Sunday, February 28, 2010

Tersepit Penutup Longkang

Kaki pelajar tersepit dalam penutup longkang

Gambar Hiasan

GUA MUSANG: Seorang pelajar sebuah sekolah menengah, dekat sini, menempuh detik mencemaskan selepas kaki kirinya tersepit dalam jeriji besi penutup longkang dalam kejadian di Jalan Pulai, dekat sini, petang kelmarin. Ketika kejadian, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra Satu (SMKTIP-1) Gua Musang berjalan dari sekolah untuk pulang ke rumahnya di Kampung Baru di sini. Kejadian kira-kira jam 5 petang itu, menyebabkan Noreha Abu Hassan, 13, menjerit sekuat hati meminta pertolongan orang awam yang melalui kawasan terbabit kerana kesakitan sebelum mereka menghubungi bomba. Berikutan itu, sepasukan tiga anggota bomba bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang yang tiba 15 minit kemudian mengeluarkan kaki mangsa tanpa mengalami kecederaan parah. Ketika ditemui, Noreha berkata, jeriji besi dipasang sebagai penutup longkang di tepi jalan berkenaan berbahaya kerana jarak setiap besi dipasang itu terlalu luas menyebabkan kaki sesiapa mudah tersepit. Bagaimanapun, dia mengakui kesilapannya membaca buku sambil berjalan menyebabkan kakinya tersepit ke dalam jeriji besi berkenaan berikutan tidak memandang ke depan. “Pada mulanya saya hanya meminta bantuan seorang rakan yang ada bersama bagi mengangkat kaki tersepit, namun gagal menyebabkan kaki saya bertambah sakit memaksa saya menjerit bagi mendapat bantuan. “Ramai yang mengenali saya turut memanggil ibu bapa datang ke tempat kejadian untuk memujuk saya yang dalam kesakitan supaya bersabar sementara menunggu anggota bomba,” katanya. Katanya, dia bersyukur kerana tidak parah dan hanya calar di betis selepas dibantu anggota bomba dan penyelamat untuk mengeluarkan kakinya yang tersepit. “Ketika kaki saya tersepit kuat, tidak ada orang yang mampu merenggangkan besi jeriji itu dan sepasukan bomba yang tiba mengambil masa lima minit membuka besi berkenaan mengguna alat mereka. “Saya takut untuk melalui kawasan itu selepas kejadian berkenaan kerana tidak sangka besi jeriji itu boleh menyebabkan kaki saya tersepit,” katanya.

Friday, February 26, 2010

Tembak Kekasih

Lari sambil darah menitis
Oleh Ahamd Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Persis adegan filem Hindustan, seorang ‘heroin’ yang berlumuran darah terpaksa berlari meminta pertolongan daripada jiran sambil memegang tangannya yang cedera akibat ditembak teman lelakinya, seorang anggota polis sebelum jatuh pengsan akibat kehilangan banyak darah. Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam kelmarin, mangsa, G Prema, 24, terpaksa menahan kesakitan ketika berlari menyelamatkan diri, malah kesan titisan darahnya jelas kelihatan di sepanjang laluan pejalan kaki di tingkat 10 pangsapuri didiaminya.Sebelum itu, orang ramai yang berada di warung berhampiran Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini, dikejutkan bunyi beberapa das tembakan, lalu bergegas ke lokasi bagi mengetahui punca kejadian. Saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Rizal, 30, memberitahu, ketika kejadian dia dan beberapa rakannya berehat di bahagian bawah pangsapuri berkenaan dan terkejut apabila mendengar tembakan. “Pada mulanya saya hanya menyangka ada penghuni meraikan majlis sambutan dan bunyi itu daripada mercun yang dibakar. “Namun tidak lama kemudian, saya terdengar jeritan seorang wanita dan mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku,” katanya. Harian Metro difahamkan wanita terbabit pengsan sebaik tiba di hujung laluan pejalan kaki di tingkat 10 pangsapuri itu sebelum dibantu orang ramai. Mangsa dipercayai terkena dua das tembakan yang dilepaskan teman lelakinya sebelum cuba menyelamatkan diri dan meminta pertolongan jiran. Difahamkan sebelum kejadian, konstabel terbabit yang berkhidmat di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi di sini, dikatakan berselisih faham dan bergaduh dengan anggota keluarga teman wanitanya. Suspek dipercayai turut bergelut dengan anggota keluarga teman wanitanya menyebabkan dia cedera pada beberapa bahagian tubuh. Abang mangsa, G Devandran, 25, juga dilaporkan mengalami cedera ringan di kepala akibat terkena serpihan peluru. Suspek bersama kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan. Harian Metro difahamkan, selepas kejadian itu, suspek dipercayai cuba membunuh diri dengan meminum racun rumpair, tetapi digagalkan polis yang berkejar ke tempat kejadian selepas dimaklumkan orang awam. Difahamkan, suspek dan mangsa yang dijadualkan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi, bergaduh kerana beberapa masalah peribadi sebelum anggota polis terbabit melepaskan tembakan. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Mohamad Sabtu Osman, ketika ditemui mengesahkan kejadian dan memberitahu kes itu kini dalam siasatan. “Suspek adalah konstabel sokongan dan berkhidmat selama lapan tahun di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Dang Wangi dan belum tetap perkhidmatannya,” katanya. Beliau berkata, suspek bertengkar dengan mangsa sebelum melepaskan empat das tembakan yang mengenai wanita dan abangnya di rumah mereka di Pangsapuri PPR Kerinchi. Prema cedera di dagu kanan dan jari kiri, manakala Devandran, cedera ringan di kepala akibat terkena serpihan peluru. Suspek ditahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri.

Wednesday, February 24, 2010

Ustazah Terlanjur

Ustazah terlanjur
KUALA LUMPUR: Dia seorang ustazah bertudung labuh yang berkelulusan dalam bidang agama dari sebuah universiti di Timur Tengah, sebelum ini mengajar di sebuah masjid dan sebuah sekolah rendah di Kota Tinggi, Johor, serta bersuamikan seorang ustaz yang disegani di daerah itu. Bagaimanapun, di sebalik perwatakan lembut dan alim, ustazah berusia 35 tahun itu sanggup menconteng arang di muka keluarga dan suaminya, apabila ditangkap khalwat bersama seorang duda sebayanya, yang juga bekas rakan sekolahnya dan suami. Ustazah yang memiliki latar belakang yang kuat berpegang kepada ajaran agama itu memberi alasan kononnya dia tertekan akibat suaminya berpoligami sehingga sanggup menjalinkan hubungan cinta dengan duda terbabit dan lebih mengejutkan, mereka dipercayai pernah beberapa kali terlanjur.
Tembelang ustazah terbabit pecah apabila dia ditangkap khalwat ketika berdua-duaan dengan duda itu, baru-baru ini dan mereka dilaporkan mengambil masa hampir setengah jam sebelum membuka pintu rumah kedai yang didiami dengan kedua-duanya dalam keadaan berpakaian lengkap. Menurut sumber, lebih menyedihkan, ketika kejadian, suami ustazah terbabit berada di Makkah untuk menunaikan haji. Katanya, sejurus ditangkap berkhalwat, ustazah terbabit menghubungi suaminya untuk memaklumkan kejadian dan terus meminta cerai. Menurutnya, ustazah terbabit dan suaminya berkahwin pada 1997, tetapi tidak dikurniakan cahaya mata menyebabkan mereka mengambil dua anak angkat termasuk seorang daripadanya dipelihara sejak kecil. “Wanita itu bertemu dengan duda yang juga bekas rakan sekolahnya ketika perlawanan boling pada awal tahun lalu dan sejak itu hubungan mereka semakin rapat apabila lelaki itu menjadi tempatnya mencurah perasaan dan menagih simpati. “Ustazah itu memberitahu duda terbabit kononnya dia tertekan kerana suami berkahwin lain sedangkan sebelum ini, dia sendiri bersetuju serta membenarkan suaminya berpoligami dan mereka sama-sama ke mahkamah untuk menguruskan perkahwinan itu. “Tetapi, sebagai seorang yang ada latar belakang agama, hubungan dengan lelaki lain bukan cara untuk mengatasi tekanan lebih-lebih lagi dia masih berstatus isteri orang dan perhubungan itu mendekatkan mereka dengan maksiat,” katanya. Sumber itu berkata, selepas ditangkap, duda itu pula mengaku dia pernah terlanjur dengan wanita berkenaan, tetapi di pihak ustazah terbabit, dia masih mahu ‘menegakkan benang basah’ dan menyebarkan berita kononnya dia dianiaya. Menurutnya, demi menjaga nama baik keluarga dan maruah isteri, suami ustazah terbabit membuat pengakuan kononnya membenarkan duda terbabit menjemput isterinya yang baru pulang daripada rombongan sekolah, sebelum mereka ditangkap khalwat. Katanya, ketika ditangkap, pasangan terbabit memberi alasan duda terbabit datang untuk menghantarnya pulang ke rumah dan membantu mengangkat beg. Sementara itu, Harian Metro difahamkan, ustazah terbabit dan pasangannya akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Kota Tinggi, pada 22 Mac ini, atas tuduhan berkhalwat.

Tuesday, February 23, 2010

Membenteras Pendatang Tanpa Izin

Pelbagai kementerian terlibat
Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my


Gambar Hiasan
PUTRAJAYA - Usaha menangani isu lambakan pendatang asing yang sebelum ini disifatkan sebagai fenomena 'luar biasa' kini diperluaskan kepada penglibatan pelbagai kementerian, agensi dan pihak berkepentingan. Sejajar langkah terbaru kerajaan itu, kementerian terbabit termasuk pihak majikan akan terlibat sama dalam makmal pengurusan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diketuai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam mengatur strategi menangani isu tersebut secara berterusan. Selain itu, tindakan itu juga bertujuan untuk memastikan usaha mengurangkan kebergantungan negara kepada warga asing dalam semua sektor dapat dilaksanakan. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, empat fokus utama yang telah dikenal pasti ialah prosedur kemasukan pekerja asing, perundangan, sistem pemantauan dan penguatkuasaan.''Semua menteri yang terlibat dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan PATI semalam telah berikrar memberikan komitmen bagi menjayakan usaha penubuhan makmal pengurusan itu.''Keputusan jawatankuasa itu penting kerana pengurusan dan pemantauan warga asing melibatkan bidang tanggungjawab pelbagai kementerian dan agensi mengikut sektor masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Kabinet itu mengumumkan penubuhan makmal pengurusan PATI dalam usaha merumuskan cadangan bersepadu untuk menangani masalah pekerja asing dan PATI di negara ini. Sebagai langkah segera, makmal khas itu telah mengadakan mesyuarat pertamanya di KDN di sini hari ini. Menurut Hishammuddin, KDN yang bertanggungjawab dalam sektor keselamatan sedang melaksanakan kaedah terbaik dengan menyediakan tenaga kerja tempatan bagi sub-sektor pengawal keselamatan.Ini kerana katanya, selama ini sektor perkhidmatan itu banyak bergantung kepada pekerja asing. ''Untuk itu, bulan lalu, KDN telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) untuk melaksanakan pengambilan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebagai pengawal keselamatan," katanya. Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, pemantauan pekerja asing di sektor perladangan akan diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi manakala Kementerian Sumber Manusia bagi sektor perkhidmatan. Katanya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pula bertanggungjawab bagi sektor perkilangan. ''Selain itu, beberapa kementerian lain pula bertanggungjawab melihat kemasukan warga asing untuk tujuan khusus yang lain seperti Kementerian Pelancongan bagi tujuan pelancongan manakala Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran bagi pendidikan," katanya. Selain itu Hishammuddin berkata, kerajaan juga akan menarik penyertaan pelbagai pihak berkepentingan seperti persatuan peniaga dan majikan untuk menyertai makmal pengurusan itu.

Monday, February 22, 2010

Tiada bayaran untuk semburan aedes

Tiada bayaran untuk semburan aedes
Salleh Yusup memandu jentolak bagi membersihkan kawasan padang
berhampiran SRK Setiawangsa pada majlis gotong-royong
di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, kelmarin.
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menasihatkan orang ramai supaya membuat aduan kepada polis dan pihaknya jika didatangi pihak yang meminta bayaran atas khidmat pengasapan nyamuk aedes. Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup berkata, ini kerana DBKL tidak pernah mengenakan sebarang bayaran atas perkhidmatan itu. Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihaknya akan mengenakan tindakan terhadap mana-mana syarikat swasta yang mengenakan bayaran atas perkhidmatan semburan nyamuk di kawasan perumahan. "Sekiranya perkara ini berlaku penduduk di kawasan terlibat boleh membuat laporan polis dan pihak DBKL akan mengenakan tindakan terhadap mereka.
"Kebiasaannya, syarikat swasta ini akan mengenakan bayaran sebanyak RM50 untuk sekali semburan," katanya ketika majlis perasmian gotong-royong perdana di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Setiawangsa di sini semalam. Menurutnya, DBKL telah melantik lapan buah syarikat yang mempunyai lesen untuk melakukan pengasapan nyamuk di kawasan perumahan seluruh Kuala Lumpur. "Penduduk dinasihatkan tidak memberi wang kepada syarikat tersebut sekiranya mereka meminta untuk pembayaran bagi perkhidmatan tersebut. "Kita juga tidak pasti bahan yang digunakan untuk semburan adalah berkualiti atau sekadar asap biasa," tegasnya. Sementara itu, kira-kira 500 orang terlibat dalam program gotong-royong perdana ini termasuk pelajar, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, pertubuhan bukan kerajaan dan DBKL.
Program itu dianjurkan oleh PIBG SRK Setiawangsa dan Pejabat Perkhidmatan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique. Salleh berkata, gotong-royong perdana ini bertujuan membersihkan kawasan takungan nyamuk, persekitaran sekolah dan tapak bersebelahan kawasan sekolah untuk dijadikan padang bagi kemudahan pelajar SRK Setiawangsa. Tambahnya, program itu perlu sering diadakan walaupun jumlah kes demam denggi di Kuala Lumpur masih lagi dalam keadaan terkawal. "Program pembasmian kawasan pembiakan nyamuk masih diteruskan dan penguatkuasaan terhadap mereka yang tidak menjaga kebersihan juga sentiasa dilakukan," ujarnya.

Sunday, February 21, 2010

Maut Dihempap Jentolak

Remaja maut dihempap jentolak
Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDINIBU mangsa, Esam Eddie (tengah) ditemani saudara-mara berada di sisi mayat
Mohamad Aiman yang dihempap jentolak di Kampung Sungai Jernih,
Alor Gajah semalam.
KOSMO / 21.02.2010
ALOR GAJAH – Sifat aktif seorang remaja, Mohamad Aiman Mohd. Darus, 14, untuk mencuba sesuatu yang luar biasa dengan menaiki sebuah jentolak membawa padah apabila dia menemui ajal akibat dihempap kenderaan itu semalam. Dalam kejadian pada pukul 11 pagi di kawasan sawah Kampung Sungai Jernih, Lubok Cina di sini itu, jentolak seberat kira-kira lapan tan yang dinaiki Mohamad Aiman ketika sedang beroperasi itu tiba-tiba tumbang lalu menghempap dirinya. Sebelum kejadian ngeri itu, Mohamad Aiman yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Cina bersama dua lagi rakannya bermain di kawasan sawah berdekatan jentolak tersebut.Ketika itu, pemandu jentolak berkenaan dikatakan tidak berada di atas kenderaan terbabit tetapi enjinnya hidup kerana pemandu terbabit dikatakan berhenti seketika selepas kerja-kerja penanaman semula padi di kawasan itu. Jurucakap polis memberitahu, pada ketika itulah Mohamad Aiman bersama seorang lagi rakannya, Mohd. Izwan Mustafa, 10, tiba-tiba bertindak menaiki jentolak terbabit dan duduk di tempat pemandu.“Selepas mereka naik, jentolak itu tiba-tiba tidak stabil lalu menyebabkan ia terbalik menghempap kedua-duanya manakala seorang lagi terselamat,” kata jurucakap polis itu semalam.

Saturday, February 20, 2010

Tragedi Bas Bertembung

38 maut, 58 cedera dalam tragedi bas bertembung di Trujillo, Peru
PASUKAN penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa-mangsa tragedi kemalangan
bas di Trujillo, kira-kira 485 kilometer dari Lima, Peru, kelmarin. Kedua-dua bas
bertembung pada waktu subuh mengakibatkan sekurang-kurangnya 38 orang
penumpang dilaporkan maut dan 58 orang lagi cedera. - AP
LIMA, Peru - Dua buah bas yang bertembung di sebuah lebuh raya di timur laut Peru hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh dan mencederakan 58 yang lain.Polis dan bomba menggunakan peralatan memotong untuk mengeluarkan mangsa yang cedera dari kedua-dua buah bas yang remuk selepas kemalangan berlaku sebelum subuh di Lebuh Raya Panamerican antara Rio Hondo dan Viru, 485 kilometer di timur laut Peru. Tiada punca kemalangan rasmi dinyatakan namun akhbar El Comercio menyiarkan gambar yang menunjukkan lebuh raya lokasi kemalangan itu kelihatan tidak mempunyai garisan putih yang cukup jelas bagi memisahkan lorong bertentangan. "Setakat tengah hari semalam, bilangan mereka yang terbunuh meningkat kepada 38 orang dengan 58 yang lain cedera," kata ketua polis lebuh raya kawasan, Jeneral Eduardo Arteta. Katanya, tiada pelancong asing yang maut atau cedera dalam kemalangan melibatkan bas ekspres Crisolito dan America Express itu.Kemalangan di lebuh raya kerap terjadi di Peru kerana keadaan jalan yang teruk, pemandu yang cuai dan kurangnya penguatkuasaan dalam sektor pengangkutan. Angka rasmi menunjukkan kira-kira 3,500 orang terbunuh setiap tahun akibat nahas jalan raya. - AP

Thursday, February 18, 2010

Dua Beradik Maut

Kebakaran: Dua beradik maut kebakaran
Oleh SAFINA RAMLI
Anggota bomba dan penyelamat menurunkan mayat dua beradik yang maut dalam
kebakaran rumah dua tingkat di Jalan Kodiang-Jitra, Kedah, semalam. - BERNAMA
JITRA - Walaupun usia dua beradik ini masih mentah namun kasih sayang antara mereka sukar dipisahkan.Malah ikatan itu juga membawa mereka yang masing-masing berusia tujuh dan 10 tahun sehingga ke hujung nyawa.Kedua-duanya mati setelah terperangkap dalam kebakaran di rumah mereka di Jalan Kodiang-Jitra di sini tengah malam tadi. Kejadian berlaku pada pukul 12.30 tengah malam ketika kedua-duanya di dalam rumah dua tingkat itu bersama dua lagi adik beradik dan datuk mereka. Kepantasan warga emas itu berjaya menyelamatkan tiga daripada cucunya. Malangnya seorang lagi tertinggal kerana masih tidur di tingkat atas.
Namun si kakak yang tidak sanggup meninggalkan adik bongsunya telah berpatah balik ke rumah itu dan akhirnya kedua-duanya terperangkap di dalam api. Mayat kedua-dua mangsa, Teng Dee Sheng, 7, dan Teng Wee Yan, 10, ditemui berhampiran tingkap dan berdekatan antara satu sama lain di bawah timbunan siling dan dinding yang telah runtuh. Menurut ibu kanak-kanak itu, Low Siew Hua, 34, ketika kejadian, dia dan suaminya, Teng Soon Seng, 41, keluar ke pekan Jitra untuk upacara sembahyang. "Kami tinggalkan empat anak kami bersama bapa mertua saya, Teng Yong Chong yang berusia 72 tahun. "Kami keluar dari rumah kira-kira pukul 11 malam dan pada pukul 12.30 tengah malam saya terima panggilan daripada bapa mertua memaklumkan mengenai kebakaran itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Beliau berkata, bapa mertuanya telah berjaya membawa keluar tiga anaknya namun tertinggal Dee Sheng yang masih tidur di tingkat atas. "Dalam usaha menyelamatkan cucunya, bapa mertua saya terjatuh dari tangga dan mengalami kecederaan di kepala, tangan dan badan. "Namun Wee Yan naik semula ke tingkat atas untuk selamatkan adiknya namun gagal kerana api terlalu marak," ujarnya hiba. Ujarnya, bapa mertuanya kini dirawat di Hospital Pulau Pinang manakala dua anaknya yang terselamat masih dalam keadaan terkejut. Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Ahmad Zambri Chik berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada pukul 12.34 tengah malam. "Api dapat dipadam pada pukul 1.08 minit pagi dan gerakan mencari mayat kedua-dua kanak-kanak malang itu bermula pada pukul 1.45 pagi," katanya. Ujarnya, gerakan mencari diteruskan sehingga pukul 6.20 pagi sebelum disambung pada pukul 8 pagi. "Pihak kami menjumpai mayat kedua-dua kanak-kanak itu dalam keadaan sempurna pada pukul 9.30 pagi dan dipercayai mereka meninggal dunia akibat lemas.
"Mayat mereka dijumpai di bawah timbunan siling dan dinding. Seorang mangsa dalam keadaan tertiarap dan seorang lagi di atas tilam seperti sedang tidur," katanya. Beliau berkata, punca kebakaran masih disiasat dan anggaran kerugian juga masih belum dapat tentukan. Menurut beliau, kebakaran tersebut turut mengakibatkan lima rumah kedai yang lain terbakar.

Tuesday, February 16, 2010

28 Gerabak Tergelincir

Perkhidmatan KTM sektor utara dijangka pulih hari ini

KERJA mengalihkan 28 gerabak kereta api yang terbalik, petang semalam,
dijalankan di kilometer 58.7, berdekatan Kampung Guar Stesyen Dalam,
Guar Cempedak, Gurun, Kedah. - Foto Syaharim Abidin

KAKITANGAN Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), semalam melakukan kerja
memperbaiki landasan berikutan 28 gerabak kereta api barang terbalik

KUALA LUMPUR 15 Feb. — Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) antara bandar dan perkhidmatan pengangkutan barang di sektor utara yang tergendala akibat 28 gerabak kereta api barang tergelincir di Kilometer 58.75 Junun-Gurun, Kedah, petang semalam dijangka pulih pada pukul 4.30 petang ini.KTM Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan di sini pagi ini berkata, kerja-kerja pengalihan gerabak dan membaik pulih landasan sedang giat dijalankan.KTMB menjangkakan hanya satu perkhidmatan yang akan terjejas hari ini iaitu Ekspres Antarabangsa Butterworth-Bangkok."Penumpang yang menggunakan perkhidmatan Ekspres Antarabangsa ini akan dibawa menaiki bas dari Butterworth ke Alor Setar sebelum meneruskan perjalanan ke Hatyai dari stesen tersebut,” kata kenyataan itu. Menurut KTMB perkhidmatan Tren Ekspres Senandung Malam dijangka beroperasi seperti yang dijadualkan.
Untuk maklumat lanjut pengguna boleh hubungi talian 1-300-5862. - Bernama

Landasan bengkok akibat cuaca panas punca tergelincir

GURUN 15 Feb. – Landasan mengembang dan tidak sejajar akibat cuaca panas terik menjadi punca 28 gerabak kereta api barang tergelincir di Kilometer 58.75 berdekatan Stesen Kampung Guar, Guar Chempedak, dekat, sini, semalam.Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dr. Aminuddin Adnan berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati rel besi landasan mengembang dan bengkok akibat cuaca panas.Kerja-kerja baik pulih dijangka siap petang ini dan jadual perkhidmatan kereta api penumpang dan barang akan kembali beropreasi seperti biasa, katanya kepada pemberita ketika meninjau kerja baik pulih landasan dan mengangkat gerabak yang terbalik dekat sini hari ini.Dalam kejadian jam 4.48 petang semalam, kereta api tersebut membawa muatan barang berasaskan getah dan sedang dalam perjalanan dari Padang Besar ke Butterworth. – Bernama

Monday, February 15, 2010

Amukan Suami

Amukan suami dari Madura
BEBERAPA anggota polis menjalankan siasatan di lokasi berlakunya pembunuhan
Mat Aspain di Batu 5,Jalan Ipoh, Kuala Lumpur semalam.
KOSMO
KUALA LUMPUR - Sikap cemburu meluap-luap seorang suami selepas mendapati seorang lelaki cuba memikat isterinya mendorongnya bertindak di luar batasan apabila dia dipercayai membunuh lelaki itu semalam. Kejadian pukul 2 petang di sebuah tapak projek perumahan di Batu 5, Jalan Ipoh di sini itu berlaku apabila suspek dari Madura, Indonesia yang berusia dalam lingkungan 30-an bertindak menyerang mangsa dengan mengelar leher dan perutnya. Ketika ditemui, mayat Mat Aspain, 33, dari Jawa Timur berada dalam keadaan mengerikan dengan lehernya hampir putus manakala isi perutnya terburai dikelar dengan senjata tajam. Sebaik membunuh mangsa, suspek bertindak melarikan diri bersama isterinya yang berusia dalam lingkungan 30-an dengan ditemani beberapa rakan. Difahamkan, mangsa baru sahaja dalam proses hendak memikat isteri suspek dan belum pernah mengadakan hubungan seks atau keluar bersama.

Saturday, February 13, 2010

Berhati-hati Bakar Jerami

BERHATI-HATI BAKAR JERAMI

PIHAK berkuasa telah mengingatkan petani di dua negeri di utara semenanjung, Kedah dan Perlis untuk lebih berhati-hati ketika pembakaran jerami dilakukan. Baru-baru ini seorang warga tua yang sedang menunggang motosikal di Perlis meninggal dunia setelah dimasukkan ke Hospital akibat terjatuh di jalan yang dipenuhi asap tebal dari jerami yang sedang dibakar.SEORANG petani mengawasi sawahnya semasa pembakaran jerami di jalankan setelah musim menuai selesai di Kampung Tak Jalai, Alor Setar, Kedah, kelmarin.

Shahidan mahu pesawah berhati-hati bakar jerami
KANGAR 13 Feb.
- Para pesawah yang membakar jerami selepas musim menuai padi dinasihati membuat kawalan api supaya ia tidak merebak dan membahayakan pengguna jalan raya dan jalan kampung.Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata pembakaran jerami yang tidak terkawal boleh mengundang padah.Katanya pada 6 Februari lalu, seorang warga tua, Murad Ali, 70, terjatuh bersama motorsikalnya ke dalam sawah padi yang jeraminya sedang dibakar akibat asap tebal yang menghalang penglihatannya.Kejadian berlaku di sebuah jalan kampung di Kampung Bunga Emas dekat sini pukul 5 petang dan mangsa meninggal dunia dua hari kemudian akibat melecur teruk.Motorsikal yang ditunggangi mangsa terbabas dan terjatuh ke dalam sawah yang api pembakaran jeraminya sedang marak."Sepatutnya pesawah membakar sedikit demi sedikit dan semasa pembakaran mereka perlu menunggu supaya tidak melarat pembakarannya," kata Shahidan semasa ditemui di sini semalam.Sejak musim menuai padi bermula awal tahun ini, kegiatan membakar jerami giat dilakukan oleh para pesawah padi sebagai proses tradisional membersihkan sawah sebelum kerja membajak dilakukan.Pada sebelah malam, kawasan sawah di lokasi tertentu terang-benderang dengan cahaya api pembakaran itu manakala sebelah siangnya kelihatan asap di sana sini.
— Bernama

Friday, February 12, 2010

Batu Terbang

Pemandu bimbang 'batu terbang'

Oleh AINSAFREE BIDIN
Kawasan jambatan Kampung Bahagia yang menuju ke Teluk Intan, Sungai Manik, Perak yang didakwa pemandu kerap berlaku kejadian melontar batu ke atas kenderaan. – utusan/AinSafre bidin

TELUK INTAN - Pemandu kenderaan yang menggunakan laluan Teluk Intan ke Sungai Manik dekat sini, semakin bimbang dengan fenomena 'batu terbang' yang mula berleluasa sejak sebulan lalu. Sehubungan itu para pemandu kenderaan menggesa agar pihak berkuasa tampil segera mengambil tindakan tegas bagi membanteras kejadian tersebut. Ini kerana, para pemandu yang menjadi mangsa 'batu terbang' bukan sahaja berdepan dengan risiko kemalangan malah terpaksa menanggung kerugian akibat cermin pecah dan lain-lain kerosakan pada kenderaan mereka. Kejadian didakwa kerap berlaku berhampiran gerai makan dekat jambatan menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini. Agak menghairankan, 'batu terbang' tersebut sering hinggap ke kereta-kereta mewah seperti BMW, Mercedes dan sebagainya. Salah seorang pemandu, Roslan Hamid, 40, berkata, dia berasa takut keluar malam dan pada waktu subuh apabila mengetahui ramai rakannya mengalami nasib diserang oleh 'batu terbang' itu. "Sasaran yang dituju ialah cermin kereta. Keadaan ini memang membimbangkan dan menyukarkan saya untuk ke tempat kerja di hospital berdekatan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini. Seorang lagi pemandu, Rajamani Suria, 47, mengakui, pengalaman dibaling batu menyebabkan dia serik untuk melalui kawasan itu. "Waktu itu kira-kira pukul 7 pagi sewaktu saya menghantar anak ke sekolah, tiba-tiba kereta saya 'diserang' oleh batu secara bertubi-tubi daripada arah hutan berdekatan," katanya. Akibat serangan tersebut katanya, cermin hadapan serta cermin sisi keretanya pecah dan terpaksa menanggung kerugian hampir RM3,500. Rajamani berharap polis dan pihak berkuasa berkaitan mengambil segera tindakan mengesan individu tidak bertanggungjawab yang melakukan perbuatan membaling batu tersebut bagi mengelakkan kejadian serupa berulang menimpa pemandu lain pula.

Thursday, February 11, 2010

Kunjungan Mengejut

Kunjungan mengejutkan
Oleh NAS NORZIELA NASBAH
utusanmelaka@utusan.com.my
Anggota polis mengedarkan risalah mencegah jenayah tanpa mengira tempat kepada
orang ramai di sekitar Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.
ALOR GAJAH - Kehadiran kira-kira 50 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah ke Taman Rembia Perkasa, Sabtu lalu memeranjatkan 1,000 penghuni taman tersebut.Sangka penduduk, kehadiran sepasukan anggota keselamatan itu yang lengkap beruniform berkunjung dari rumah ke rumah adalah untuk menyerahkan saman kepada mereka yang melanggar peraturan pihak berkuasa. Namun, akhirnya penduduk lega dan tersenyum lebar apabila anggota polis yang mengetuk pintu rumah mereka menghulur risalah kesedaran mengenai langkah keselamatan yang wajar diambil penduduk dalam menangani kejadian pecah rumah. Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif IPD Alor Gajah dalam memerangi kes jenayah pecah rumah yang berlaku di daerah tersebut khususnya pada musim perayaan dan cuti sekolah. Di Melaka sahaja, sebanyak 76 kes pecah rumah berlaku sepanjang tahun lalu. Dalam operasi tersebut, risalah-risalah kesedaran diserahkan sendiri oleh pasukan polis terbabit kepada kira-kira 1,000 penduduk yang menghuni hampir 362 buah rumah di kawasan perumahan berkenaan. Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin berkata, tindakan polis berkunjung ke rumah penduduk bertujuan memberi pendidikan serta maklumat kepada orang awam tentang pentingnya pencegahan jenayah. ''Lazimnya, penjenayah memecah masuk rumah penduduk tidak kira masa dan trend sekarang mereka menyasarkan waktu siang untuk merompak. ''Oleh itu, operasi mengedarkan risalah ini dilakukan bagi memberitahu kepada penduduk betapa pentingnya mengambil langkah-langkah keselamatan sebelum meninggalkan rumah masing-masing," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Menurut Umar Ali, pada 2009 kawasan perumahan terbabit mencatatkan sembilan kes pecah rumah. Beliau berkata, walaupun angka itu tidak besar, namun pada hakikatnya mangsa tetap mengalami kerugian selain trauma akibat menjadi mangsa jenayah pecah rumah. ''Kebiasaannya, orang awam selalu menuding jari kepada pihak polis yang dikatakan tidak menjalankan tugas menjaga keselamatan seperti melakukan rondaan. ''Tetapi, orang awam perlu peka dengan mengambil langkah-langkah keselamatan seperti mengunci semua pintu dan tingkap serta pagar rumah mereka sebelum keluar," katanya. Menurut beliau, tindakan polis mengedarkan risalah dari rumah ke rumah secara mengejut itu disambut baik oleh semua penduduk taman itu yang menganggap ia satu pendidikan secara tidak formal. Menurut Umar, setiap hari penduduk begitu sibuk dengan tugasan masing-masing dan dengan adanya risalah tersebut sekurang-kurangnya mereka memperoleh pengetahuan walau tidak mempraktikkannya. ''Contohnya, jika melihat ada seseorang yang mencurigakan berada di kawasan taman, penduduk akan bertindak menghubungi polis bagi memaklumkan perkara itu,'' katanya. Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap persekitaran termasuk kehadiran orang yang tidak dikenali di kawasan perumahan mereka. ''Saya juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mengetepikan semangat kejiranan kerana jiran merupakan golongan yang akan membantu kita sekiranya berlaku sebarang masalah," katanya.

Wednesday, February 10, 2010

Cuti Perayaan Tahun Baru Cina

Kenderaan Berat Dilarang Guna Jalan Raya 12, 13, 20, 21 Februari
B HARIAN / 10.02.2010
NILAI: Kenderaan berat khususnya lori, dilarang menggunakan jalan raya iaitu dua hari (12-13 Februari) sebelum sambutan Tahun Baru Cina dan 20 serta 21 Februari. Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Sim Say Kiong, berkata langkah melarang kenderaan berat daripada berada di jalan raya bagi tempoh tersebut ialah kerana ia boleh mengganggu kelicinan perjalanan pengguna jalan raya lain. "Biasanya semasa musim perayaan pengguna jalan raya akan bertambah berlipat kali ganda daripada hari biasa dan kehadiran kenderaan berat boleh mengganggu kelicinan perjalanan pengguna jalan raya lain," katanya selepas merasmikan kempen advokasi keselamatan jalan raya sempena Tahun Baru Cina di Hentian Rehat dan Rawat Seremban (arah Selatan) dekat sini, hari ini. Katanya, bagi kategori 1 yang merangkumi lori balak, lori pengangkutan bahan binaan seperti simen, besi, keluli, batu, pasir dan tanah serta lori pembancuh simen dan jentera berat termasuk kren, disekat sepenuhnya menggunakan jalan raya bagi tempoh tersebut. Bagaimanapun, beliau berkata, sepanjang tempoh tersebut bagi kategori 2 iaitu lori kontena dan kargo membawa barangan elektronik dan elektrik dibenarkan beroperasi daripada jam 6 pagi hingga 12 tengah malam. Manakala, kategori 3 iaitu lori pembancuh simen, kren bergerak dan lori pengangkut batu dan pasir dibenarkan beroperasi daripada jam 6 pagi hingga 6 petang di sekitar kawasan Lembah Klang dan kawasan Bandaraya Johor Baharu, Georgetown, Ipoh dan Kuantan saja, tertakluk kepada had masa operasi yang dibenarkan di jalan-jalan tersebut. Sementara itu, mengulas cadangan syarikat konsesi lebuh raya menyedia trak penunda bagi mengalihkan terutamanya kenderaan berat yang rosak di lebuh raya untuk mengelak kemungkinan kemalangan, beliau berkata, ia satu cadangan yang baik. "Saya dimaklumkan syarikat konsesi memang ada trak penunda tapi mungkin tidak mencukupi kerana lebuh raya yang panjang. Langkah keselamatan seperti memasang kon dan lampu memang ada diambil apabila sesebuah kenderaan itu rosak di lebuh raya. "Kita akan kaji perkara ini dengan MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) dalam menangani masalah ini (kenderaan rosak yang diletakkan di tepi lebuh raya)," katanya. - Bernama

Tuesday, February 9, 2010

Loji Elektrik AS Meletup

Loji elektrik AS meletup - Angka kematian sebenar tidak diketahui
SATU pemandangan dari udara menunjukkan kawasan letupan di loji Kleen Energy kelmarin.
kosmo / 9.2.10
MIDDLETOWN - Penduduk Connecticut di Amerika Syarikat (AS) gempar apabila satu letupan kuat berlaku di sebuah loji tenaga di sini kelmarin. Beberapa pegawai berkata, pasukan penyelamat masih menjalankan usaha mencari mangsa yang hidup dan maut di bawah runtuhan loji Kleen Energy yang masih lagi dalam pembinaan selepas letupan berlaku pada pukul 11.17 pagi waktu tempatan. Menurut beberapa pegawai mereka tidak tahu berapa ramai orang yang berada di dalam loji itu semasa kejadian berlaku. "Setakat ini 12 orang cedera dan lima orang telah meninggal dunia," kata Datuk Bandar Middletown, Sebastian Giuliano pada satu sidang akhbar dan memberitahu, letupan itu menyebabkan banyak tingkap rumah pecah dan kediaman di sekitar loji tersebut bergegar. Api yang marak mengakibatkan asap tebal menyelubungi langit manakala seorang penduduk, Scott Harmann mendakwa letupan itu menghasilkan satu bola api yang kuat sehingga banyak tingkap pecah.

GAMBAR menunjukkan loji Kleen Energy selepas letupan di Middletown kelmarin.

Seorang lagi penduduk, Mike Woronoff berkata, dia terdengar satu letupan kuat walaupun rumahnya terletak 3.2 kilometer dari loji itu. Menurutnya, beberapa rakannya yang tinggal 24 kilometer dari situ turut mengakui mendengar letupan itu. Seorang pegawai bomba tempatan berkata, dianggarkan 50 pekerja berada di loji itu. Namun Giuliano mendakwa pada kebiasaannya hampir 200 orang bekerja di loji berkenaan pada setiap hari. - AFP

Lima maut loji tenaga meletup

LOJI Kleen Energy mengalami kerosakan teruk selepas kejadian letupan gas yang mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang di Middletown, Connecticut, kelmarin. - AFP

MIDDLETOWN, Connecticut- Sekurang-kurangnya lima orang disahkan terbunuh manakala 12 cedera dalam satu kejadian letupan gas kuat semalam yang memusnahkan loji tenaga Amerika Syarikat (US), Kleen Energy. Bagaimanapun, sumber rasmi menegaskan, jumlah sebenar pekerja yang berada di dalam Kleen Energy ketika kejadian itu berlaku masih tidak diketahui. Datuk Bandar Middletown di Connecticut, Sebastian Giuliano berkata, hasil siasatan awal memungkinkan kejadian itu berpunca daripada perlakuan jenayah. "Dengan menggunakan bantuan anjing pengesan, anggota penyelamat mendapati letupan juga menyebabkan loji itu menjadi serpihan batu, terbakar dan mengeluarkan asap tebal ke udara," katanya pada sidang akhbar. Selain itu, penduduk berhampiran, Scott Harmann, 44, berkata, percikan api kelihatan dan banyak putung rokok dilihat di situ akibat kejadian. "Letupan itu amat kuat hingga memecahkan tingkap rumah beberapa penduduk di sekitar kawasan itu," ujarnya.Seorang penduduk lain, Mike Woronoff berkata, dia terdengar bunyi kuat dari rumahnya yang terletak kira-kira 3.2 kilometer dari loji tenaga berkenaan. "Rakan-rakan saya yang tinggal 24 kilometer dari loji ini menelefon saya untuk mengetahui apa yang berlaku kerana mereka terdengar bunyi letupan yang sama dan terlihat asap tebal. Sementara itu, hasil maklumat beberapa pihak termasuk polis penyiasat dan individu terselamat, kemungkinan sekurang-kurangnya 50 pekerja bekerja di loji itu semasa kejadian. Loji Kleen Energy yang masih dalam proses pembinaan itu dikatakan antara bangunan untuk kemudahan dan kelengkapan tenaga terbesar di New England yang sudah dirancang sejak beberapa tahun lalu. - AFP

Monday, February 8, 2010

Kod Amalan SHE

Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran (SHE)
untuk disiplin pengusaha bas diperkenalkan Mac ini (2010)
BERITA HARIAN / 08.02.2010
ALOR SETAR: Lembaga Perlesenan Kenderaan Persekutuan (LPKP) akan menguatkuasakan arahan penubuhan Jawatankuasa Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran (SHE) dan pelekat aduan pengguna kepada semua syarikat bas ekspres dan teksi bulan depan. Pengerusinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata bagi pelaksanaan SHE, LPKP akan mula melaksanakan penguatkuasaan peraturan itu dua minggu selepas semua syarikat berkaitan diberi taklimat kefahaman mengenainya pada 23 Februari ini, manakala bagi peraturan pelekat aduan pengguna ia sudah dimaklumkan melalui surat pekeliling yang dikeluarkan bulan lalu. Katanya, bagi program SHE, LPKP mengarahkan semua syarikat bas ekspres supaya bersiap sedia menubuhkan jawatankuasa masing-masing dalam hal berkaitan audit dalaman dan polisi merangkumi pengurusan syarikat, kenderaan, pemandu, perjalanan dan risiko serta dokumentasi. "Program ini diwajibkan kepada semua 224 syarikat bas ekspres dalam negara ini dan ia akan dipantau oleh LPKP dari semasa ke semasa. "Kita juga akan memberi taklimat mengenai She kepada semua wakil syarikat dalam mesyuarat yang akan belangsung selama dua hari untuk memastikan program ini difahami oleh semua pihak. "Selepas itu biasanya kita akan bagi masa dua minggu supaya syarikat ini melaksanakan She di peringkat syarikat," katanya pada sidang media selepas majlis interaksi bersama Persatuan Kereta Sewa Perlis & Kedah di sini, hari ini.Halimah berkata, bagi program pelekat aduan pihaknya sudah memberi masa yang cukup untuk dipatuhi oleh semua syarikat bas, syarikat dan pemandu teksi bagi memastikan ia dilaksanakan sebelum penguatkuasaan bulan depan. "Melalui program ini pengguna pengangkutan awam sendiri akan menjadi mata dan telinga LPKP dengan memantau setiap kesalahan yang dilakukan. "Pada pelekat itu akan diletakkan nombor aduan LPKP 1800 88 9600 dan talian aduan sms 1588 yang bakal dibuka 24 jam dalam masa terdekat. "Selain nombor kita juga bercadang meletakkan beberapa maklumat berkaitan pengguna bagi membolehkan mereka faham dan sedar hak mereka dalam mendapatkan pekhimdatan yang baik seperti dikehendaki kerajaan," katanya.

Sunday, February 7, 2010

Syarikat Guna Asid Tanpa Langkah Keselamatan

MTUC dakwa syarikat guna asid tanpa langkah keselamatan

PELABUHAN KLANG: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari inimahu tindakan diambil ke atas sebuah syarikat pengeluar baja di Klangyang didakwa menggunakan asid borik tanpa langkah keselamatan yangbetul dan memberhentikan 11 pekerja yang mengadu sakit akibat terdedahkepada racun itu.Naib Presiden MTUC, A Balasubramaniam, meminta Jabatan Keselamatan danKesihatan Pekerjaan (DOSH) untuk campur tangan sambil berkata, parapekerja syarikat itu tidak menyedari mereka menggunakan asid borikkerana pengurusan membuang label-label daripada bekas-bekas itu."Ia hanya secara kebetulan apabila seorang pekerja ternampak labelpada satu daripada bekas-bekas itu dan memaklumkan kepada rakan-rakanpekerja dan MTUC," katanya.Katanya, 11 pekerja mengalami penyakit kulit manakala seorang lagimenderita di bahagian sulitnya berikutan terdedah dengan asid itu dan11 pekerja itu diberhentikan apabila mereka membangkitkan perkara itudengan pengurusan.Balasubramaniam berkata, syarikat itu memberikan alasan yang lemahbagi memberhentikan mereka seperti "prestasi buruk" dan "engganmenghadiri inkuiri syarikat."Beliau berkata, MTUC mendapati bahawa syarikat itu telah gagalmenyediakan langkah-langkah keselamatan kepada pekerja.Katanya, ia adalah satu tindakan pelanggaran undang-undang yang seriusdan MTUC mahu DOSH untuk mengambil tindakan tegas terhadap syarikatitu.Asid borik adalah racun yang berbahaya. Mereka yang mengalamikeracunan asid borik akan mengalami simptom-simpotom seperti muntahdengan warna hijau kebiru-biruan, cirit birit dan ruam berwarna merahterang pada kulit. - Bernama
SUMBER - BERITA HARIAN : 7 FEB 2010
MaguaIH - Chemical/LEV & Environmental Consultant

Saturday, February 6, 2010

SAFETY REQUIREMENT?

PENGARAH Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNNKK), Che Halim Abdul Rahman (kiri) bersama anggotanya memeriksa sebahagian daripada tong gas memasak yang disalahguna bagi menjalankan operasi industri ketika mengadakan serbuan ke sebuah kilang membuat sarung tangan getah di Ulu Tiram di Johor Bahru, hari ini. Serbuan pada 1 petang oleh lima anggota KPDNNKK Putrajaya itu menemui 1,334 tong gas memasak subsidi bersaiz 14 kilogram. - Foto Bernama
Feb 5, 2010 8:14 pm

Tuesday, February 2, 2010

Terkena Renjatan Elektrik

Dua rakan kait wau melecur kena renjatan
KANGAR: “Saya sangkakan kayu terbakar di tengah sawah, namun selepas terdengar jeritan meminta tolong saya bergegas ke sawah itu sebelum mendapati seorang daripada mangsa anak saya,” kata Mat Salim Kasa, 52, saksi kejadian dua rakan karib terbakar akibat terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi ketika bermain wau di sawah Kampung Alor Marus, dekat Behor Lateh di sini, petang kelmarin.
CEDERA..Norasikin Mohd Rafi menunjukkan muka suaminya, Mohd Saiful yang melecur.
Dalam kejadian itu, anak Mat Salim, Mohd Saiful Azhar, 26, bersama rakannya, Nurmunir Dahlan, 18, melecur teruk selepas terbakar akibat terkena renjatan elektrik berkenaan.
Kejadian berlaku apabila kedua-dua sahabat berkenaan cuba menurunkan wau bulan milik mereka yang tersangkut pada kabel elektrik dengan menggunakan batang pengecat diperbuat daripada aluminium. Mat Salim berkata, ketika kejadian dia berehat di bawah pokok di rumahnya kira-kira jam 6.30 petang sebelum dikejutkan bunyi letupan kecil dari arah sawah disusuli beberapa percikan bebola api. “Saya terkejut apabila mendengar letupan itu. Namun, selepas mendengar jeritan meminta tolong saya berlari ke sana sebelum mendapati kedua-duanya melecur teruk. “Tanpa berlengah saya meminta bantuan orang ramai sebelum kedua-duanya dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Mohd Saiful ketika ditemui, berkata ketika kejadian, Nurmunir hendak memotong tali wau yang tersangkut pada kabel, namun dia cuba menurunkannya menggunakan batang pengecat aluminium. Katanya, tindakan itu membawa padah kerana batang logam terbabit mengalirkan arus elektrik dari kabel bervoltan tinggi menyebabkan mereka terpelanting dan terus pengsan seketika.

Monday, February 1, 2010

Mangsa Ragut

Maut bantu isteri diragut
Gambar Hiasan
Oleh Mohamad Yatim Latip
am@hmetro.com.my
MELAKA: “Saya tidak sangka kejadian ini akhirnya meragut nyawa suami yang cuba membantu selepas seorang peragut bertindak kejam merentap rantai leher sambil mengheret saya yang ketakutan walaupun sudah jatuh terbaring di atas tanah.” Begitu kata warga emas, Maimun Ibrahim, 55, berhubung peristiwa malang yang menimpa pasangan suami isteri terbabit apabila seorang lelaki berusia lewat 20-an meragut rantai lehernya di pekarangan rumah mereka di Bukit Pegoh, Telok Mas, di sini, pada 19 Februari lalu. Lebih memilukan, suaminya, Munip Omar, 71, yang mengalami patah tulang pinggul akhirnya meninggal dunia pada jam 3.24 petang, Selasa lalu di Hospital Melaka akibat jangkitan kuman pada paru-parunya yang dipercayai berpunca daripada darah beku akibat kecederaan dialami mangsa. Maimun berkata, sebelum kejadian, dia ternampak seorang lelaki berjalan mundar-mandir kira-kira dua kali di perkarangan masjid seolah-olah mencari sesuatu ketika sedang menyapu di beranda rumahnya manakala arwah suaminya pula sedang duduk di kusyen panjang berhampiran. Katanya, dia yang menyangkakan lelaki terbabit cuba mencari tandas kemudian menegur dengan memberitahu tandas lelaki terletak bersebelahan kerana suspek berkenaan cuba memasuki tandas perempuan. “Selepas menunjukkan tandas lelaki, saya pun tidak perasan sama ada dia memasuki tandas itu atau tidak. Sebelum itu, saya ada juga terdengar suara seseorang dipercayai rakan lelaki itu berteriak selain mendengar bunyi enjin motosikal yang tidak kelihatan. “Bagaimanapun, tidak lama kemudian, lelaki itu tanpa disedari sudah berada di belakang saya dan dalam sekelip mata terasa rantai leher direntap mengakibatkan berasa begitu terkejut. “Saya cuba melawan kudrat lelaki berkenaan hingga membuatkan dia mencekak rantai leher dengan lebih kuat menyebabkan saya jatuh terbaring,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga suaminya di Kampung Tengah, Paya Dalam, di sini, kelmarin. Maimun berkata, sebaik terjatuh, lelaki berkenaan terus mengheretnya sehingga mengakibatkan dia terasa tubuhnya bergesel dengan permukaan tar di luar rumah akibat tindakan kejam terbabit. Katanya, ketika itu, suaminya yang sedang berbaring di kusyen bergegas keluar dan memukul suspek dengan penyodok plastik sehingga pecah. Bagaimanapun tindakan arwah suaminya itu membuatkan suspek marah lalu menolaknya hingga jatuh terduduk. “Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya yang turut terkejut melihat arwah suami ditolak terus tidak melawan menyebabkan lelaki terbabit merentap sebelum melarikan rantai leher bernilai kira-kira RM3,000,” katanya.