Saturday, October 2, 2010

Bapa Tertidur Bayi Tercekek Susu

Bapa terkejut bayi jadi biru
Oleh Raja Noraina Raja Rahim rnoraina@hmetro.com.my
2010/10/02
KUALA LUMPUR: Akibat keletihan dan tertidur selama dua jam, seorang bapa hanya mampu menitis air mata apabila bayi lelakinya yang baru berusia lima bulan mati akibat tersedak susu ketika dalam jagaannya, pagi semalam.Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Hadif Hameedullah Mohd Najib diberi minum susu oleh bapanya sebelum diberi pula minum air yang diisi dalam botol. Namun, bayi itu dipercayai tidak sedarkan diri sewaktu bapanya tersedar dari tidur kira-kira jam 1 tengah hari di rumahnya di Seksyen 2, Wangsa Maju. Difahamkan, bapa bayi itu berusia 29 tahun mengambil alih menjaga anaknya kerana sedang bercuti. Ketika kejadian, bapa terbabit yang turut mempunyai seorang lagi anak lelaki, cemas apabila mendapati anak bongsunya itu tidak sedarkan diri. Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, bapa mangsa kemudian mencabut botol susu yang berada pada mulut anaknya selepas mendapati bayi itu kebiruan, selain keluar air dari mulutnya. “Dia menghubungi isterinya yang bertugas sebagai guru di sekolah berhampiran sebelum bergegas menghantar bayi mereka ke Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tuanku Mizan. “Doktor memberi bantuan pernafasan untuk menyelamatkannya, namun gagal apabila mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya. Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut dan dibedah siasat. “Hasil bedah siasat mendapati bayi itu mati akibat tersedak susu. Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut tapi siasatan diteruskan. Polis juga mendapatkan keterangan daripada bapa mangsa yang juga saksi kejadian kerana bersama-sama mangsa ketika itu,” katanya. Menurutnya, jenazah mangsa dituntut bapanya selepas bedah siasat untuk dikebumikan. Kejadian ini kali ketiga dilaporkan dalam tempoh dua minggu lalu. Pada 21 September lalu, seorang bayi perempuan berusia tiga bulan mati tersedak susu selepas dibiarkan menyusu sendirian oleh pengasuhnya di sebuah pusat asuhan di Presint 9, Putrajaya. Dalam kejadian kedua pada Ahad lalu pula, seorang bapa dikatakan memangku bayi lelakinya, Mohamad Ayub selepas diberi susu ketika dalam perjalanan dengan kereta api dari Manik Urai, Kuala Krai ke ibu negara. Difahamkan, kedua-duanya kemudian tertidur dan hasil pemeriksaan di HKL, doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika berada dalam kereta api akibat tersedak susu. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bapaterkejutbayijadibiru/Article

No comments:

Post a Comment