SUNGAI BULOH: Siapa tembak siapa? Itulah persoalan yang cuba dirungkai polis berhubung kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang, Datuk Abdul Aziz Mohd Noh, 64, dan bekas pembantu peribadinya, Siti Rohana Ismat, 43, dalam kenderaan dipandu mantan Yang Berhormat (YB) itu di Kilometer 455.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, semalam.
MAUT...anggota polis memindahkan mayat Abdul Aziz ditemui mati ditembak dalam kenderaannya, pagi semalam.
Kedua-dua mereka dipercayai ditembak dari jarak dekat berdasarkan tiada bukti tembakan dilepaskan dari luar kenderaan. Siasatan awal polis mendapati terdapat satu kesan tembakan pada kepala Abdul Aziz manakala kepala Siti Rohana mempunyai dua kesan tembakan. Polis turut menemui sepucuk revolver .38 milik Abdul Aziz dalam Toyota Caldina dinaiki mereka.Difahamkan, kereta berkenaan yang dipandu Abdul Aziz adalah milik Siti Rohana. Ibu tunggal beranak empat itu aktif dalam politik dan pernah menjadi pembantu peribadi kepada Abdul Aziz dan kini Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjung Karang. Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi semalam, petugas lebuh raya mulanya menyangka mangsa terbabit dengan kemalangan biasa, namun terpaksa memanggil polis sejurus mendapati punca kematian kedua-dua penumpang kereta berkenaan akibat kesan tembakan. Susulan itu, sepasukan anggota polis unit Forensik Selangor bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebelum mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat. Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis turut menemui sepucuk pistol dalam kereta berkenaan dan senjata itu kini dihantar ke makmal forensik untuk siasatan lanjut. “Terdapat dua peluru yang masih berada dalam chamber pistol (revolver) manakala tiga bekas peluru yang sudah digunakan di dalam chamber. Saya meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu. “Mungkin ia kes pembunuhan atau sebaliknya. Adalah baik sekiranya polis melakukan siasatan lebih rapi terlebih dulu,” katanya sambil memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Anak bongsu Abdul Aziz, Mohd Anis Hisham, 33, berkata dia mengetahui kemalangan menimpa bapanya sekitar jam 12 tengah hari, selepas mendapat panggilan telefon daripada rakannya lalu bergegas ke lokasi kejadian sebelum ke Bilik Mayat Hospital Sungai Buloh. “Saya masih tidak dapat memastikan sama ada bapa saya mati ditembak atau sebaliknya. Apa yang saya tahu, dia sememangnya memiliki lesen senjata api selain menyimpan sepucuk pistol model revolver .38. “Senjata api terbabit yang digunakan untuk tujuan keselamatan kerap dibawa bapa sejak dia menjadi Adun antara 2004 hingga 2008,” katanya. Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati sanak-saudara mangsa serta beberapa ahli politik termasuk Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Azeez Abdul Rahim, berada di pekarangan bilik mayat HSB bagi menziarahi mangsa dan mengetahui punca sebenar kejadian. Menurut Mohd Anis, dia hanya mengetahui bapanya ditemani Siti Rohana dalam perjalanan ke Tanjung Karang dari Petaling Jaya bagi menghadiri aktiviti yang dijalankan Umno bahagian berkenaan. Anggota Exco Pemuda Umno Malaysia itu berkata, kali terakhir dia berjumpa ayahnya awal pagi semalam sebelum keluar meninggalkan rumah yang didiami bersama keluarga di Shah Alam.“Kami bersarapan bersama sebelum membaca akhbar di ruang tamu sebelum keluar untuk urusan masing-masing. Ayah saya adalah mentor saya dan dalam karier politiknya dia disegani semua lapisan masyarakat di kawasannya,” katanya. Menurutnya, Abdul Aziz kini memegang jawatan sebagai Bendahari Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor dan banyak menghabiskan masa dengan kerja kebajikan. Difahamkan, selain Mohd Anis, mangsa meninggalkan dua lagi anak iaitu Nor Azila, 40, dan Nor Azian, 37, serta empat cucu. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tembakandaridalam/Article
No comments:
Post a Comment