Monday, February 22, 2010

Tiada bayaran untuk semburan aedes

Tiada bayaran untuk semburan aedes
Salleh Yusup memandu jentolak bagi membersihkan kawasan padang
berhampiran SRK Setiawangsa pada majlis gotong-royong
di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, kelmarin.
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menasihatkan orang ramai supaya membuat aduan kepada polis dan pihaknya jika didatangi pihak yang meminta bayaran atas khidmat pengasapan nyamuk aedes. Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup berkata, ini kerana DBKL tidak pernah mengenakan sebarang bayaran atas perkhidmatan itu. Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihaknya akan mengenakan tindakan terhadap mana-mana syarikat swasta yang mengenakan bayaran atas perkhidmatan semburan nyamuk di kawasan perumahan. "Sekiranya perkara ini berlaku penduduk di kawasan terlibat boleh membuat laporan polis dan pihak DBKL akan mengenakan tindakan terhadap mereka.
"Kebiasaannya, syarikat swasta ini akan mengenakan bayaran sebanyak RM50 untuk sekali semburan," katanya ketika majlis perasmian gotong-royong perdana di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Setiawangsa di sini semalam. Menurutnya, DBKL telah melantik lapan buah syarikat yang mempunyai lesen untuk melakukan pengasapan nyamuk di kawasan perumahan seluruh Kuala Lumpur. "Penduduk dinasihatkan tidak memberi wang kepada syarikat tersebut sekiranya mereka meminta untuk pembayaran bagi perkhidmatan tersebut. "Kita juga tidak pasti bahan yang digunakan untuk semburan adalah berkualiti atau sekadar asap biasa," tegasnya. Sementara itu, kira-kira 500 orang terlibat dalam program gotong-royong perdana ini termasuk pelajar, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, pertubuhan bukan kerajaan dan DBKL.
Program itu dianjurkan oleh PIBG SRK Setiawangsa dan Pejabat Perkhidmatan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique. Salleh berkata, gotong-royong perdana ini bertujuan membersihkan kawasan takungan nyamuk, persekitaran sekolah dan tapak bersebelahan kawasan sekolah untuk dijadikan padang bagi kemudahan pelajar SRK Setiawangsa. Tambahnya, program itu perlu sering diadakan walaupun jumlah kes demam denggi di Kuala Lumpur masih lagi dalam keadaan terkawal. "Program pembasmian kawasan pembiakan nyamuk masih diteruskan dan penguatkuasaan terhadap mereka yang tidak menjaga kebersihan juga sentiasa dilakukan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment