Tuesday, September 15, 2009

Nahas Pilatus

Nahas Pilatus: 5 anggotai Lembaga Penyiasat

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menubuhkan sebuah Lembaga Penyiasat bagi menyiasat punca kemalangan pesawat Pilatus PC-7 yang mengorbankan dua juruterbangnya di Langkawi, Kedah pada Jumaat lalu.
Lembaga Penyiasat yang dianggotai lima pegawai TUDM itu diketuai oleh Kolonel Sanusi Samion.Empat lagi ahli lembaga adalah Mejar Chen Boon Jong, Mejar Dr. Zulkifli Mohammad, Mejar Mohd. Shahrul Nizam Hedzir dan Mejar Khairil Nawar Bukhari.
Menurut kenyataan Bahagian Perhubungan Awam TUDM hari ini, penubuhan Lembaga Penyiasat itu antara lain bagi mengesan punca sebenar kejadian itu.
"Kami yakin siasatan ini akan selesai dalam tempoh lima minggu lagi.
"Memandangkan ia merupakan kes pertama melibatkan pesawat jenis PC-7 MKII, kami memerlukan sedikit masa untuk melakukan siasatan secara menyeluruh dan terperinci," kata kenyataan itu. Dalam kejadian Jumaat lalu, dua juruterbang TUDM maut apabila pesawat Pilatus PC-7 yang mereka naiki terhempas di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Mereka ialah Mejar Mohd. Rozaini Mohd. Mustafa, 32 dan Mejar Mohd. Zulkifli Hasan, 38. Pesawat buatan Switzerland itu mula diguna pakai ketika latihan penerbangan TUDM sejak tahun 2006. Menurut kenyataan itu lagi, alat rakaman suara data penerbangan atau Cockpit Voice Flight Data Recorder (CVFDR) yang berfungsi seperti kotak hitam pesawat akan dihantar ke syarikat pengeluar kapal terbang berkenaan untuk tujuan analisis.
Selain itu, katanya, bangkai pesawat itu sedang dikeluarkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dengan bantuan krew Kejuruteraan Kolej Tentera Udara Alor Setar menggunakan pesawat C130H. "Proses pengalihan pesawat tersebut ke bahagian teknikal kolej berkenaan dijangka selesai hari ini," jelas kenyataan itu. Pada masa yang sama, TUDM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga wira-wira TUDM yang terkorban dalam nahas tersebut.

No comments:

Post a Comment