Saturday, January 16, 2010

Akibat Kecuaian

Bumbung SMK Taman Connaught runtuh akibat kecuaian
WEE Ka Siong melihat bumbung bangunan baru SMK Taman Connaught,
Kuala Lumpur yang runtuh, semalam.
Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
KUALA LUMPUR 16 Jan. - Bumbung sebuah bangunan baru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Connaught, Cheras yang sedang dalam pembinaan runtuh ketika kerja-kerja memasang atap genting dilakukan semalam.Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu berlaku akibat kecuaian pekerja binaan yang meletakkan timbunan atap genting di satu kawasan sahaja.Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong ketika meninjau bangunan itu hari ini berkata, akibat bebanan terlalu berat, besi kekuda sokongan di bahagian hadapan bangunan itu tidak dapat menampungnya lalu runtuh."Semalam kira-kira pukul 4 petang saya menerima panggilan telefon yang mengatakan bumbung bangunan sebuah sekolah di Cheras runtuh. Pada mulanya saya terkejut dan kemudiannya diberitahu bangunan itu masih dalam proses pembinaan."Bagaimanapun, ia tidak melibatkan sebarang kecederaan serius. Hanya tiga pekerja mengalami cedera ringan akibat jatuh bersama-sama runtuhan bumbung itu dan mereka menerima rawatan pesakit luar," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau bangunan sekolah itu dekat sini hari ini.Hadir sama, Pengarah Projek KUB Malaysia Bhd. (KUB), Datuk Azizan Jaafar. KUB merupakan kontraktor yang membina bangunan tersebut.Ka Siong berkata, runtuhan bumbung itu bukan disebabkan pembinaan besi kekuda sokongan tidak kukuh atau tidak mengikut spesifikasi tetapi ia disebabkan kecuaian pekerja yang tidak berpengalaman."Akibat daripada kekangan ruang kerana diapit dua lagi bangunan sekolah, kren tidak dapat masuk ke bahagian yang dikehendaki. Genting bumbung diangkut melalui kren yang berada di hadapan bangunan dan pemindahan genting bumbung ke hujung bangunan dilakukan oleh pekerja sendiri."Disebabkan itu, pekerja binaan bertindak mengumpulkan terlebih dahulu atap genting itu di satu kawasan sahaja sehingga menyebabkan bebanan terlalu berat dan runtuh," katanya.Sehubungan itu, beliau menasihatkan kontraktor yang terlibat supaya menjadikan kejadian itu sebagai iktibar bagi memastikan aspek keselamatan dan peraturan ketika bekerja dipatuhi oleh para pekerja."Pihak kontraktor perlu mematuhi prosedur kerja berpandukan ketetapan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) mengenai tahap keselamatan di tempat kerja," katanya.
Beliau juga mengarahkan pihak kontraktor memasang jaring keselamatan untuk membendung perkara yang tidak diingini berlaku.Dalam pada itu Ka Siong berkata, projek bangunan sekolah tiga tingkat bernilai kira-kira RM4 juta itu bermula pada Mei tahun lalu dan dijangka siap pada Mac ini.Menurutnya, pembinaan bangunan sekolah itu menggunakan kaedah sistem binaan industri (IBS) berikutan ia merupakan kaedah terbaik untuk mengatasi masalah pembinaan bangunan sekolah yang tidak siap mengikut jadual atau tergendala.Katanya melalui kaedah IBS, pembinaan bangunan boleh disiapkan dalam tempoh yang singkat, menggunakan jumlah tenaga kerja yang minimum dan berkualiti kerana komponen yang dihasilkan seperti dinding dan rasuk adalah standard dan terkawal kerana dibina menggunakan acuan.Sementara itu Azizan berkata, pihaknya akan mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku itu."Besi kekuda sokongan yang digunakan merupakan yang terbaik, tetapi ia runtuh akibat bebanan lapan tan metrik atap genting yang dihimpunkan di satu kawasan sahaja," katanya.Menurutnya, daripada 34 buah sekolah yang sudah dibina, ini kali pertama syarikat kontraktor itu mengalami kejadian bumbung runtuh.

No comments:

Post a Comment