Tuesday, October 6, 2009

ERP - Bersedia mendepani bencana

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my / 06.10.09
"GEGARAN kali ini lebih kuat, lagi dahsyat dari 2004," demikian teks sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima daripada seorang rakan lewat petang Khamis lalu. Dengan pantas penulis dapat menelah SMS itu pastinya reaksi daripada kejadian gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter berpusat di Sumatera Barat, Indonesia yang baru beberapa minit berlaku sebelum itu.
Gempa bumi itu sehingga kini mengorbankan tidak kurang 3,000 nyawa dengan ramai dilaporkan masih terperangkap di bawah timbunan rumah dan bangunan yang ranap.
Sejak rakan ini berpindah dan tinggal di apartmen berbelas-belas tingkat di pinggir ibu kota itu, dia tidak pernah terlepas daripada merasai gegaran akibat gempa bumi kuat terutamanya yang berpusat di Sumatera.
Pada ingatan penulis, ini merupakan pengalaman gempa bumi mencemaskan yang keempat dialami rakan itu yang menyaksikan penduduk di apartmennya bergegas mengosongkan rumah masing-masing. Malah, rakan ini turut mempunyai kenangan dalam sejarah gempa bumi paling dahsyat pernah direkodkan sepanjang empat dekad yang berpusat di Sumatera Barat, Indonesia pada 2004.
Gempa bumi berukuran 9.4 pada skala Richter itu mengorbankan hampir 400,000 nyawa di negara pinggir Lautan Hindi dengan hampir separuh daripadanya merupakan penduduk Indonesia. Itu merupakan pengalaman gempa bumi pertamanya yang membuatkan beliau masih lagi merasakan traumanya sehingga kini.
SMS rakan itu membuatkan penulis terfikir adakah Malaysia yang selama ini bebas daripada malapetaka gempa bumi semakin terdedah kepada ancaman bencana alam itu?
Perkara ini sebenarnya sudah seringkali dibangkitkan setiap kali berlakunya gempa bumi kuat terutamanya yang berpusat di negara jiran yang gegarannya turut dirasakan di negara ini.
Namun, memandangkan gegaran itu tidaklah sampai meranapkan bangunan dan mengorbankan nyawa, kebanyakan kita berasa selesa dengan anggapan bahawa Malaysia masih lagi bebas daripada bencana gempa bumi yang dahsyat.
Hakikat itu juga disokong dari sudut rekod kajian seismologi yang menunjukkan Malaysia sejak 100 tahun lalu atau mungkin lebih lama tidak mengenal pasti adanya kawasan yang akan mengalami gempa bumi besar.
Ini kerana Malaysia terletak di luar kawasan Lingkaran Api Pasifik yang kerap dilanda bencana tersebut. Namun sejauh mana pengetahuan seismologi itu mampu menandingi rencana perubahan kuasa alam?
Adakah berbaloi untuk kita bergantung sepenuhnya kepada rekod-rekod ini dalam mengukur tahap ketahanan negara terhadap malapetaka alam terutamanya gempa bumi?
Pakar-pakar seismologi turut mengingatkan bahawa sebahagian gelinciran yang berlaku pada 2004 mengalami tekanan yang semakin meningkat dan boleh berganjak pada masa depan. Ia termasuk kemungkinan untuk menghampiri Malaysia sekali gus menjadikan risiko gempa bumi yang lebih dahsyat di negara ini bukan sesuatu yang mustahil.
Gelinciran yang terbentuk di pesisiran pantai barat Sumatera sepanjang kira-kira 200 kilometer itu juga menjadi titik pertembungan kerangka tektonik Eropah-Asia dan Pasifik.
Keadaan tektonik yang saling menolak sejak bertahun-tahun lamanya itu turut meningkatkan tekanan ke atas gelinciran.
Dalam jangka masa panjang menurut saintis lagi, gelinciran yang semakin ketara itu mampu mencetus kepada ombak tsunami yang lebih dahsyat berbanding 2004 serta mampu menenggelamkan keseluruhan wilayah Sumatera. Ketika itu, apakah jaminan Malaysia mampu terlepas daripada kuasa bencana alam yang dahsyat tersebut?
Perkara yang sama turut ditekankan oleh Ketua Pusat Penyelidikan Alam Sekitar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Ku Halim Ku Hamid. Menurut beliau impak gegaran akibat gempa bumi yang turut dirasai di Malaysia tidak lagi boleh dianggap terlalu kecil.
Ini kerana perubahan yang berlaku kepada fenomena alam itu kebelakangan ini memperlihatkan tanda-tanda gegaran semakin menghampiri negara ini.
''Kerana itu juga bencana alam ini terutamanya yang berpusat Sumatera sedikit sebanyak akan turut dirasai oleh Malaysia. Begitu juga dengan ancaman yang dicetuskan olehnya seperti tsunami," katanya.
Tidak dinafikan, dari aspek amaran awal bencana alam, Malaysia agak ke hadapan berbanding negara-negara lain di rantau ini. Selepas peristiwa tsunami pada 2004, Malaysia telah memasang pelampung amaran awal tsunami atau boya di perairan Indonesia, Pulau Layang-Layang dan di bahagian perairan Filipina.
Sistem ini menawarkan data serta capaian maklumat bencana tsunami kepada negara-negara termasuk Vietnam dan China sebagai langkah persediaan menghadapi bencana itu. Sistem itu juga akan menghubungkan ASEAN dengan negara-negara lain seperti India dan Jepun untuk melengkapi jaringan rangkaian maklumatnya.
Pemasangan sistem itu sudah pun diuji keberkesanannya apabila setiap gempa bumi yang berpusat di Laut Sulu, Laut China Selatan dan Lautan Hindi mampu diukur sama ada turut membawa ancaman tsunami atau sebaliknya.
Malah sistem amaran awal tsunami ini juga akan diperluas dari semasa ke semasa meliputi amaran pelbagai bencana alam lain. Ia termasuk kemampuan mengesan gempa, perubahan cuaca serta kenaikan paras air laut.
Penubuhan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Kebangsaan juga di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) merupakan langkah persediaan negara menghadapi sebarang bentuk krisis bencana dan kesihatan secara berterusan.
Pusat ini akan beroperasi sepanjang masa dan menyelaras bentuk tindakan dengan matlamat mengurangkan kematian sebelum, semasa dan selepas berlakunya bencana.
Bagaimanapun sistem amaran awal tidak memberi apa-apa manfaat sekiranya maklumat mengenai ancaman bencana itu gagal disalurkan dengan tepat dan cepat kepada orang ramai. Ini juga menjelaskan mengapa angka korban bencana alam di sesetengah negara sangat tinggi. Ia kerana kegagalan kerajaan memberi amaran awal kepada penduduk untuk menyelamatkan diri.
Dalam kejadian tsunami misalnya, tempoh kira-kira 15 minit selepas gempa bumi melanda dasar laut diambil untuk mencetuskan ombak besar. Tempoh yang sangat kritikal inilah sebenarnya yang seharusnya digunakan oleh kerajaan untuk memberi amaran sepantas mungkin bagi mengelak jumlah korban yang besar.
Bagi Malaysia, tempoh itu boleh diatasi dengan kecanggihan teknologi telekomunikasi dan Internet ketika ini. Apa yang menjadi kebimbangan ialah kebanyakan bangunan di negara ini terutamanya yang dibina pada dekad-dekad awal pembangunan negara tidak mengambil kira ketahanan terhadap gempa bumi.
Ini kerana pada ketika itu, tiada siapa yang menjangka Malaysia satu hari nanti akan turut terdedah kepada bencana alam. Justeru, sistem amaran awal bencana perlu turut memberi perhatian kepada kumpulan-kumpulan yang berisiko ini.
Ia termasuk pendedahan kepada prosedur atau protokol keselamatan menghadapi bencana yang membolehkan mereka dipindahkan ke kawasan yang selamat dengan lancar.
Prosedur mengelak situasi panik dan cemas di kalangan rakyat juga perlu diperluas bagi mengelak kesan bencana yang lebih besar. Ia penting kerana kita sebelum ini tidak pernah berdepan dengan bencana alam dahsyat dengan jumlah korban yang tinggi dan kemusnahan harta benda yang besar seperti yang menimpa Aceh misalnya.
Meskipun sistem amaran awal kita mungkin berjaya menyelamatkan banyak nyawa, namun kesan kemusnahan selepas bencana adalah sesuatu yang lebih sukar diterima.
Justeru aspek kesiapsiagaan dan ketahanan mental juga perlu diberi perhatian dalam kita berdepan dengan kemungkinan bencana.

No comments:

Post a Comment