Friday, December 4, 2009

Reman Kontraktor Cuai

Reman kontraktor cuai

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my
KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sedang mengkaji bagi meminda akta-akta berkaitan pembinaan di negara ini untuk membolehkan kontraktor yang cuai sehingga mengorbankan nyawa ditahan reman.Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, tahanan reman itu sama seperti yang dikenakan terhadap pemandu bas mengakibatkan kemalangan maut.Katanya, langkah itu akan memberi peringatan kepada kontraktor supaya lebih bertanggungjawab ketika membina bangunan jika tidak mahu ditahan pihak berkuasa.‘‘Saya telah meminta CIDB melihat semula akta-akta sedia ada bagi membolehkan kita menahan pihak yang bertanggungjawab membina sesuatu struktur seperti kontraktor atau pengurus projek untuk disoal siasat.‘‘Akta sedia ada tidak membolehkan mereka ditahan reman, jadi kita akan perhalusi perkara ini bagi menunjukkan kerajaan serius bagi memastikan kontraktor termasuk yang terlibat dalam kes jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Perak, bertanggungjawab terhadap apa yang mereka bina,” katanya
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Inovasi Kementerian Kerja Raya 2009 di sini hari ini.Perintah tahanan reman kini boleh dibuat oleh polis dan agensi penguatkuasa lain di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan ia hanya membabitkan kes-kes jenayah sahaja.Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom semalam bahawa jambatan gantung yang runtuh sehingga meragut nyawa tiga murid itu disahkan dibina tidak berasaskan kod reka bentuk kejuruteraan dan spesifikasi kerja yang baik.Alimuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tragedi Jambatan Gantung Runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan berkata, kontraktor juga tidak membuat permohonan bagi mendapatkan kelulusan Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Dalam kejadian 26 Oktober lalu, tiga murid iaitu N. Dina Devi dan M. Devatharshini dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Mambang Di Awan serta V. Divyashree dari SJK (T) Gopeng terkorban selepas dihanyutkan arus deras semasa mengikuti Kem 1Malaysia Murid-Murid Sekolah Rendah Daerah Kinta Selatan anjuran Pusat Kokurikulum Negeri Perak. Dalam pada itu, Shaziman berkata, CIDB akan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang terbabit dalam tragedi jambatan gantung runtuh itu. “Antara tindakan yang boleh dikenakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada ialah menyenarai hitam dan mendenda kontraktor terbabit,” ujarnya.
Tambah beliau, CIDB juga telah membuat laporan polis sejurus selepas tragedi itu berlaku.
“Langkah ini akan membolehkan polis menyiasat dan mendakwa kontraktor terbabit di bawah beberapa peruntukan undang-undang lain kerana cuai sehingga mengorbankan tiga nyawa,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment