Wednesday, August 4, 2010

Lori Rempuh Sekolah

Lori rempuh sekolah
Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my
BAHAU: Seramai 36 murid tahun lima sebuah sekolah rendah, dekat sini, yang sedang mengikuti kelas agama Kafa, lari lintang-pukang selepas sebuah lori terbabas lalu memasuki kawasan sekolah sebelum merempuh bilik darjah mereka, semalam.
NAHAS...orang ramai mengeluarkan pemandu lori yang merempuh sekolah, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu, semua murid bersama seorang guru agama terpaksa menyelamatkan diri selepas bilik darjah mereka bergegar. Guru agama yang hanya dikenali sebagai Rosiah, 30-an, berkata ketika sedang mengajar, dia dikejutkan dengan satu bunyi amat kuat dan menakutkan. “Sejurus kemudian kelas bergoyang dan cermin kaca nako pecah menyebabkan semua pelajar lari untuk menyelamatkan diri. “Pada mulanya saya tidak mengetahui apa yang berlaku sebelum melihat sebuah lori merempuh tiang bucu kelas tempat saya mengajar,” katanya ketika ditemui, di sini. Beliau berkata, semua pelajar sempat melarikan diri dan tidak mengalami kecederaan dalam kejadian yang menakutkan itu. “Walaupun terkejut, saya bersyukur kerana kami tidak cedera dalam kejadian ini,” katanya. Sementara itu, jurucakap polis berkata, sepasukan anggota dan pegawai bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan siasatan sebaik menerima maklumat mengenai kejadian terbabit. Menurutnya, berdasarkan kepada siasatan awal, kejadian itu dipercayai berlaku apabila lori tanpa muatan yang dalam perjalanan menghala ke Air Hitam itu cuba mengelak sebuah kereta di depannya yang didakwa membrek secara mengejut. “Pemandu berusia lingkungan 30-an itu kemudian mengelak ke kanan jalan sebelum kenderaan berat terbabit dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke dalam kawasan sekolah melalui pintu pagar yang terbuka. “Lori itu merempuh bucu tepi bilik darjah menyebabkan pemandunya tersepit di tempat duduk lorinya yang remuk teruk,” katanya. Katanya, semua pelajar dan guru agama yang berada di dalam kelas bagaimanapun tidak cedera. Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bahau, S Jaganathan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.15 petang. “Sebaik tiba kami mendapati pemandu lori tersepit di dalam kenderaannya yang remuk teruk dan operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira 10 minit,” katanya. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lorirempuhsekolah/Article

No comments:

Post a Comment