Barat utama vaksin H1N1 daripada denggi
Oleh Hafizah Iszahanid / BM / 06.09.2009
Kebersihan diri, persekitaran mampu cegah pembiakan nyamuk Aedes, selesema babi MANA satu yang lebih bahaya? Ancaman denggi atau Influenza A (H1N1)? Tiada jawapan untuk persoalan ini kerana kedua-duanya mampu meragut nyawa dan lebih membimbangkan, tiada sebarang penawar baginya yang ditemui setakat ini. Denggi sudah lama bertapak di Malaysia iaitu sejak 1902. Malah, kes pertama demam denggi berdarah dilaporkan di Georgetown, Pulau Pinang pada 1962. Namun, mengapa sehingga kini denggi masih tidak dapat ditangani? Berbeza dengan H1N1 yang sudah tersenarai sebagai ancaman global, denggi sebaliknya adalah ancaman di negara tropika dan beriklim subtropika atau ringkasnya, jika anda merujuk peta, melingkungi negara membangun dan Negara Dunia Ketiga.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan wabak denggi semakin bertambah sejak dua dekad lalu dengan 50 juta orang menghidap denggi setiap tahun. Daripada jumlah itu, 70 peratus beban penyakit adalah di negara Asia Tenggara dan Pasifik Barat. Di negara yang mana denggi menjadi epidemik seperti Asia, demam denggi berdarah adalah penyebab utama kemasukan ke wad dan kematian. Demam denggi berdarah dikesan buat pertama kalinya di Filipina dan Thailand pada 1950-an dan pada 1970 hanya sembilan negara dikesan dengan demam denggi berdarah. Namun menjelang 1995, jumlah itu meningkat empat kali ganda dan terus meningkat.
Peningkatan jumlah itu sebenarnya bukan disebabkan jangkitan. Sebabnya denggi tidak berupaya berjangkit daripada individu kepada individu lain seperti H1N1. Sebaliknya, denggi berjangkit melalui medium atau 'perantaranya' iaitu nyamuk Aedes. Pembukaan kawasan penempatan baru, kesesakan penempatan di bandar, selain kemudahan pergerakan dari satu kawasan ke kawasan lain hanya memudahkan lagi penularan denggi. Sebenarnya, bagi kerajaan, pelbagai kempen mencegah denggi sudah dilancarkan, seperti Combi (program mengubah sikap) di seluruh negara sejak 2001. Namun, perlu diingat semua langkah pencegahan yang dilakukan kementerian tidak akan berjalan dengan baik jika masyarakat masih tidak mengendahkan kepentingan menjaga kebersihan persekitaran.
Malah Kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan 2006, misalnya menunjukkan pengetahuan orang awam mengenai Aedes dan denggi mencecah 85 peratus. Malangnya, hanya 15 peratus responden yang mengamalkan pengetahuan itu. Tidak dinafikan, setakat ini denggi ialah penyebab utama kematian di Malaysia berbanding H1N1. Namun, kerana potensi H1N1 untuk meragut nyawa lebih besar dan cepat, menjadikannya penyakit yang ditakuti. Apatah lagi, H1N1 boleh berjangkit dari seorang kepada orang lain melalui partikel bersin atau batuk dan sentuhan tangan. Ia adalah penyakit berkaitan sistem pernafasan dan tidak ada kena mengena dengan memakan babi. Mengapa H1N1 perlu ditakuti? Pertama, vaksin masih dalam pembikinan. Sejak ia mencetuskan kegemparan di seluruh dunia pada Mac lalu, semakin banyak kes kematian dicatatkan dan semakin suntuk masa untuk menghasilkan vaksin. WHO turut menegaskan, penularan pandemik atau wabak besar-besaran H1N1 di seluruh dunia masih lagi aktif. Buktinya, setakat 30 Ogos lalu, 246,221 kes dilaporkan dengan 2,958 kematian yang membabitkan 182 negara. Angka ini bagaimanapun tidak menjelaskan situasi sebenar kerana WHO sudah tidak lagi mewajibkan semua negara melaporkan bilangan kes. Vaksin selesema pula, dihasilkan dua kali setahun (hemisfera utara dan hemisfera selatan) dan mengambil masa enam bulan untuk disiapkan. Walaupun teknologi pengkulturan vero cell memungkinkan vaksin dihasilkan dalam tempoh 24 hari, setakat ini teknologi itu hanya diguna oleh satu syarikat farmaseutikal saja. Oleh itu, selagi vaksin belum dikeluarkan, H1N1 akan kekal sebagai ancaman global. Persoalannya, kenapa denggi yang dikesan sejak 1902 belum ada vaksin? Ini kerana denggi adalah penyakit negara tropika dan subtropika, gergasi farmaseutikal tidak berminat untuk menghasilkan vaksin. Walaupun diketahui denggi itu hanya memiliki empat jenis (strain) berbanding selesema yang memiliki beratus-ratus strain, pandangan denggi sebagai penyakit dunia tropika dan subtropika semata-mata menyebabkan tiada vaksin dihasilkan. Hanya, baru-baru ini WHO melaporkan vaksin denggi sedang dalam proses pembikinan dan Kementerian Kesihatan sudah menerima permohonan daripada pengeluar vaksin denggi untuk menjalankan ujian klinikal kepada pesakit denggi di Malaysia. Namun, vaksin ini hanya akan menjadi nyata dalam tempoh antara lima hingga 10 tahun. Justeru, secara umumnya tiada jawapan untuk soalan, penyakit mana lebih bahaya antara denggi dan H1N1. Apa yang penting, menjalankan tanggungjawab sebagai warga negara prihatin dengan menjaga kebersihan diri dan persekitaran.
No comments:
Post a Comment