Thursday, February 11, 2010

Kunjungan Mengejut

Kunjungan mengejutkan
Oleh NAS NORZIELA NASBAH
utusanmelaka@utusan.com.my
Anggota polis mengedarkan risalah mencegah jenayah tanpa mengira tempat kepada
orang ramai di sekitar Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.
ALOR GAJAH - Kehadiran kira-kira 50 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah ke Taman Rembia Perkasa, Sabtu lalu memeranjatkan 1,000 penghuni taman tersebut.Sangka penduduk, kehadiran sepasukan anggota keselamatan itu yang lengkap beruniform berkunjung dari rumah ke rumah adalah untuk menyerahkan saman kepada mereka yang melanggar peraturan pihak berkuasa. Namun, akhirnya penduduk lega dan tersenyum lebar apabila anggota polis yang mengetuk pintu rumah mereka menghulur risalah kesedaran mengenai langkah keselamatan yang wajar diambil penduduk dalam menangani kejadian pecah rumah. Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif IPD Alor Gajah dalam memerangi kes jenayah pecah rumah yang berlaku di daerah tersebut khususnya pada musim perayaan dan cuti sekolah. Di Melaka sahaja, sebanyak 76 kes pecah rumah berlaku sepanjang tahun lalu. Dalam operasi tersebut, risalah-risalah kesedaran diserahkan sendiri oleh pasukan polis terbabit kepada kira-kira 1,000 penduduk yang menghuni hampir 362 buah rumah di kawasan perumahan berkenaan. Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin berkata, tindakan polis berkunjung ke rumah penduduk bertujuan memberi pendidikan serta maklumat kepada orang awam tentang pentingnya pencegahan jenayah. ''Lazimnya, penjenayah memecah masuk rumah penduduk tidak kira masa dan trend sekarang mereka menyasarkan waktu siang untuk merompak. ''Oleh itu, operasi mengedarkan risalah ini dilakukan bagi memberitahu kepada penduduk betapa pentingnya mengambil langkah-langkah keselamatan sebelum meninggalkan rumah masing-masing," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Menurut Umar Ali, pada 2009 kawasan perumahan terbabit mencatatkan sembilan kes pecah rumah. Beliau berkata, walaupun angka itu tidak besar, namun pada hakikatnya mangsa tetap mengalami kerugian selain trauma akibat menjadi mangsa jenayah pecah rumah. ''Kebiasaannya, orang awam selalu menuding jari kepada pihak polis yang dikatakan tidak menjalankan tugas menjaga keselamatan seperti melakukan rondaan. ''Tetapi, orang awam perlu peka dengan mengambil langkah-langkah keselamatan seperti mengunci semua pintu dan tingkap serta pagar rumah mereka sebelum keluar," katanya. Menurut beliau, tindakan polis mengedarkan risalah dari rumah ke rumah secara mengejut itu disambut baik oleh semua penduduk taman itu yang menganggap ia satu pendidikan secara tidak formal. Menurut Umar, setiap hari penduduk begitu sibuk dengan tugasan masing-masing dan dengan adanya risalah tersebut sekurang-kurangnya mereka memperoleh pengetahuan walau tidak mempraktikkannya. ''Contohnya, jika melihat ada seseorang yang mencurigakan berada di kawasan taman, penduduk akan bertindak menghubungi polis bagi memaklumkan perkara itu,'' katanya. Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap persekitaran termasuk kehadiran orang yang tidak dikenali di kawasan perumahan mereka. ''Saya juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mengetepikan semangat kejiranan kerana jiran merupakan golongan yang akan membantu kita sekiranya berlaku sebarang masalah," katanya.

No comments:

Post a Comment