Tuesday, August 10, 2010

Buaya Depan Rumah

Buaya depan rumah
Oleh Kandau Sidi
BUAYA sering naik ke darat apabila banjir ekoran air pasang di Kampung Rancah.
Keselamatan 40 keluarga etnik Kedayan terancam setiap kali Sungai Sibuti melimpah
BEKENU (Miri): Mungkin bagi sesetengah individu kehadiran buaya di halaman rumah sesuatu yang menyeramkan, namun bagi kira-kira 40 keluarga etnik Kedayan di Kampung Rancah Rancah, tebing Sungai Sibuti, ia pengalaman biasa kerana setiap kali banjir atau air pasang besar, buaya sering muncul di kampung mereka. Walaupun reptilia itu tidak pernah menyerang penduduk kampung berkenaan, majoriti mereka yang bekerja sebagai nelayan dan petani tetap bimbangkan keselamatan mereka. Ketua Kampung Rancah Rancah, Kipli Ali, berkata setiap kali hujan lebat dan air pasang, keseluruhan rumah penduduk kampung itu akan dinaiki air sehingga satu meter.Walaupun rumah penduduk tinggi, beliau berkata, sukar untuk mereka keluar rumah untuk mendapatkan barangan keperluan terutama ketika banjir kerana jalan kampung sedia ada turut dinaiki air."Hanya rumah yang dibina agak tinggi bebas daripada masalah itu. Jika banjir, buaya akan muncul di halaman rumah. Bagaimanapun, setakat ini buaya tidak pernah membaham penduduk, melainkan haiwan ternakan," katanya kepada Berita Harian.Sehubungan itu, beliau meminta supaya kerajaan membina parit dan saliran yang lebih baik untuk mereka. Beliau berkata, jika parit besar dibina di kawasan kampung itu masalah banjir ketika air pasang akan dapat dikurangkan."Sekarang kemudahan parit dan saliran di kampung kami kurang baik. Jika sungai pasang besar, air akan tetap naik memasuki kediaman penduduk. Sekurang-kurang jika ada saliran yang baik pengaliran air di kawasan kampung menjadi lebih baik. Air yang bertakung ketika pasang akan surut dengan cepat," katanya.Kipli juga menyarankan supaya kerajaan memperbesar dan meninggikan jalan kampung sedia ada supaya tidak mudah dinaiki air.Beliau berkata, kenderaan milik penduduk kampung tidak dapat digunakan ketika banjir kerana jalan kampung mudah dinaiki air.Mohani Hassan, 81, meminta kerajaan menyediakan kemudahan bot keselamatan untuk penduduk kampung berkenaan supaya mereka mudah dipindahkan jika berlaku banjir. "Tidak semua penduduk kampung mempunyai bot sendiri untuk menyelamatkan diri ketika banjir besar. Sekiranya ada kemudahan itu, kita tidak perlu menunggu pasukan keselamatan dari Miri dan Bekenu untuk membantu memindahkan penduduk ketika banjir."Penduduk kampung boleh menggunakan bot itu untuk tujuan keselamatan memindahkan penduduk kampung sewaktu banjir,” katanya.Kesulitan yang dihadapi penduduk Kampung Rancah Rancah turut mendapat perhatian serius Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang meminta supaya jabatan kerajaan berkaitan membantu menyelesaikan masalah perparitan di situ.Beliau yang meluangkan masa lebih tiga jam meninjau kampung itu baru-baru ini menggunakan motosikal, berkata masalah banjir yang dihadapi penduduk kampung itu dapat dikurangkan jika ada sistem pengairan dan saliran yang baik."Saya nampak kebanyakan parit di kampung berkenaan kecil dan tidak diurus dengan baik. Saya minta agensi berkaitan bantu atasi masalah ini dengan segera," katanya.Kampung Rancah Rancah terletak kira-kira 10 kilometer dari pekan Bekenu, yang mana 10 tahun lalu mereka bergantung kepada Sungai Sibuti untuk untuk membeli barangan keperluan di pekan itu.Bagaimanapun, ketika ini sudah ada jalan raya pesisir pantai yang membolehkan penduduk mendapatkan barangan keperluan asas, selain memasarkan produk pertanian lebih mudah di pekan Bekenu. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sabah_Sarawak_Buayadepanrumah/Article

No comments:

Post a Comment