000. Jika mangsa tidak berkemampuan mereka akan menawarkan pelaburan RM13,000 dan paling rendah RM2,000. “Namun, dek kerana tamak, ada yang sanggup meminjam daripada ahli keluarga dan saudara-mara untuk melabur dengan modal tinggi kerana dijanjikan keuntungan lebih besar,” katanya sambil memberitahu skim itu menjalankan pelaburan berkonsepkan piramid. Rohaimi berkata, jika mangsa gagal mendapat pinjaman daripada institusi kewangan, sindiket itu akan bekerjasama dengan koperasi yang ‘tenat’, namun jika gagal mendapatkan pelabur baru untuk melangsaikan hutang, mereka akan menerima ugutan dan ancaman ala along. “Dalam serbuan itu kami menahan beberapa dalang yang sedang memperdayakan mangsa untuk melakukan pelaburan dan merampas 17 kereta mewah menggunakan nombor pendaftaran 8282, 925 dan 3399 yang menjadi simbol identiti sindiket itu. “Dalang terbabit memujuk serta meyakinkan mangsa terutama mereka yang bekerja sebagai penjawat awam, badan berkanun atau syarikat swasta yang mempunyai panel dengan institusi kewangan kerana mudah membuat pinjaman melalui skim potongan gaji atau Biro Angkasa,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi. Menurut Rohaimi, pihaknya sudah sebulan melakukan intipan dan memerhati pergerakan sindiket penipuan terbabit dan pihak KPDNKK juga menerima lebih 30 laporan berhubung kegiatan itu. “Selepas mengambil keterangan, kami menahan 50 lelaki dan sembilan wanita dipercayai ‘orang kanan’ sindiket terbabit mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan direman sehingga esok.“Siasatan awal juga mendapati, mereka tidak mempunyai sebarang lesen jualan langsung serta pendaftaran syarikat. Segala transaksi pemindahan wang dimasukkan ke dalam akaun individu upline masing-masing,” katanya. Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan KPDNKK Putrajaya, Shahrudin Hamzah meminta orang ramai berhati-hati dengan sebarang skim pelaburan cepat kaya dan berkonsep piramid. “Mereka boleh mendapatkan maklumat melalui laman web KPDNKK bagi mengesahkan sama ada syarikat yang menjalankan aktiviti jualan langsung itu berdaftar atau tidak. Mereka yang meragui kesahihan perniagaan itu diminta membuat laporan di pejabat KPDNKK untuk tindakan selanjutnya. “Skim cepat kaya ini kebiasaannya menyebabkan mangsa terjebak masalah kewangan, kekeluargaan dan kemasyarakatan serta menjejaskan prestasi kerjaya. Ini perkembangan tidak sihat untuk penjawat awam,” katanya. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Keretamewahpancingmangsa/Article

Tuala Wanita Dalam Rahim

Tuala wanita dalam rahim

Gambar Hiasan

Oleh Ahmad Che Doh

TASEK GELUGOR: Seorang ibu muda menderita kesakitan selepas melahirkan anak sulung kira-kira dua minggu lalu, berikutan tuala wanita yang dipercayai digunakan ketika proses kelahiran anaknya tertinggal dalam rahimnya.Nurhidayah Abdul Hamid, 24, dari Permatang Sungai Dua di sini, melalui pengalaman yang memeritkan beberapa hari selepas dia dibenarkan keluar dari Hospital Pulau Pinang (HPP). Mohd Abdul Muhaymin Mustafa, 24, mendakwa isterinya melahirkan anak perempuan secara normal pada jam 10.53 malam pada 15 Julai lalu, sebelum dibenarkan pulang dua hari selepas itu. Apabila berada di rumah, kesakitan yang dialami Nurhidayah semakin serius. Kakitangan Telekom Malaysia itu yang turut demam, dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Dua untuk mendapatkan rawatan, Jumaat lalu.Doktor hanya memberikan antibiotik, ubat demam dan batuk kerana menyifatkan kesakitan yang dialami wanita itu perkara biasa bagi mereka yang baru melahirkan anak.Berikutan Nurhidayah terus mengalami kesakitan dan sukar untuk berjalan, Mohd Abdul Muhaymin membawa isterinya ke sebuah klinik swasta Isnin lalu, sebelum diminta merujuk ke Hospital Kepala Batas (HKB).Apabila pihak hospital melakukan pemeriksaan ke atas isteri saya, doktor mendapati tuala wanita yang dipercayai digunakan menahan darah masih dalam di rahimnya, katanya di sini.Selepas tuala wanita itu dibuang, Nuhidayah dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ), Butterworth, kelmarin, untuk rawatan susulan. Ibu muda itu kini masih dirawat di HSJ dan keadaannya dilaporkan stabil.Mohd Abdul Muhaymin mendakwa seorang pegawai dari HPP menemuinya petang kelmarin berhubung kejadian itu.Pegawai berkenaan mengakui berlaku kesilapan petugas HPP dan memohon maaf di atas kejadian berkenaan, katanya.Beliau yang kecewa dan kesal dengan kejadian itu, mendakwa kejadian berpunca daripada kecuaian doktor dan jururawat yang mengendalikan kelahiran anaknya.Berikutan kejadian itu, Mohd Abdul Muhaymin membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara di Kepala Batas, Isnin lalu.Saya akan mengambil tindakan undang-undang kerana kejadian itu, menjejaskan kesihatan isteri saya. Sepatutnya kejadian itu tidak berlaku jika pihak berkenaan menjalankan tugas dengan berhati-hati, katanya.Beliau berkata, kejadian itu meninggalkan pengalaman pahit terhadap isterinya yang melahirkan anak sulung dan harus menjadi pengajaran kepada hospital berkenaan untuk memastikan perkara itu tidak berulang. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tualawanitadalamrahim/Article/

Wednesday, July 28, 2010

Sijil Halal

Hanya 25 hotel ada sijil halal
Gambar Hiasan
KUANTAN - Pengguna dinasihatkan supaya memastikan hotel yang dipilih untuk menikmati bufet Ramadan mempunyai sijil halal sama ada yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) ataupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal Jaip, Noridzuan Abdul Manan berkata, setakat ini hanya 25 hotel dan resort di negeri ini mempunyai sijil halal bagi restoran yang sudah diperiksa Jaip selepas permohonan sijil halal dibuat. Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan, 13 hotel tersebut adalah di Kuantan, empat di Bentong dan Rompin, satu di Temerloh dan Raub manakala dua di Cameron Highlands. “Kita sedia maklum, pada Ramadan, pelbagai promosi bufet ditawarkan hotel dan pengguna mungkin teruja dengan tawaran yang dibuat menyebabkan ramai yang kurang prihatin serta terlepas pandang mengenai soal halal. “Saya meminta, hotel yang belum memohon sijil halal supaya berbuat demikian kerana ia membabitkan pengguna Islam,” katanya kepada Sinar Harian.Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak mempunyai kuasa menghalang hotel yang tidak mempunyai sijil halal menawarkan promosi itu. “Tindakan hanya akan diambil sekiranya kami menerima aduan dan mempunyai bukti yang sahih berhubung soal itu ataupun kami mendapati hotel berkenaan sangat tidak layak untuk menyediakan juadah yang dimasak kerana tidak menggunakan ramuan yang halal,” katanya. Noridzuan berkata, sekiranya pihak hotel mengemukakan permohonan itu dalam masa terdekat, Jaip akan memproses permohonan segera malah bersedia untuk membantu membimbing dan memberi nasihat ke arah pensijilan halal. http://www.sinarharian.com.my/pahang/content/story7995444.asp

Angkara Cemburu

Botol rodok tunang
Gambar Hiasan
Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
KUCHING: Angkara cemburu buta, seorang gadis bukan saja dipukul dengan tukul, malah kemaluannya turut dirodok dengan botol deodoran oleh tunangnya selepas berlaku pertengkaran antara mereka berdua di sebuah rumah di Matang, dekat sini, malam kelmarin.Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa berusia 23 tahun yang bersendirian di rumahnya didatangi tunangnya, berusia lingkungan 20-an. Difahamkan, pertemuan itu mencetuskan pertengkaran dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu buta lelaki terbabit terhadap mangsa sebelum mengambil tukul dan membelasah mangsa. Akibat perbuatan ganas itu, mangsa cedera hampir seluruh badannya, namun keganasan lelaki berkenaan tidak berhenti di situ apabila dia mengambil botol deodoran milik mangsa lalu merodok kemaluan wanita itu. Selepas melihat mangsa dalam kesakitan, suspek melarikan diri.Mangsa menghubungi seorang ahli keluarganya bagi memaklumkan kejadian itu sebelum membuat laporan polis. Mangsa yang ditemani beberapa anggota keluarganya dibawa mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan keadaannya dilaporkan stabil walaupun masih trauma dengan kejadian itu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kok Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. Beliau berkata, polis menerima laporan daripada mangsa pada hari kejadian sebelum gerakan mencari suspek yang juga tunang kepada mangsa dijalankan. “Sehingga kini belum ada tangkapan dibuat namun polis sudah mengenal pasti identiti suspek,” katanya. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Botolrodoktunang/Article

Monday, July 26, 2010

Payung Terjun Gagal Berfungsi

Seorang anggota TUDM maut apabila payung terjun gagal berfungsi
Gambar Hiasan
JERTIH: Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia TUDM) dari Pangkalan Udara Gong Kedak di sini, terbunuh manakala rakannya cedera parah selepas payung terjun yang digunakan ketika menjalani latihan di pangkalan itu tidak berfungsi, tengah hari tadi. Dalam kejadian jam 12 tengahari itu, anggota yang terbunuh, Hasnizam Abd Wahid, 23, bersama rakannya Mohd Eddy Effendy, 22, sedang menjalani latihan terjunan di padang lapangan terbang pangkalan udara berkenaan. Sumber memberitahu, Hasnizam yang berasal dari Batu Pahat, Johor dan bertugas di Kem Jugra, Banting, Selangor cedera parah selepas terjatuh ke kawasan lapang sebuah padang golf kira-kira 50 meter daripada kuarters anggota TUDM pangkalan itu, sebelum dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan dalam keadaan kritikal. Bagaimanapun, Hasnizam meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital itu pada jam 4 petang tadi.Sementara itu, rakannya, Mohd Effendy yang jatuh ke atas bumbung kediaman pegawai hanya cedera ringan dan diberi rawatan pesakit luar serta dibenarkan keluar pada jam 3.30 petang dan dibawa dengan ambulans TUDM pulang ke pangkalan itu. Difahamkan, kedua-dua anggota terbabit adalah sebahagian daripada kumpulan anggota TUDM seluruh negara yang menyertai latihan terjunan yang dibawa dengan pesawat Caribou dan dilepaskan untuk mendarat di pangkalan itu. Sumber itu berkata, sebaik mendapati payung terjun kedua-dua mangsa tidak berfungsi, anggota tentera udara bergegas memberi bantuan kecemasan dan menghantar mereka dengan ambulans TUDM ke Hospital Besut. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SeoranganggotaTUDMmautapabilapayungterjungagalberfungsi/Article

Bahana Ubat Nyamuk

Bahana 6 ubat nyamuk
Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim dan Suraya Roslan
am@hmetro.com.my
KAJANG: “Saya mendengar dia menjerit meminta tolong, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana api makin marak,” kata kawan karib kepada mangsa rentung, Syed Omar Ali Syed Zakir, 11.

RENTUNG...asrama Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran Hayatul Uloom yang hangus terbakar.

Mangsa, Abdul Rahman Rosmali, 9, ditemui rentung dalam bilik asrama Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran Hayatul Uloom akibat tidak sempat melarikan diri bersama tujuh lagi rakannya. “Saya sudah menasihati rakan untuk membakar satu saja ubat nyamuk itu, tetapi mereka berdegil mahu memasang enam dengan alasan malam itu terlalu banyak nyamuk. “Masih terngiang-ngiang lagi suara Abdul Rahman meminta tolong, tetapi api makin marak menyebabkan dia dihempap kayu, saya dan enam lagi rakan juga dipaksa keluar dari bilik itu bagi menyelamatkan nyawa kami. Dalam kejadian 2 pagi itu, lot banglo dua tingkat itu yang menempatkan 20 pelajar, hangus menyebabkan Abdul Rahman yang terperangkap dalam bilik itu rentung. Bapanya, Rosmali Saad, 37, berkata, dia reda dengan ketentuan itu dan menerima berita sedih berkenaan dengan tenang. “Saya menerima panggilan jam 2 pagi mengatakan pusat pengajian tahfiz itu terbakar, saya bergegas ke tempat kejadian dan pada mulanya saya tidak menyangka budak rentung itu anak saya. “Arwah seorang yang pendiam, dia budak yang baik dan rajin, apa pun saya reda dengan pemergiannya, mungkin ini ujian Tuhan untuk kami sekeluarga. Rosmali berkata, kali terakhir dia menemui anaknya itu pada Jumaat lalu di masjid berdekatan ketika mahu solat Jumaat. “Seperti biasa dia hanya tersenyum pada saya dan tidak menunjukkan apa-apa petanda dia mahu pergi meninggalkan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Haji Palir, Batu 15 1/2, Hulu Langat di sini, semalam. Abang mangsa, Abdul Malik, 14, berkata, dia percaya, punca kejadian akibat ubat nyamuk yang dipasang dalam bilik itu. “Saya ada bertanya kepada rakan adik mengenai punca kejadian dan mereka mengatakan ubat nyamuk yang dipasang menyambar pakaian yang ada di bilik itu, malah turut menyambar kaki seorang rakan yang lain, tapi berjaya dipadamkan,” katanya yang juga penuntut di pusat pengajian sama. Jenazah Abdul Rahman dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Dusun Tua jam 2 petang, semalam. Ketua Balai Bomba Kajang, Shauki Abdullah, berkata 14 anggota dan dua jentera dikejar ke sana bagi memadamkan api dan ketika tiba di tempat kejadian, hampir 80 peratus asrama tahfiz itu sudah terbakar. “Kebakaran berjaya dikawal setengah jam kemudian daripada merebak ke kediaman berhampiran,” katanya. Shauki berkata proses memadamkan kebakaran itu turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah. Tambahnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, namun tidak menolak kemungkinan berpunca daripada lingkaran ubat nyamuk yang dipasang. Pengasas rumah tahfiz terbabit, Dr Shahrir Hussin berkata dia menyerahkan kepada polis dan bomba untuk mentafsir kerugian serta punca kejadian. “Bagaimanapun saya reda dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi kehilangan seorang pelajar yang amat baik dan tidak banyak kerenah seperti Abdul Rahman,” katanya. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bahana6ubatnyamuk/Article

Maut Di Festival Muzik

19 maut di festival muzik
BEBERAPA pengunjung diberikan rawatan perubatan selepas mereka pengsan.
DUISBURG, Jerman -
Seramai 19 orang terbunuh dan 242 cedera kelmarin dalam insiden tolak-menolak di sebuah terowong yang merupakan satu-satunya jalan menuju ke satu festival muzik yang dianggap parti muzik tekno terbesar dunia, Love Parade. Festival itu yang dihadiri oleh ramai penduduk di seluruh Eropah telah berhimpun untuk menari dan mendengar lagu. Pada asalnya ia diadakan di Berlin pada 1989 sebelum dipindahkan ke kawasan perindustrian Ruhr, barat Jerman pada 2007. Pengasas festival berkenaan, Rainer Schaller berkata, parti tersebut tidak akan diadakan lagi pada masa depan selepas tragedi menyayat hati itu berlaku. Media Jerman melaporkan seramai 1.4 juta orang menghadiri parti itu. Ketua Polis Duisburg, Detlef von Schmeling berkata, empat warga asing antara yang terbunuh dan mereka terdiri daripada rakyat Itali, China, Australia dan Belanda. Menurutnya, umur mereka dalam lingkungan lebih 20 tahun hingga 40 tahun. Beberapa saksi menganggap insiden itu sebagai mengerikan kerana orang ramai saling berasak-asak dan bertindih di atas pengunjung yang terjatuh. Seorang pengunjung, Udo Sandhoefer memberitahu pemberita stesen televisyen n-tv, orang ramai masih memasuki terowong itu walaupun beberapa pegawai bandar raya mengarahkan mereka keluar dan memasuki semula ke arah yang berlainan. "Pada satu ketika, barisan orang ramai terhenti kemungkinan terdapat sekatan di depan terowong dan kami boleh melihat kumpulan pertama pengunjung terbaring di atas jalan," katanya. Beberapa pegawai bandar raya memilih untuk tidak menutup lokasi itu kerana ia mungkin mencetuskan panik manakala sejumlah pengunjung meneruskan parti dan tidak tidak mengetahui terdapat mangsa yang terbunuh. Anggota-anggota penyelamat membawa mangsa yang cedera semasa muzik tekno masih bergema.
SEBAHAGIAN pengunjung berlari mendaki sebuah bukit selepas panik di Festival Love Parade, Duisburg kelmarin.
Beberapa pekerja lain mengalami masalah untuk menyelamatkan sejumlah mangsa kerana dihalang oleh bilangan pengunjung yang terlalu ramai. Media tempatan melaporkan sistem komunikasi telefon bimbit di bandar raya ini tergendala buat sementara waktu manakala ibu bapa cemas untuk menghubungi anak-anak mereka semasa kejadian. Pada masa yang sama, kebanyakan jalan raya disekat oleh polis manakala lebuh raya menuju ke bandar raya ini sesak.Beberapa media melaporkan helikopter penyelamat mengalami kesukaran untuk membawa mangsa yang cedera kerana tidak mempunyai ruang untuk mendarat. Canselor Jerman, Angela Merkel menyuarakan perasaa terkejut dengan berkata: "Golongan muda datang untuk berpesta tetapi sebaliknya mereka terbunuh dan cedera. Saya berasa amat terkejut." - AP http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0726&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Sunday, July 25, 2010

Jalan Sakaratulmaut

JPJ akan kenal pasti jalan 'sakaratulmaut'

TEMERLOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mengenalpasti jalan raya yang bakal dilabelkan sebagai jalan "sakaratulmaut" dalam usaha membendung kemalangan jalan raya di negara ini. Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Salim Parlan, berkata usaha itu dijalankan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi memudahkan pemantauan secara lebih berkesan. "Pihak JPJ dan MIROS akan menamakan jalan tersebut sebagai laluan atau jalan sakaratulmaut," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Terdahulu beliau yang mewakili Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, merasmikan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) peringkat negeri Pahang, di Felda Jengka 25, di sini. Salim berkata, pemantauan yang lebih bersepadu di laluan atau jalan "sakaratulmaut" itu diharapkan akan dapat mengubah sikap pengguna jalan raya di negara ini agar lebih berhemah dan bersopan di jalan raya serta lebih menghargai nyawa semua pihak. Katanya, JPJ kelak akan membuat rondaan dan pengawasan 24 jam di laluan atau jalan "sakaratulmaut" terbabit. "Setakat ini kita belum kenalpasti berapa jumlah sebenar laluan sakaratulmaut itu, dan operasi bersepadu 24 jam akan dilaksanakan menjelang musim pra-perayaan Aidilfitri nanti," katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Salim berkata pihak JPJ, polis, dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga akan memberikan penumpuan operasi di terminal bas di seluruh negara menjelang musim perayaan nanti bagi memastikan keselamatan penumpang kenderaan awam di musim perayaan. "JPJ akan memeriksa semua sistem keselamatan bas ekspres seperti brek, lesen pemandu bas, cukai jalan, pemeriksaan PUSPAKOM dan sebagainya bagi menjamin keselamatan penumpang. "Polis dan AADK pula akan memastikan pemandu bas ekspres tidak terlibat dengan pengambilan dadah serta di bawah pengaruh minuman keras," katanya. - BERNAMA http://www.bharian.com.my/bharian/articles/JPJakankenalpastijalan_sakaratulmaut_/Article