Pengabaian Keselamatan Undang Tragedi
Jambatan Gantung Kuala Dipang
TRAGEDI jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, yang menyebabkan seorang murid terkorban, manakala dua lagi masih hilang mengundang pelbagai persoalan. Ketika pihak berkuasa berhempas pulas meneruskan operasi mencari dan menyelamat, pelbagai pihak sudah mula menyuarakan pendapat mereka. Reaksi mereka tidak mengejutkan kerana yang menjadi mangsa dalam insiden itu ialah murid sekolah rendah. Tambahan pula, ia berlaku dalam program anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Sudah tentu isu utama yang diperdebatkan ialah berhubung aspek keselamatan. Apatah lagi ia berlaku di Pusat Kokurikulum milik PPD Kinta Selatan yang lokasinya bersebelahan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang. Apapun alasannya dan sama ada mahu atau tidak, hakikatnya beban tanggungjawab paling besar terhadap tragedi itu sebenarnya terpikul di atas bahu PPD. Meneliti rentetan peristiwa malang itu, sesuatu yang paling ketara ialah ia berpunca daripada pengabaian aspek keselamatan. Tanpa niat menuding jari kepada sesiapa, kita harus mengakui bahawa semua yang terbabit sama ada PPD, penyelia keselamatan, guru, malah murid sendiri alpa terhadap aspek keselamatan sehingga mengundang musibah. Malah, kontraktor yang membina jambatan gantung itu turut tidak terkecuali. Walaupun ia dikatakan dibina sebagai sumbangan untuk kemudahan pelbagai pihak, ia sepatutnya dimaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya spesifikasi dan aspek teknikalnya dapat dipastikan. Di pihak PPD pula, isu sama ada ia sudah meneliti piawaian keselamatan atau kesesuaian tapak lokasi program perkhemahan, menjadi persoalan utama. Begitu juga dengan aspek logistik, pengendalian dan pengisian program itu. Demikian juga dengan semua guru serta pegawai keselamatan yang terbabit dalam menyelia program kokurikulum itu. Malah, murid terbabit sendiri, walaupun baru berusia 10, 11 dan 12 tahun sepatutnya lebih bijak menjaga keselamatan mereka. Mereka tidak sepatutnya melompat atau sengaja menggoyangkan jambatan gantung itu ketika menaikinya. Walaupun mungkin masih mentah, setidak-tidaknya mereka tentu dapat membaca amaran had muatan jambatan itu yang dikatakan jelas terpampang. Sebenarnya, mencari atau meletakkan kesalahan kepada satu-satu pihak saja tidak akan menyelesaikan masalah. Hakikatnya, keselamatan adalah tanggungjawab bersama. Melahirkan amarah tidak berkesudahan serta bertindak terburu-buru akan hanya merumitkan keadaan. Biarlah pasukan khas yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran menyiasat kes itu melaksanakan tugas mereka sebaiknya. Susulan itu nanti, sudah tentu tindakan sewajarnya mengikut lunas yang ditetapkan, dapat diambil demi keadilan semua. Kita dan semua pihak amat bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga semua mangsa tragedi itu. Apa yang penting kini ialah untuk semua pihak menjadikan tragedi malang itu sebagai iktibar dan berusaha memastikannya tidak berulang pada masa depan.
Kaji Segala Risiko Sebelum Laksana Kegiatan Murid
SEKALI lagi negara digemparkan dengan tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Perak membabitkan murid sekolah rendah yang mengikuti perkhemahan di Pusat Kokurikulum Daerah Kampar. Walaupun ramai terselamat, pelbagai perkara boleh dijadikan iktibar. Pentingnya ialah mengkaji di mana silap sehingga berlaku kejadian seumpama ini. Usaha supaya kejadian seperti ini tidak berulang mesti didahulukan sebelum perkara lain diberi perhatian. - Pertama, guru pengiring mesti bersedia menghadapi sebarang kemungkinan terhadap murid yang mengikuti aktiviti. Nisbah guru perlu sepadan dengan jumlah peserta.
Pengawasan terhadap mereka mesti ditingkatkan kerana murid kurang memahami ciri keselamatan dan mudah lupa nasihat serta tidak peka terhadap risiko di tempat yang dikunjungi. Kajian mengenai tingkah laku, tahap kenakalan, keupayaan fizikal dan aspek berkaitan diri murid mesti diberi penekanan oleh sekolah sebelum mereka dibawa mengikuti aktiviti luar bilik darjah bergantung pada lokasinya. Murid sekolah rendah lebih bersifat santai dan ke arah mencari keseronokan berbanding pelajar sekolah menengah. - Kedua, tragedi di Kuala Dipang perlu disandarkan kepada pengendali pusat kokurikulum berkenaan.
Ciri keselamatan setiap kemudahan perlu diambil kira sebelum membenarkan pengunjung menggunakannya. Pusat aktiviti di tempat lain juga perlu diberi pengawasan, diteliti dan diambil kira faktor keselamatannya. Memandangkan cuti panjang persekolahan bermula tidak lama lagi, tentu banyak sekolah mengadakan aktiviti luar seperti perkelahan dan perkhemahan. Pada masa ini pun sudah kelihatan banyak bas sekolah di lebuh raya membawa pelajar ke sesuatu tempat kerana mengisi kegiatan luar bilik darjah apatah lagi bagi pelajar yang selesai menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Sebagai usaha menambah keyakinan ibu bapa, sekolah dan pihak terbabit dengan pengurusan sesuatu tempat yang bakal dilawati, maka semua pihak berkaitan perlu memainkan tanggungjawab memastikan tragedi seperti ini tidak berulang. Kita hampir tiba ke musim banjir dan berdepan hujan lebat pada hujung tahun, langkah mengawal dan memantau kejadian mati lemas perlu juga diberi perhatian.
No comments:
Post a Comment