Tuesday, October 20, 2009

Kena serpihan mercun, pelajar dikejar ke IJN

KUANTAN- Seorang pelajar sebuah kolej di Jalan Gambang, di sini terpaksa menerima rawatan Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, akibat terkena serpihan mercun yang dibakar sekumpulan lelaki di Jalan Air Putih, kelmarin. Akibat kejadian, pelajar terbabit, Mohamad Amirul Solehin Mohd Kamanuddin, 19, mengalami luka kecil dan hasil pemeriksaan mendapati, terdapat serpihan logam tertanam di badannya. Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam kelmarin itu, Mohamad Amirul bersama seorang rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Jalan Air Putih, di sini. Mangsa difahamkan terserempak dengan sekumpulan lelaki sedang bermain mercun berhampiran kawasan rumahnya. Secara tiba-tiba, bahan letupan yang dibakar kumpulan itu meletup dan serpihannya menembusi baju serta mengenai belakang badan mangsa. Menyedari mengalami kecederaan di bahagian belakang badannya, mangsa segera mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), bagaimanapun dia terpaksa ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut. selepas keadaannya semakin lemah dan tidak bermaya. Hasil pemeriksaan, pihak hospital mendapati satu serpihan logam tertanam di belakang badannya. Berikutan itu, pelajar terbabit dikejarkan ke IJN kira-kira jam 6 petang kelmarin untuk mengeluarkan serpihan logam yang dipercayai tertanam hampir dengan bahagian paru-parunya. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zulkifli Taha, ketika ditemui, di sini semalam, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan. Beliau berkata, rakan mangsa yang berusia 21 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kira-kira jam 4.30 petang kelmarin dan siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung kejadian.

No comments:

Post a Comment