Thursday, December 3, 2009

Jambatan Gantung

Kontraktor jambatan gantung bertanggungjawab: Shaziman
Bharian / 02.12.2009
KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata kontraktor yang membina jambatan gantung runtuh di Pusat Ko-Kurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan perlu bertanggungjawab di atas tragedi yang meragut tiga nyawa murid sekolah daerah itu bulan lepas. Beliau berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah membuat laporan polis terhadap kontraktor itu kerana kecuaian. "Kementerian itu mendapati kontraktor itu tidak berdaftar dengannya, serta tidak mempunyai "reka bentuk" mengenai jambatan itu," katanya kepada pemberita selepas penutup Hari Inovasi kementerian itu di sini hari ini. Beliau berkata, sebagai kontraktor, mereka perlu bertanggungjawab terhadap semua binaan dan struktur yang mereka bina. "Saya mengambil berat dan serius tentang hal ini apalagi ia telah menyebabkan tiga nyawa terkorban," katanya. Berikutan kejadian itu, Shaziman berkata beliau mengarahkan CIDB menyemak semula Akta CIDB dan bagi tujuan memperkemaskan undang-undang dan penguatkuasaan terhadap pihak bertanggungjawab ke atas kegagalan sesebuah projek. "Akta yang sedia ada tidak membenarkan kita tahan reman pihak terbabit, jadi kita nak perkuatkan lagi, diperbaiki dan diperhalusi sampai tahap mana yang boleh, mungkin kita akan cadangkan pengurus projek (sesuatu projek itu) jaga projek tersebut. "Kita perlu memastikan industri ini terus dihormati dan tidak mahu imej industri binaan dikaitkan dengan kegagalan, ketidaktentuan dan mewujudkan suasana keresahan di kalangan rakyat," katanya. Jawatankuasa Siasatan kejadian itu yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, semalam berkata siasatan mereka mendapati sebab utama keruntuhan adalah berpunca daripada kegagalan blok konkrit tambatan di "Pylon A" untuk menampung beban tambahan daripada "back-stayed cable". Menurut jawatankuasa itu, jambatan yang dibina hasil sumbangan pihak swasta itu didapati tidak berasaskan kepada kod reka bentuk kejuruteraan dan spesifikasi kerja yang baik. Sementara itu, Shaziman berkata beliau telah mengarahkan pegawai kementerian membuat laporan polis mengenai kebocoran kandungan laporan siasatan kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa yang mengorbankan lima nyawa pada 6 Disember tahun lalu di internet baru-baru ini.
"Walaupun Kabinet akan buat keputusan berhubung perkara ini, kita tetap membuat laporan polis," katanya. Shaziman juga berkata, beliau tidak kisah sekiranya kerajaan Selangor mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap keputusan Kerajaan Pusat untuk tidak mendedahkan laporan itu. "Kalau kerajaan Selangor nak ambil tindakan undang-undang pun mengenai perkara ini, saya tidak kisah, kerana mereka perlu berhadapan dengan implikasi undang-undang itu juga nanti," katanya. Beliau juga menolak pendapat yang menyatakan laporan siasatan itu dibuat bagi menuding jari kepada pihak bertanggungjawab, tetapi sebenarnya ia bertujuan mengurangkan risiko tanah runtuh berulang di kawasan Bukit Antarabangsa. - Bernama

No comments:

Post a Comment