Tuesday, October 13, 2009

Gajah serang tanaman penduduk

FELDA SUNGAI TEKAM UTARA – Sebanyak 459 keluarga peneroka di sini bimbang dan cemas dengan ancaman serangan gajah yang kini semakin kerap memasuki ladang dan memusnahkan tanaman sawit serta pisang yang diusahakan. Seorang mangsa, Ibrahim Omar, 57, berkata, serangan gajah memusnahkan tanaman sawit bermula pada dua hari sebelum Aidilfitri lalu, dan ia berterusan sehingga kini. Menurutnya, serangan terbaru adalah malam semalam apabila sekumpulan tiga gajah memusnahkan kebun pisang seluas dua ekar yang diusahakannya, serta memakan pucuk kelapa sawit dan anak pokok sawit peneroka di sini. “Kami percaya serangan itu berpunca apabila tiga gajah yang menyerang tanaman peneroka di sini terpisah daripada kelompok besar mereka di Hutan Simpan Berkelah yang menjadi sempadan dengan ladang sawit peneroka di sini dan juga Felcra Kampung Perak berdekatan. “Kami juga telah menjalankan pelbagai usaha untuk menghalau gajah terbabit namun sehingga kini tidak berjaya apabila ia tetap memasuki ladang sawit dan memakan segala pucuk muda yang ada,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam. Ibrahim berkata, dalam tempoh hampir sebulan sehingga kini penduduk bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Felda dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) sering melakukan rondaan untuk memastikan kehadiran gajah itu dapat dikekang daripada dibiarkan menghampiri perumahan penduduk. Menurutnya, antara usaha yang dilakukan ialah membakar tayar buruk setiap petang sehingga malam supaya gajah tidak masuk kampung, selain membakar mercun dalam ladang untuk memastikan gajah tidak lagi memusnahkan tanaman. “Usaha ini nampaknya masih lagi tidak berhasil apabila sehingga malam semalam masih terdapat banyak kesan baru tinggalan haiwan ini membuktikan ia masih masuk ke kawasan pertanian, dan apa yang membimbangkan kesannya kini didapati mula menghampiri ke kawasan perumahan penduduk,” katanya. Sementara itu, seorang penduduk, Mat Nizam Yaakub, 60-an, berkata, kehadiran gajah di kawasan Felda berkenaan telah lama berlaku semenjak Felda mula dibuka, namun hilang seketika dan tidak menyangka ia masih berlaku kini. Menurutnya, apa yang berlaku benar-benar mendatangkan kerisauan bukan sahaja menyebabkan kerugian namun juga mengundang kepada ancaman keselamatan penduduk di sini. “Justeru, amatlah diharapkan pihak yang berkenaan untuk memikirkan cara serta kaedah yang lebih baik supaya haiwan ini tidak lagi kembali mengganggu peneroka. “Tindakan awal perlu supaya gajah ini tidak akan memasuki kawasan perumahan yang dikhuatiri akan mengundang lebih banyak bahaya serta kerosakan dan kemusnahan lainnya,” katanya. Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati kebanyakan kemusnahan pada tanaman ialah pada bahagian pucuk pokok kelapa sawit, dan bagi anak sawit yang baru ditanam dimakan, dipijak dan dimusnahkan. Selain memakan anak sawit dan pucuk kelapa sawit, ia turut memusnahkan projek tanaman pisang penduduk dengan kawasan yang paling banyak terlibat ialah Peringkat Empat, Blok Dua, Tiga dan Enam yang mana kawasan ini bersempadan dengan Hutan Simpan Berkelah dipercayai menjadi lokasi tempat tinggal asal haiwan berkenaan sebelum tersesat masuk ke kawasan Felda ini.

No comments:

Post a Comment