MIDDLETOWN - Penduduk Connecticut di Amerika Syarikat (AS) gempar apabila satu letupan kuat berlaku di sebuah loji tenaga di sini kelmarin. Beberapa pegawai berkata, pasukan penyelamat masih menjalankan usaha mencari mangsa yang hidup dan maut di bawah runtuhan loji Kleen Energy yang masih lagi dalam pembinaan selepas letupan berlaku pada pukul 11.17 pagi waktu tempatan. Menurut beberapa pegawai mereka tidak tahu berapa ramai orang yang berada di dalam loji itu semasa kejadian berlaku. "Setakat ini 12 orang cedera dan lima orang telah meninggal dunia," kata Datuk Bandar Middletown, Sebastian Giuliano pada satu sidang akhbar dan memberitahu, letupan itu menyebabkan banyak tingkap rumah pecah dan kediaman di sekitar loji tersebut bergegar. Api yang marak mengakibatkan asap tebal menyelubungi langit manakala seorang penduduk, Scott Harmann mendakwa letupan itu menghasilkan satu bola api yang kuat sehingga banyak tingkap pecah.
GAMBAR menunjukkan loji Kleen Energy selepas letupan di Middletown kelmarin.
Seorang lagi penduduk, Mike Woronoff berkata, dia terdengar satu letupan kuat walaupun rumahnya terletak 3.2 kilometer dari loji itu. Menurutnya, beberapa rakannya yang tinggal 24 kilometer dari situ turut mengakui mendengar letupan itu. Seorang pegawai bomba tempatan berkata, dianggarkan 50 pekerja berada di loji itu. Namun Giuliano mendakwa pada kebiasaannya hampir 200 orang bekerja di loji berkenaan pada setiap hari. - AFP
Lima maut loji tenaga meletup
LOJI Kleen Energy mengalami kerosakan teruk selepas kejadian letupan gas yang mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang di Middletown, Connecticut, kelmarin. - AFP
MIDDLETOWN, Connecticut- Sekurang-kurangnya lima orang disahkan terbunuh manakala 12 cedera dalam satu kejadian letupan gas kuat semalam yang memusnahkan loji tenaga Amerika Syarikat (US), Kleen Energy. Bagaimanapun, sumber rasmi menegaskan, jumlah sebenar pekerja yang berada di dalam Kleen Energy ketika kejadian itu berlaku masih tidak diketahui. Datuk Bandar Middletown di Connecticut, Sebastian Giuliano berkata, hasil siasatan awal memungkinkan kejadian itu berpunca daripada perlakuan jenayah. "Dengan menggunakan bantuan anjing pengesan, anggota penyelamat mendapati letupan juga menyebabkan loji itu menjadi serpihan batu, terbakar dan mengeluarkan asap tebal ke udara," katanya pada sidang akhbar. Selain itu, penduduk berhampiran, Scott Harmann, 44, berkata, percikan api kelihatan dan banyak putung rokok dilihat di situ akibat kejadian. "Letupan itu amat kuat hingga memecahkan tingkap rumah beberapa penduduk di sekitar kawasan itu," ujarnya.Seorang penduduk lain, Mike Woronoff berkata, dia terdengar bunyi kuat dari rumahnya yang terletak kira-kira 3.2 kilometer dari loji tenaga berkenaan. "Rakan-rakan saya yang tinggal 24 kilometer dari loji ini menelefon saya untuk mengetahui apa yang berlaku kerana mereka terdengar bunyi letupan yang sama dan terlihat asap tebal. Sementara itu, hasil maklumat beberapa pihak termasuk polis penyiasat dan individu terselamat, kemungkinan sekurang-kurangnya 50 pekerja bekerja di loji itu semasa kejadian. Loji Kleen Energy yang masih dalam proses pembinaan itu dikatakan antara bangunan untuk kemudahan dan kelengkapan tenaga terbesar di New England yang sudah dirancang sejak beberapa tahun lalu. - AFP
No comments:
Post a Comment