Saturday, December 5, 2009

Terowong Air Bawah Tanah

Syor bina paip di darat ganti terowong air bawah tanah

Merujuk pandangan seorang pakar kaji bumi dalam Buletin Utama TV3 jam 8 malam, Jumaat lalu mengenai ramalan bakal berlakunya gempa bumi berskala lebih besar berbanding kekuatan 3.3 pada skala Richter yang melanda Bukit Tinggi, Pahang pada jam 9.41 pagi pada tarikh sama. Katanya, jika ramalan itu berlaku maka Empangan Batu, Klang Gate, Semenyih dan Langat akan terjejas dan boleh membawa mudarat kepada rakyat dalam lingkungan 80 kilometer (km) dari tempat kejadian (Bukit Tinggi). Berdasarkan kebimbangan yang bakal berlaku pada masa depan, saya ingin kembali kepada saranan pembaca yang menulis dalam ruangan ini setahun dua lalu yang meminta Kerajaan Pusat menangguhkan projek pembinaan terowong air sepanjang 45km di bawah jajaran Banjaran Titiwangsa.
Ia mencadangkan Empangan Kelau juga dibatalkan, sebaliknya menggunakan alternatif lain seperti pembinaan paip atas darat (overland pipe) sebagai kaedah lebih wajar dan selamat untuk memindahkan air mentah dari Pahang ke Selangor kelak. Sebenarnya saya bersetuju dengan tulisan pembaca itu yang mengemukakan pandangan beberapa pakar alam sekitar, kaji bumi tempatan yang sudah menjangkakan fenomena yang bakal berlaku ini dan pada masa itu tidak diambil maklum pihak berwajib. Saya ingin meminta jasa baik Perdana Menteri agar dapat membuat suatu keputusan yang tepat dan cepat demi keselamatan penduduk Lembah Klang, Pahang, Negeri sembilan dan Perak berkaitan pandangan disuarakan pakar terbabit.

No comments:

Post a Comment