Friday, December 11, 2009

Lori Tangki Rempuh Rumah

Rumah dirempuh lori tangki ketika mangsa sedang tidur
- Dua beradik rentung
Oleh RAIS YEOP

ANGGOTA bomba berusaha untuk memadamkan api setelah sebuah lori tangki minyak merempuh sebuah rumah di Jelebu semalam.

JELEBU - Dua beradik yang dipercayai sedang tidur, rentung apabila rumah mereka terbakar setelah dirempuh sebuah lori tangki minyak yang terbabas di Kampung Batu Ulu Klawang, Kilometer 18, Jalan Seremban-Jelebu di sini semalam. Dua beradik itu ialah Anisah Hanapiah, 15, dan Mohd. Hafiz, 7. Turut terbunuh ialah pemandu lori tangki milik syarikat MISC Integrated Logistic Sdn. Bhd., Shamsul Kahar Bahudin (gambar), 36, yang berasal dari Melaka.

BEGINILAH keadaan rumah dan lori tangki yang hangus sama sekali di Kampung Batu Ulu Klawang, Jelebu.

Anisah merupakan pelajar tingkatan tiga di Sekolah Agama Kuala Klawang manakala Mohd. Hafiz murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan Kuala Klawang. Dalam kejadian pukul 8.39 pagi itu, lori yang sedang membawa 32,760 liter petrol RON 95 dikatakan dipandu laju sebelum gagal dikawal sehingga terjunam ke dalam gaung sedalam empat meter dan merempuh rumah terbabit.Menurut Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Supritendan Setapa Yusuff, ketika kejadian, lori terbabit pada mulanya merempuh penghadang jalan dan sebuah kereta Mercedes Benz yang diletak di tepi jalan."Lori itu kemudiannya terjunam ke dalam gaung dan merempuh rumah mangsa sebelum meletup dan terbakar," katanya.

ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha memadamkan kebakaran yang berlaku selepas sebuah lori tangki minyak merempuh sebuah rumah di Kampung Batu Ulu Klawang, Jelebu, semalam.

MARIANI Chembeng (tengah) yang tidak dapat menahan kesedihan berikutan kematian dua anaknya ditenteramkan oleh anggota keluarganya di Kampung Batu Ulu Klawang, Jelebu, semalam.

TRAGIC…Firefighters from the Jelebu fire and rescue station trying to put out the fire involving an oil tanker that crashed into a house and exploded in Kampung Ulu Klawang. The 9am incident claimed three lives including two siblings aged 7 and 14 years old and the driver. -- BERNAMA
Dec 12, 2009 2:57 pm

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Jelebu berusaha memadamkan kebakaran disebabkan lori tangki minyak yang terbabas dan meletup di sebuah rumah di Kampung Ulu Klawang, Jelebu, hari ini. Tragedi negeri pada jam 9 pagi tadi itu menyebabkan tiga orang termasuk dua beradik berusia 7 dan 14 tahun rentung.

Keadaan sekitar kawasan rumah yang hangus terbakar setelah dirempuh sebuah lori tangki minyak yang terbabas di Kampung Ulu Klawang, Negeri Sembilan. Dalam kejadian itu menyebabkan tiga orang termasuk dua adik beradik berusia 7 dan 14 tahun rentung.

Petronas siasat punca kemalangan lori tangki

Oleh Sazarina Shahrim dan Hussain Said
bminggu@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Berhad (PDB) sedang menyiasat punca kejadian lori tangki minyak syarikat itu yang meletup selepas terbabas dan merempuh sebuah rumah di Kampung Ulu Klawang sehingga mengorbankan tiga orang. Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, PDB berkata, pihak berkuasa dan wakil PDB dan operator penghantaran pihak ketiga yang membawa produk untuk syarikat itu kini berada di tempat kejadian untuk mengambil tindakan sewajarnya. “Petronas kesal dan mengucapkan takziah serta akan memberi segala bentuk bantuan kepada keluarga mangsa dalam kejadian itu. “Syarikat kami akan mengambil tindakan sewajarnya kepada operator penghantaran yang terbabit dalam kejadian ini selepas siasatan dijalankan,” katanya. Dalam kejadian kira-kira jam 8.39 pagi, dua anak Mariani, Hafiz Hanapiah, 7, dan Anisah, 15, ditemui dalam keadaan rentung dan bertindih selepas rumah mereka hangus terbakar akibat dirempuh sebuah lori tangki minyak yang terbabas sebelum meletup di Kampung Ulu Klawang, Batu 18 Jalan Seremban-Jelebu. Pemandu tangki lori minyak, Shamsulkahar Bahudin turut terkorban dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.40 pagi. Sementara itu di KUALA KLAWANG, Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Rais Yatim memberi jaminan akan membantu Ketua Wanita Umno cawangan Kampung Ulu Klawang, Mariani Cembeng, 45, yang kehilangan dua anak dalam sekelip mata akibat rentung selepas rumahnya terbakar dirempuh lori tangki minyak, dekat sini semalam. Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu dan Ketua Umno bahagian Jelebu berkata, pihaknya yang simpati serta sedih dengan kejadian itu, turut berharap keluarga mangsa dapat bersabar serta menerima ketentuan Ilahi. “Kita akan cuba sedaya upaya membantu beliau dan Petronas yang memiliki secara langsung atau tidak lori tangki itu, diharap turut sama membantu menyampaikan bantuan kepada keluarga mangsa,” katanya selepas melawat tempat kejadian, petang semalam. Rais berkata, pada masa sama beliau berharap kemalangan itu perlu dilihat dari aspek keselamatan jalan raya kerana keadaan jalan berkenaan banyak selekoh serta berdekatan pula dengan rumah penduduk kampung. “Polis sudah tentu akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tetapi pada masa Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu melihat aspek keselamatan jalan raya berkenaan, sama ada selamat atau tidak, terutama kepada penduduk yang tinggal berdekatan jalan itu,” katanya.

Struktur semula selekoh lokasi tragedi - Rais
UTUSAN MALAYSIA
JELEBU - Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengesyorkan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri supaya menstruktur semula laluan selekoh berbahaya yang mengorbankan tiga nyawa dalam tragedi memilukan di Kampung Batu Ulu Klawang, Batu 18, di sini pagi ini.
Katanya, laluan yang berselekoh itu perlu diluruskan dan sempadan jalan terbabit juga mesti dikaji supaya tidak lagi membahayakan kepada pengguna jalan raya. "Kita akan mengesyorkan kepada JKR supaya lenggok jalan ini serta sempadan jalan terbabit dikaji dari segi keselamatan pada masa akan datang," kata beliau. Rais yang juga Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian ditemui pemberita di rumah Mariani Cembeng, 45, yang hangus dan mengorbankan dua anaknya serta pemandu lori tangki minyak dalam kejadian pada pukul 8.39 pagi ini.
Rais juga memberitahu, jika dilihat pada keadaan jalan raya di lokasi kejadian, ia sepatutnya dipandu perlahan. "Bagaimanapun, mungkin pemandu lori itu telah memandu dengan laju sehingga terbabas dan mengakibatkan rempuhan yang kuat," ujar beliau. Sementara itu, Pengarah JKR negeri, Ir. Roslan Mohd. Taha ketika dihubungi berkata, laluan itu selamat dari aspek kejuruteraan teknikal dan mengikut spesifikasi ditetapkan oleh jabatan tersebut.

Petronas Dagangan bantu keluarga mangsa
UTUSAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR - Petronas Dagangan Berhad (Petronas Dagangan) akan menghulurkan bantuan kepada keluarga dua beradik yang terbunuh apabila sebuah lori tangki minyak terbabas dan merempuh rumah mereka di Kampung Batu Ulu Klawang, Batu 18 di Jelebu hari ini. Syarikat itu dalam kenyataan di sini hari ini berkata, pihaknya kesal dengan kejadian tersebut dan sedia menghulurkan apa sahaja bantuan yang diperlukan oleh keluarga mangsa.
"Petronas Dagangan melahirkan rasa kesal dan takziah di atas kejadian itu. Kami bersedia menghulurkan apa sahaja bantuan yang diperlukan oleh keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden itu," katanya. Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap syarikat pengendali lori yang terlibat dalam kemalangan itu. Tambahnya, pihak berkuasa bersama wakil dari Petronas Dagangan serta pihak ketiga yang mengendalikan pengangkutan bagi produk syarikat itu sudah berada di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang sepatutnya.

No comments:

Post a Comment