Bapa solat Jumaat, anak jatuh flat
KOSMO / 18.07.2009
PULAU PINANG - Seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun yang ditinggalkan bapanya di rumah bersendirian ditemui mati di pekarangan flat Taman Kembar Permai, Teluk Kumbar di sini dipercayai selepas terjatuh dari tingkat lapan bangunan itu.
Nor Qistina Aidani Johari yang ditinggalkan bapanya untuk menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid berhampiran ditemui mati oleh penghuni flat itu pada pukul 2.15 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Hatta Md. Zin berkata, ketika kejadian tiada sesiapa di rumah kerana ibu kanak-kanak itu, Siti Aida Abdul Wahab yang bekerja sebagai ejen insurans keluar bekerja.
"Bapa kanak-kanak itu, Johari Halim yang bekerja sebagai operator kilang bercuti hari ini (semalam) dan berada di rumah sebelum meninggalkan anaknya bersendirian untuk pergi ke masjid," katanya ketika dihubungi.
Katanya, kanak-kanak malang itu meninggal dunia di tempat kejadian ekoran kecederaan parah di kepala serta badan dan bapanya yang baru pulang dari solat Jumaat hampir pengsan melihat mayat anaknya yang berlumuran darah di pekarangan flat itu.
No comments:
Post a Comment