Tuesday, February 23, 2010

Membenteras Pendatang Tanpa Izin

Pelbagai kementerian terlibat
Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my


Gambar Hiasan
PUTRAJAYA - Usaha menangani isu lambakan pendatang asing yang sebelum ini disifatkan sebagai fenomena 'luar biasa' kini diperluaskan kepada penglibatan pelbagai kementerian, agensi dan pihak berkepentingan. Sejajar langkah terbaru kerajaan itu, kementerian terbabit termasuk pihak majikan akan terlibat sama dalam makmal pengurusan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diketuai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam mengatur strategi menangani isu tersebut secara berterusan. Selain itu, tindakan itu juga bertujuan untuk memastikan usaha mengurangkan kebergantungan negara kepada warga asing dalam semua sektor dapat dilaksanakan. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, empat fokus utama yang telah dikenal pasti ialah prosedur kemasukan pekerja asing, perundangan, sistem pemantauan dan penguatkuasaan.''Semua menteri yang terlibat dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan PATI semalam telah berikrar memberikan komitmen bagi menjayakan usaha penubuhan makmal pengurusan itu.''Keputusan jawatankuasa itu penting kerana pengurusan dan pemantauan warga asing melibatkan bidang tanggungjawab pelbagai kementerian dan agensi mengikut sektor masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Kabinet itu mengumumkan penubuhan makmal pengurusan PATI dalam usaha merumuskan cadangan bersepadu untuk menangani masalah pekerja asing dan PATI di negara ini. Sebagai langkah segera, makmal khas itu telah mengadakan mesyuarat pertamanya di KDN di sini hari ini. Menurut Hishammuddin, KDN yang bertanggungjawab dalam sektor keselamatan sedang melaksanakan kaedah terbaik dengan menyediakan tenaga kerja tempatan bagi sub-sektor pengawal keselamatan.Ini kerana katanya, selama ini sektor perkhidmatan itu banyak bergantung kepada pekerja asing. ''Untuk itu, bulan lalu, KDN telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) untuk melaksanakan pengambilan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebagai pengawal keselamatan," katanya. Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, pemantauan pekerja asing di sektor perladangan akan diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi manakala Kementerian Sumber Manusia bagi sektor perkhidmatan. Katanya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pula bertanggungjawab bagi sektor perkilangan. ''Selain itu, beberapa kementerian lain pula bertanggungjawab melihat kemasukan warga asing untuk tujuan khusus yang lain seperti Kementerian Pelancongan bagi tujuan pelancongan manakala Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran bagi pendidikan," katanya. Selain itu Hishammuddin berkata, kerajaan juga akan menarik penyertaan pelbagai pihak berkepentingan seperti persatuan peniaga dan majikan untuk menyertai makmal pengurusan itu.

No comments:

Post a Comment