Saturday, October 16, 2010

Pelajar Parah Tong Gas Meletup

Pelajar parah tong gas meletup

Gambar Hiasan

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

am@hmetro.com.my 2010/10/16
GEORGETOWN: Seorang pelajar tingkatan tiga melecur hampir 50 peratus anggota badan dalam kebakaran dipercayai kebocoran tong gas di rumah panjang di Tanjong Tokong, di sini, kelmarin.Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, Khalid Eri Alwalid, 15, tidak menyedari saluran paip tong gas di rumahnya bocor membuka suis dapur gas yang mengakibatkan tong gas berkenaan meletup. Akibatnya, Khalid yang berada berhampiran tong gas itu cedera parah dari paras paha hingga kaki dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang. Bapa saudaranya, Mohd Hassan Pitchay, 55, berkata, ketika kejadian, dia pulang ke rumah selepas makan malam sebelum terdengar bunyi letupan kuat dari bahagian dapur rumah dan tidak lama kemudian melihat anak saudaranya menjerit meminta tolong dengan pakaian terbakar. “Ketika itu, saya hanya fikirkan keselamatan Khalid sebelum menariknya keluar dari dapur dan dengan bantuan pasukan penyelamat, dia dihantar ke HPP untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin. Akibat kebakaran itu, enam keluarga hilang tempat tinggal dan seorang pemuda berusia 20-an yang cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran turut cedera dilanggar kereta yang kebetulan melalui jalan berkenaan. Difahamkan, mangsa yang belum dikenali itu cedera dalaman dan dirawat di HPP. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Bagan Jermal, Roslan Hasnan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.41 malam sebelum dua jentera bersama 12 anggota bergegas ke tempat kejadian. Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, mereka menemui seorang pelajar berusia 15 tahun mengalami cedera parah di luar rumah sebelum dihantar ke hospital. Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada kebocoran pada saluran paip tong gas dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. “Kami menerima bantuan pasukan Bomba Sukarela Tanjung Tokong dan Weld Quay bersama 12 anggota sukarela dalam operasi ini,” katanya. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pelajarparahtonggasmeletup/Article

No comments:

Post a Comment