Wednesday, August 19, 2009

Tragedi turbin pecah ragut 64 nyawa

MOSCOW - Sejumlah 64 orang yang masih hilang dikhuatiri terkorban dalam tragedi empangan hidroelektrik pecah di Rusia, kata pemiliknya semalam.
Pengerusi firma RusHydro yang mengendalikan empangan tersebut, Vasily Zubakin berkata, perkembangan terbaru itu menjadikan angka kematian lebih besar berbanding 12 orang yang disahkan setakat ini.
Katanya, 64 orang masih hilang selepas air melimpah ke dalam beberapa bilik turbin di Empangan Sayano-Shushenskaya di wilayah Khakassia, selatan Siberia awal kelmarin.
"Kami sangsi akan menemui mangsa terselamat dalam banjir itu tetapi akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat," kata Zubakin melalui seorang jurucakap.
Agensi berita Ria Novosti melaporkan seorang timbalan ketua pengarah di sebuah hospital tempatan mengesahkan angka kematian meningkat kepada 12 orang berbanding 10 orang yang dikeluarkan pada malam kelmarin.
"Dalam bilik mayat kami, 11 mayat sudah dikenal pasti oleh saudara-mara masing-masing. Satu lagi mayat masih belum dikenal pasti," kata Dr. Yury Pedchenko.
Rakaman video amatur insiden itu di sebuah laman web berita Rusia, http://www.politonline.ru/. menunjukkan satu letupan berlaku di kaki empangan itu disusuli limpahan air yang banyak.
Jelas Zubakin, tiga daripada 10 unit generator empangan keempat terbesar di dunia itu musnah sama sekali tetapi Menteri Kecemasan Sergei Shoigu berkata, tiada kerosakan struktur berlaku dan empangan itu masih selamat.
Empangan yang mula beroperasi pada 1978 itu mengeluarkan 10 peratus keperluan bekalan elektrik di Siberia.
RusHydro menyatakan, usaha membaiki peralatan yang rosak itu mungkin mengambil masa dua tahun tetapi turbin yang tidak rosak dijangka beroperasi dalam tempoh sebulan. - Agensi

No comments:

Post a Comment