Thursday, October 22, 2009

MPV jatuh atas landasan Komuter KTM

PETALING JAYA: Dua lelaki nyaris maut apabila kereta pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam lalu terjatuh ke atas landasan Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) di Subang Jaya di sini pagi tadi. Dua lelaki itu bernasib baik kerana ketika kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, tiada tren melalui landasan berkenaan. Pengurus Operasi Bahagian Tengah KTM Rusli Md Nor berkata, kereta itu terjatuh di atas landasan laluan menuju Kuala Lumpur, iaitu kira-kira 500 meter dari stesen Subang Jaya.
"Kebetulan ketika kejadian sebuah tren dari Kuala Lumpur ke Shah Alam baru berhenti di Stesen Subang Jaya. Pemandu tren yang melihat kereta itu terjatuh terus memaklumkan kepada pusat kawalan. "Tindakan pantasnya itu menyelamatkan nyawa dua lelaki berkenaan kerana sebuah tren dari Shah Alam ke Klang baru tiba di stesen Batu Tiga dan akan meneruskan perjalanan yang mungkin akan melanggar kereta berkenaan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini. Katanya, dua lelaki berkenaan dipercayai menghala ke Subang Jaya melalui Lebuhraya Persekutuan dan setibanya di satu selekoh keluar ke Subang Jaya, kereta itu terbabas dan melanggar penghadang besi jalan sebelum terjatuh.
Rusli berkata, seorang daripada dua lelaki itu patah di bahagian tangan dan mereka kini menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Beliau berkata, kejadian itu mengakibatkan jadual perjalanan tren terlewat selama hampir 15 minit kerana hanya sebuah landasan sahaja boleh digunakan sebelum kereta itu berjaya ditarik keluar dari landasan tiga jam kemudian. Katanya, kejadian serupa turut berlaku di kawasan berkenaan bulan lalu juga membabitkan sebuah MPV yang terjatuh ke atas landasan Komuter KTM. - Bernama

No comments:

Post a Comment