Tuesday, September 21, 2010

Bayi Mati Dalam Buaian TASKA

Bayi perempuan mati dalam buaian taska
Oleh Khirriah Izdihar Md Kodry
ZADARIAH tidak dapat menahan sebak di atas kematian cucunya di Hospital Tuanku Jaafar Seremban, semalam.
Nenek dakwa ada beberapa kesan lebam di tangan cucu
SEREMBAN: Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan maut dalam buaian ketika dalam penjagaan di sebuah taska di Paroi dekat sini, semalam. Nur Azwa Safrina Khairul Anuar, anak sulung pasangan Airul Anuar Aziz, 30, dan Nurhida Mohd Noh, 26, ditemui dalam keadaan tubuhnya sejuk dan kebiruan oleh pengasuh taska itu kira-kira 12 tengah hari. Nenek mangsa, Zadariah Ismail, 57, berkata dia terkejut apabila menerima panggilan daripada taska memaklumkan kejadian itu menyebabkan dia bersama suami bergegas ke taska untuk menghantar cucunya ke sebuah klinik swasta berhampiran. Katanya, doktor di klinik itu memberikan bantuan pernafasan kepada cucunya kira-kira 30 minit sebelum mencadangkan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini apabila mendapati sebahagian tubuh mangsa masih panas. Bagaimanapun, hati saya berdetik sejak mendukungnya dari taska ke klinik bahawa saya sudah kehilangan seorang cucu yang disayangi, katanya yang tinggal berhampiran taska itu. Zadariah mendakwa cucunya ketika ditemui mempunyai beberapa kesan lebam di bahagian tangan dan kesan hitam di kedua-dua belah telinga, selain seluruh tubuh sejuk dan biru. Pengasuh taska itu, Sharifah Annisah Syed Ali, 22, pula berkata pihaknya sedih dengan kejadian berkenaan yang dikatakan kali pertama berlaku sejak taska itu beroperasi 10 tahun lalu. "Seperti biasa, saya menyusukan Nur Azwa Safrina pada jam 10 pagi dan meletakkannya kembali dalam buaian. Kira-kira sejam kemudian, bayi itu menangis lalu saya membuaikannya sekali lagi menyebabkannya tidur seperti biasa tanpa sebarang tanda pelik. Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati badannya biru ketika mahu memandikannya kira-kira jam 12 tengah hari. Saya terus menghubungi neneknya, manakala rakan saya menghubungi pihak hospital, katanya ketika ditemui Berita Harian di HTJS. Bapa mangsa, Airul Anuar, menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung punca kematian anaknya. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Md Yusoff Awang, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Bayiperempuanmatidalambuaiantaska/Article

No comments:

Post a Comment