Sunday, February 28, 2010

Tersepit Penutup Longkang

Kaki pelajar tersepit dalam penutup longkang

Gambar Hiasan

GUA MUSANG: Seorang pelajar sebuah sekolah menengah, dekat sini, menempuh detik mencemaskan selepas kaki kirinya tersepit dalam jeriji besi penutup longkang dalam kejadian di Jalan Pulai, dekat sini, petang kelmarin. Ketika kejadian, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra Satu (SMKTIP-1) Gua Musang berjalan dari sekolah untuk pulang ke rumahnya di Kampung Baru di sini. Kejadian kira-kira jam 5 petang itu, menyebabkan Noreha Abu Hassan, 13, menjerit sekuat hati meminta pertolongan orang awam yang melalui kawasan terbabit kerana kesakitan sebelum mereka menghubungi bomba. Berikutan itu, sepasukan tiga anggota bomba bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang yang tiba 15 minit kemudian mengeluarkan kaki mangsa tanpa mengalami kecederaan parah. Ketika ditemui, Noreha berkata, jeriji besi dipasang sebagai penutup longkang di tepi jalan berkenaan berbahaya kerana jarak setiap besi dipasang itu terlalu luas menyebabkan kaki sesiapa mudah tersepit. Bagaimanapun, dia mengakui kesilapannya membaca buku sambil berjalan menyebabkan kakinya tersepit ke dalam jeriji besi berkenaan berikutan tidak memandang ke depan. “Pada mulanya saya hanya meminta bantuan seorang rakan yang ada bersama bagi mengangkat kaki tersepit, namun gagal menyebabkan kaki saya bertambah sakit memaksa saya menjerit bagi mendapat bantuan. “Ramai yang mengenali saya turut memanggil ibu bapa datang ke tempat kejadian untuk memujuk saya yang dalam kesakitan supaya bersabar sementara menunggu anggota bomba,” katanya. Katanya, dia bersyukur kerana tidak parah dan hanya calar di betis selepas dibantu anggota bomba dan penyelamat untuk mengeluarkan kakinya yang tersepit. “Ketika kaki saya tersepit kuat, tidak ada orang yang mampu merenggangkan besi jeriji itu dan sepasukan bomba yang tiba mengambil masa lima minit membuka besi berkenaan mengguna alat mereka. “Saya takut untuk melalui kawasan itu selepas kejadian berkenaan kerana tidak sangka besi jeriji itu boleh menyebabkan kaki saya tersepit,” katanya.

No comments:

Post a Comment