Monday, October 5, 2009

Mati terbelit di tali buaian

KOTA BHARU – Seorang ayah terkejut setelah melihat leher anaknya terbelit dengan tali dan tergantung di dalam rumahnya malam kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam kelmarin mangsa, Mohd Amin Azmi, 13, ditemui tergantung di rumahnya di Kampung Jelutong, Seribong dekat Pasir Tumboh. Ayah mangsa, Azmi Hasan, 43, berkata, penatnya hilang dengan serta-merta setelah melihat anaknya itu tergantung di tengah-tengah ruang tamu rumahnya. :Menurutnya, pada hari kebiasaan cuti sekolah arwah akan mengikutinya bersama ibunya, Zubaidah Sulaiman, 40, menjual ikan tetapi kelmarin dia meminta izin untuk berehat di rumah. :“Kira-kira jam 8 malam saya bersama anak sulung, Rozaini, 15 dan adik bongsu bersama isteri baru sahaja sampai di rumah sekembalinya dari Besut. :“Abang sulung arwah menjerit kerana dialah yang pertama melihat adiknya itu tergantung dalam keadaan tidak berdaya lagi dan saya terkejut lalu berlari memastikan apa sebenarnya yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian semalam. :Azmi berkata, dia terkejut melihat keadaan anaknya dan setelah itu dia terus bergegas memotong tali buaian untuk menurunkan anak keduanya dan mendapati badannya masih panas ketika itu. :“Saya tidak menyangka kepulangan kami sekeluarga disambut dengan berita kematian anak abang ngah kerana sebelum pemergiannya kami sempat makan bersama kira-kira jam 2.30 petang dan saat itu masih segar lagi dalam ingatan kami. :“Dia anak yang sangat baik, segala nasihat kami dia ikuti dan tidak pernah menimbulkan masalah kepada keluarga, malah dia juga tidak menyuarakan apa-apa masalah yang dihadapi kepada kami kerana dia sentiasa gembira,” katanya. :Azmi berkata, dia percaya anaknya tidak membunuh diri tetapi leher arwah terlilit tali ketika mengikat buaian. :“Memang ini tempat memasang buaian dan saya percaya tangga yang digunakan arwah patah (berdasarkan kesan pada tangga yang digunakan) sebelum tali berkenaan melilit lehernya sehingga menyebabkan dia mati,” kata Azmi. :Azmi berkata, anaknya itu juga seorang yang berjimat cermat kerana dia ada menyimpan duit untuk membaiki motosikal buruknya yang digunakan bersama abang sulungnya berlegar di sekitar kampung. :“Saya juga dimaklumkan kira-kira jam 6.30 petang saudaranya datang ke rumah tetapi tiada sesiapa pun yang menyahut panggilannya,” katanya. :Jenazah dikebumikan kira-kira jam 11 pagi semalam di tanah perkuburan Kubang Siput berdekatan kampungnya. :Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi berkata, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut. :Menurutnya, tiada tanda kecederaan teruk pada mangsa dan polis mempercayai tiada unsur jenayah dan ketika kejadian dia dipercayai bersendirian di rumahnya.

No comments:

Post a Comment