Thursday, August 13, 2009

Mati Angkara Lebah

Oleh Rudy Syareme
Sheriffudinam@hmetro.com.my
GEORGETOWN: “Kehilangan abah amat dirasai dan pesanannya supaya saya berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini menjadi amanat terakhir sebelum arwah meninggalkan kami sekeluarga.“Itu permintaan arwah abah kepada saya ketika pulang bercuti hujung minggu lalu dan meminta saya melakukan yang terbaik untuk peperiksaan nanti,” kata Mohd Syahir, 17, anak kelima Allahyarham Othman Yusoff, 54, yang meninggal dunia akibat terjatuh dari Wisma Persekutuan, Jalan Anson di sini, akibat diserang lebah ketika melakukan kerja mencuci bangunan itu, semalam.Mohd Syahir yang ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP), berkata kali terakhir dia bertemu arwah bapanya pada Ahad lalu dan ketika itu ayahnya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.Menurutnya, arwah ayahnya seorang yang mudah didekati dan mesra dengan keenam-enam anak berikutan sikapnya yang sering menitikberatkan soal kebajikan serta sanggup bersusah payah mencari rezeki demi keluarga.Katanya, kehilangan arwah yang akan bersara tahun depan amat dirasai mereka sekeluarga kerana Allahyarham tonggak keluarga untuk bergantung hidup.“Selama ini abah yang bersusah payah membesarkan anak-anak dan menyara kami sekeluarga dan saya terkilan kerana tidak sempat membuktikan saya mampu mendapatkan keputusan baik dalam SPM nanti.“Bagaimanapun, saya reda dan pasrah dengan kejadian yang meragut nyawanya dan berdoa semoga abah ditempatkan di kalangan orang beriman,” katanya.Arwah Othman meninggalkan seorang balu, Che Norlia Ahmad, 47, dan enam anak iaitu empat perempuan dan dua lelaki, berusia 11 hingga 26 tahun.Othman bersama seorang lagi pekerja penyelenggaraan terjatuh dari gondola mereka yang ketika itu berada di tingkat sembilan Wisma Persekutuan selepas diserang sekumpulan lebah.Dalam kejadian kira-kira 12.20 tengah hari itu, Othman meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakan sekerjanya, Mohd Afzanezal Mokhtear, 29, menemui ajal sejurus dibawa ke HPP.Kedua-dua pekerja dipercayai terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri daripada serangan lebah itu.Anggota bomba dan penyelamat terpaksa memecahkan tingkap kaca untuk menyelamatkan seorang lagi mangsa yang masih berada dalam gondola itu dan dipercayai disengat lebah lebih 100 kali.Kedua-dua mangsa yang kini dirawat di hospital dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.Bekas majikan Allahyarham, Yusri Yusoff berkata, arwah Othman bertugas sebagai pekerja penyelenggaraan di bangunan berkenaan dan difahamkan ketika kejadian, arwah bersama dua kakitangan subkontrak melakukan tinjauan mengenai sarang lebah berkenaan.Sebelum itu, kata beliau, pihaknya dimaklumkan kerja pembersihan sarang lebah terbabit sepatutnya dilakukan malam tadi, bagaimanapun pihaknya terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian serangan lebah sehingga meragut dua nyawa itu.Katanya, dia sedih dengan kejadian menimpa arwah yang disenangi rakan sekerja selain komited terhadap kerja.“Arwah seorang pengurus berdedikasi, amanah, amat disenangi rakan sekerja dan serius ketika melaksanakan tugas seharian dan kehilangan arwah amat dirasai kerana dia seorang yang sukar dicari ganti,” katanya.Pakar Patologi HPP, Datuk Dr Bhupinder Singh, berkata hasil bedah siasat mendapati mangsa disengat lebih 100 kali di seluruh tubuh dan mati akibat kecederaan jatuh dari tempat tinggi.Sementara itu, Muhana Mokhtear, 39, abang Mohd Afzanezal, 29, berkata arwah adiknya seorang yang pemurah dan tidak pernah berkira terutama berkaitan soal kewangan, malah sering menghulurkan bantuan.Menurutnya, kehilangan adiknya itu amat dirasai berikutan hubungannya dengan arwah adik bongsu yang juga bekerja sebagai penghapus serangga sejak tujuh tahun lalu, sukar digambarkan dengan kata-kata kerana sifat murah hati dan sikapnya yang bersederhana.Katanya, arwah adiknya sudah berkahwin dan mempunyai sepasang anak perempuan dan lelaki yang berusia empat tahun dan dua bulan.Dia berkata, kehilangan adiknya amat dirasai kerana seluruh ahli keluarga terkejut disebabkan belum dapat menerima berita kematian.“Saya pasrah dengan apa yang terjadi dan berharap polis dan bomba dapat menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kejadian.“Apapun yang pasti yang pergi tetap pergi dan berdoa semoga arwah adik ditempatkan bersama orang yang beriman,” katanya.

1 comment:

  1. afzanezal nie macam name kawan lama..belajar dekat Sek Men TEknik Nibong tebal dulu....adakah orang yag sama..Al-FATIHAH

    ReplyDelete