Tuesday, February 2, 2010

Terkena Renjatan Elektrik

Dua rakan kait wau melecur kena renjatan
KANGAR: “Saya sangkakan kayu terbakar di tengah sawah, namun selepas terdengar jeritan meminta tolong saya bergegas ke sawah itu sebelum mendapati seorang daripada mangsa anak saya,” kata Mat Salim Kasa, 52, saksi kejadian dua rakan karib terbakar akibat terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi ketika bermain wau di sawah Kampung Alor Marus, dekat Behor Lateh di sini, petang kelmarin.
CEDERA..Norasikin Mohd Rafi menunjukkan muka suaminya, Mohd Saiful yang melecur.
Dalam kejadian itu, anak Mat Salim, Mohd Saiful Azhar, 26, bersama rakannya, Nurmunir Dahlan, 18, melecur teruk selepas terbakar akibat terkena renjatan elektrik berkenaan.
Kejadian berlaku apabila kedua-dua sahabat berkenaan cuba menurunkan wau bulan milik mereka yang tersangkut pada kabel elektrik dengan menggunakan batang pengecat diperbuat daripada aluminium. Mat Salim berkata, ketika kejadian dia berehat di bawah pokok di rumahnya kira-kira jam 6.30 petang sebelum dikejutkan bunyi letupan kecil dari arah sawah disusuli beberapa percikan bebola api. “Saya terkejut apabila mendengar letupan itu. Namun, selepas mendengar jeritan meminta tolong saya berlari ke sana sebelum mendapati kedua-duanya melecur teruk. “Tanpa berlengah saya meminta bantuan orang ramai sebelum kedua-duanya dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Mohd Saiful ketika ditemui, berkata ketika kejadian, Nurmunir hendak memotong tali wau yang tersangkut pada kabel, namun dia cuba menurunkannya menggunakan batang pengecat aluminium. Katanya, tindakan itu membawa padah kerana batang logam terbabit mengalirkan arus elektrik dari kabel bervoltan tinggi menyebabkan mereka terpelanting dan terus pengsan seketika.

No comments:

Post a Comment