Sinar Harian Isnin 12-10-2009
KUALA LUMPUR - Semua ibu bapa diingatkan agar mengambil berat serta memantau tindak tanduk anak-anak mereka berikutan kebanyakan kebakaran yang berlaku sepanjang musim perayaan ini dilaporkan berpunca daripada kecuaian kanak-kanak. Penolong Pengarah Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, antara laporan yang diterima sejak 20 September lalu, tiga daripadanya adalah kebakaran yang berlaku disebabkan penggunaan pemetik api oleh kanak-kanak. “Kanak-kanak ini mungkin mendapat pendedahan tentang alat terbabit melalui ibu bapa sebelum kemudiannya mengambil dan mencubanya secara senyap-senyap tanpa pengetahuan orang tua mereka. “Mereka selalunya akan menyembunyikan pemetik api berkenaan dalam bilik tidur dan akan bermain dengan alat itu apabila ibu bapa mereka tiada di rumah,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Aildilfitri Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, di sini, semalam. Azizan berkata, akibat sikap ‘suka-suka’ kanak-kanak ini akhirnya mencetuskan kejadian yang lebih buruk apabila api merebak sebelum membakar keseluruhan rumah dan membahayakan nyawa mereka. “Oleh itu kita nasihatkan ibu bapa agar mengawasi tingkah laku anak-anak mereka dan sebaik-baiknya tidak mendedahkan cara penggunaan alat tersebut agar tidak disalahgunakan,” katanya. Menurutnya, perkara ini sangat penting dan tidak boleh diambil mudah kerana ia bukan sahaja membabitkan keselamatan harta benda tetapi melibatkan nyawa mereka sendiri. Beliau berkata, sikap berhati-hati dan prihatin ibu bapa terhadap setiap pergerakan anak-anak mereka adalah salah satu alternatif terbaik untuk mencegah kebakaran yang berpunca daripada kelalaian diri sendiri.
Monday, October 12, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment