Thursday, October 7, 2010

Bayi Maut DiBaham Kera

Seret bayi keluar rumah
Oleh Mohd Nur Asnawi Daud dan Iskandar Shah Mohamed
2010/10/07
SEREMBAN: “Selepas mendapati cucu saya tiada di ruang tamu, kami mencarinya sehingga ke luar rumah dan terkejut melihat kesan darah di depan tangga sebelum menemuinya dalam keadaan terkulai layu dengan kecederaan di kepala, leher dan telinga,” kata A Velayutham, 75.

MATI...kera liar yang dipercayai menyebabkan kematian bayi perempuan ditembak Perhilitan.

Dia menceritakan kejadian cucu perempuannya berusia empat hari yang menemui ajal dalam keadaan menyayat hati selepas digigit kera jantan liar di rumahnya di Taman Happy di sini, kira-kira jam 1.15 tengah hari semalam.Sebelum kejadian, bayi malang yang belum diberi nama itu berada bersama Velayutham di ruang tamu rumahnya selepas dimandikan sebelum warga emas itu pergi ke dapur untuk minum.Ketika itulah kera yang tidak dapat dipastikan jumlahnya menceroboh masuk ke dalam rumah lalu menyeret mangsa ke luar serta menggigitnya sehingga cedera. “Saya meninggalkannya bersendirian sekejap dan pergi ke dapur untuk minum air kerana terlalu dahaga. Ketika itu isteri saya berada di dapur kerana memasak, manakala menantu (ibu mangsa) mandi di bilik air.“Saya terdengar jeritan menantu bertanya di mana bayinya menyebabkan saya dan isteri bergegas ke luar,” kata Velayutham ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini. Velayutham berkata, bayi sulung anak lelakinya yang mendirikan rumah tangga sejak setahun lalu itu kemudian dikejarkan ke HTJS, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba.Difahamkan, mangsa yang dilahirkan pada 3 Oktober lalu di HTJS adalah anak kepada pasangan V Nehru, 30, dan isterinya yang dikenali sebagai Revathy, 26. Sementara itu, nenek mangsa, R Athy Letchumy, 50, berkata beberapa ekor kera sering dilihat berada di sekitar rumahnya sejak kira-kira dua bulan lalu.“Kera liar terbabit kelihatan agresif dan garang sekali menyebabkan saya tidak berani mendekatinya. Pernah saya cuba memukul haiwan itu dengan kayu, namun mereka cuba menyerang saya kembali,” katanya yang sudah menetap di kawasan itu sejak kira-kira 20 tahun lalu. Menurutnya, ketika kejadian dia berada bersama suami dan menantunya, manakala anak lelakinya (bapa mangsa) keluar kerana mempunyai urusan.Sementara itu, Nehru berkata, dia bergegas pulang sebaik dimaklumkan kejadian berkenaan dan amat sedih apabila melihat bayinya parah di kepala, leher dan telinga.“Saya pernah memelihara seekor kera betina kira-kira lapan tahun lalu, namun haiwan itu tidak pernah mendatangkan masalah kepada keluarga saya kerana dikurung,” katanya.Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Yusof Awang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Seretbayikeluarrumah/Article

Tertarik kera betina dibela keluarga mangsa
2010/10/07
SEREMBAN: Kera jantan yang menggigit hingga mati seorang bayi perempuan berusia empat hari dikatakan pergi ke rumah keluarga mangsa kerana tertarik dengan seekor kera betina yang dibela keluarga terbabit.Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Ishak Muhamad berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kera yang menyerang bayi terbabit pergi ke rumah itu kerana terdapat seekor kera betina di dalam kurungan di situ. Menurutnya, haiwan itu dipercayai menceroboh masuk ke dalam rumah mangsa untuk mencari makanan dan menyangka bayi yang berada seorang diri di ruang tamu itu adalah makanan. “Kami tidak menolak kemungkinan bayi berkenaan cuba dibawa ke tempat persembunyian haiwan terbabit, namun terjatuh ketika kera itu memanjat bumbung. “Sepasukan pegawai dan anggota Perhilitan dikejarkan ke lokasi untuk mengesan haiwan berkenaan sebaik menerima maklumat mengenai serangan kera liar itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau berkata, kera berkenaan berkemungkinan berada di tempat kejadian kerana ada di kalangan orang ramai yang memberinya makanan, dan mereka dinasihatkan supaya menghentikan perbuatan itu. Sementara itu, hasil laporan awal bedah siasat dijalankan ke atas bayi malang itu mendapati mangsa mengalami kecederaan teruk pada kepala dengan kesan gigitan sedalam lebih dua sentimeter hingga hampir menampakkan otaknya. Sumber berkata, beberapa kesan kecederaan lain turut ditemui pada tengkuk dan tangan kiri termasuk kesan cakar pada muka mangsa. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tertarikkerabetinadibelakeluargamangsa/Article

No comments:

Post a Comment