Thursday, July 16, 2009
Penyelia mati dikerambit pekerja
KUALA LUMPUR: Akibat selisih faham, seorang penyelia kabel elektrik maut akibat dilibas dengan kerambit di tapak projek kondominium mewah di Mont Kiara di sini, semalam.Mangsa See Chew Hwa, 39, yang berasal dari Puchong Jaya dipercayai dibunuh seorang buruh warga Indonesia.Mangsa ditemui mati dengan kesan kelar di leher dan tangan di tempat letak kereta di tingkat tiga bangunan berkenaan.Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang dipercayai berpunca apabila mangsa menegur hasil kerja suspek.
“Siasatan awal mendapati suspek melahirkan rasa tidak puas hati terhadap mangsa dua jam sebelum tragedi itu berlaku.
“Namun, perselisihan faham itu berpanjangan sehingga berakhir dengan pembunuhan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian Jalan Kiara 1 di sini, petang semalam.Katanya, mangsa dibunuh dengan kerambit oleh suspek berumur 25 tahun yang baru bekerja di tapak itu sejak seminggu lalu.“Polis yang bergegas ke tempat kejadian menahan seorang rakan suspek yang dipercayai melihat kejadian itu manakala suspek utama menghilangkan diri.“Susulan itu, pemeriksaan ketat dijalankan terhadap 400 pekerja di tapak pembinaan itu bagi memburu suspek,” katanya yang tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian.Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment