Wednesday, February 10, 2010

Cuti Perayaan Tahun Baru Cina

Kenderaan Berat Dilarang Guna Jalan Raya 12, 13, 20, 21 Februari
B HARIAN / 10.02.2010
NILAI: Kenderaan berat khususnya lori, dilarang menggunakan jalan raya iaitu dua hari (12-13 Februari) sebelum sambutan Tahun Baru Cina dan 20 serta 21 Februari. Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Sim Say Kiong, berkata langkah melarang kenderaan berat daripada berada di jalan raya bagi tempoh tersebut ialah kerana ia boleh mengganggu kelicinan perjalanan pengguna jalan raya lain. "Biasanya semasa musim perayaan pengguna jalan raya akan bertambah berlipat kali ganda daripada hari biasa dan kehadiran kenderaan berat boleh mengganggu kelicinan perjalanan pengguna jalan raya lain," katanya selepas merasmikan kempen advokasi keselamatan jalan raya sempena Tahun Baru Cina di Hentian Rehat dan Rawat Seremban (arah Selatan) dekat sini, hari ini. Katanya, bagi kategori 1 yang merangkumi lori balak, lori pengangkutan bahan binaan seperti simen, besi, keluli, batu, pasir dan tanah serta lori pembancuh simen dan jentera berat termasuk kren, disekat sepenuhnya menggunakan jalan raya bagi tempoh tersebut. Bagaimanapun, beliau berkata, sepanjang tempoh tersebut bagi kategori 2 iaitu lori kontena dan kargo membawa barangan elektronik dan elektrik dibenarkan beroperasi daripada jam 6 pagi hingga 12 tengah malam. Manakala, kategori 3 iaitu lori pembancuh simen, kren bergerak dan lori pengangkut batu dan pasir dibenarkan beroperasi daripada jam 6 pagi hingga 6 petang di sekitar kawasan Lembah Klang dan kawasan Bandaraya Johor Baharu, Georgetown, Ipoh dan Kuantan saja, tertakluk kepada had masa operasi yang dibenarkan di jalan-jalan tersebut. Sementara itu, mengulas cadangan syarikat konsesi lebuh raya menyedia trak penunda bagi mengalihkan terutamanya kenderaan berat yang rosak di lebuh raya untuk mengelak kemungkinan kemalangan, beliau berkata, ia satu cadangan yang baik. "Saya dimaklumkan syarikat konsesi memang ada trak penunda tapi mungkin tidak mencukupi kerana lebuh raya yang panjang. Langkah keselamatan seperti memasang kon dan lampu memang ada diambil apabila sesebuah kenderaan itu rosak di lebuh raya. "Kita akan kaji perkara ini dengan MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) dalam menangani masalah ini (kenderaan rosak yang diletakkan di tepi lebuh raya)," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment