Friday, January 28, 2011

Warga Asing Sempat Lari

Warga asing sempat lari
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

SERAH PASPORT...warga asing menyerahkan pasport dan permit kerja untuk pemeriksaan lanjut.

AMPANG: Bagai berjaya menghidu kehadiran pihak berkuasa menyebabkan pendatang tanpa izin sempat melarikan diri lebih awal dan mengunci pintu rumah kongsi mereka di sebuah tapak pembinaan di Andaman Ukay, dekat sini, ketika diserbu anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, awal pagi semalam.Dalam operasi bermula kira-kira jam 1 pagi itu, polis bersama 112 anggota dan pegawai imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) menyerbu rumah kongsi berkenaan, namun hanya segelintir penghuni yang ada manakala yang lainnya dipercayai sudah melarikan diri.Dianggarkan, lebih 200 pendatang warga Indonesia menghuni rumah kongsi berkenaan, tetapi dalam operasi itu hanya 36 orang termasuk lapan wanita dan lima kanak-kanak ditahan untuk siasatan.Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner, Amiruddin Jamaluddin berkata, Ops Nyah Khas berkenaan dijalankan selepas kegiatan pecah rumah semakin menjadi-jadi di sekitar Ampang sehingga menimbulkan kegusaran penduduk. “Kawasan sekitar Ampang yang dikelilingi hutan dan berbukit menjadi sarang pendatang tanpa izin melakukan jenayah bersembunyi supaya tidak ditangkap.“Buat masa ini, kita akan meneruskan operasi di sekitar tapak pembinaan yang menjadi tempat tinggal mereka dalam usaha membanteras kegiatan pecah rumah seterusnya menjamin keselamatan penduduk sekitarnya,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan, awal pagi semalam. Beliau berkata, orang awam diminta menyalurkan maklumat jika mengetahui lokasi pendatang asing berkumpul supaya dapat membantu polis menahan mereka. “Selain itu, kita juga akan membuat perjumpaan dengan pemaju bagi mengenal pasti mereka mengambil pekerja yang sah dan setakat ini mereka memberikan kerjasama yang baik. “Pemaju yang belum berberbuat sedemikian diminta tampil memberi kerjasama supaya dapat membanteras kegiatan pecah rumah di kawasan Ampang,” katanya.Katanya, semua warga Indonesia yang ditahan itu dibawa ke IPD Ampang untuk siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment