Monday, January 18, 2010

Pelatih Perahu Naga Terbalik

Guru, pelajar lemas, empat hilang
Oleh NOOR HASLIZA NUSI

ANGGOTA penyelamat mengusung mayat yang ditemui dalam kejadian perahu naga terbalik di George Town semalam.

GEORGE TOWN - Latihan menyertai Kejohanan Perahu Naga pada bulan Jun ini oleh pasukan Sekolah Tinggi Chung Ling di sini berakhir tragedi apabila bot yang dinaiki terbalik dan mengorbankan dua nyawa manakala empat pelajar lagi hilang.Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.45 pagi di persisiran pantai di Pangkalan Weld di sini semalam.
Mangsa yang terkorban ialah guru bertugas, Chin Aik Siang, 28, dan pelajarnya, Jason Ch'ng, 17.
Mereka yang masih belum ditemui ialah Brandon Yeoh, 17, Yong Xiang, 16, Koh Yix Hiang, 17, dan Cheah Zi Jun, 17. Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, ketika kejadian, 18 orang termasuk seorang guru dan dua jurulatih dari Penang Forward Sports Club sedang menjalani latihan mendayung untuk perlumbaan perahu naga yang dijadualkan pada pertengahan tahun ini.

SEORANG ahli keluarga mangsa yang terkorban tidak dapat mengawal kesedihan selepas dimaklumkan mengenai kejadian perahu naga terbalik semalam.

"Perahu itu dipercayai telah dipukul ombak beberapa kali sebelum itu tetapi berjaya dikawal. Namun, ombak yang datang selepas itu agak kuat menyebabkan perahu tersebut melanggar tongkang yang berada di kawasan berdekatan lalu terbalik. "Kesemua yang berada di atas perahu tercampak ke laut manakala 12 daripada mereka berjaya menyelamatkan diri dengan berenang sendiri ke tepi pantai yang jaraknya kira-kira 100 meter dari tempat kejadian," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

2 lemas, 4 hilang

Oleh Norakmah Mat Youb dan Petah Wazzan Iskandar

AHLI keluarga meratapi mangsa tragedi perahu naga.

Latihan mendayung perahu naga Sekolah Menengah Chung Ling, Pulau Pinang
bertukar tragedi selepas berlanggar dengan tongkang
GEORGETOWN: Latihan mendayung perahu naga oleh pasukan Sekolah Menengah Chung Ling bertukar tragedi apabila guru penasihatnya serta seorang pelajar lemas, manakala empat lagi hilang selepas perahu mereka dipukul ombak dan berlanggar dengan tongkang di Perairan Pantai Macalum di sini, semalam. Dalam kejadian jam 8.45 pagi, kira-kira 100 meter dari pantai itu, perahu yang dinaiki 18 orang termasuk dua jurulatih dikatakan terbalik beberapa kali menyebabkan mangsa tercampak.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata mayat guru penasihat pasukan berkenaan, Chin Aik Siang, 28, dijumpai tersangkut pada perahu naga itu jam 10.20 pagi, manakala mayat Jason Ch'ng, 17, ditemui di bawah tongkang pada jam 2.45 petang. Mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat. Gerakan mencari empat pelajar yang hilang pula diteruskan pagi ini selepas dihentikan pada jam 6.30 petang berikutan keadaan semakin gelap. Empat pelajar itu dikenali Brandon Yeoh, 17; Koh Yizhiang, 17; Cheah Zi Jun, 17 dan Yong Xiang, 16. Ayub berkata, pelajar sekolah itu bersama seorang guru dan dua jurulatih dari Penang Forward Sports Club menjalani latihan mendayung untuk perlumbaan perahu naga yang dijadualkan pertengahan tahun ini.

DARI kiri, Jason Ch'ng, Chin Aik Siang, Cheah Zi Jun, Koh Yizhiang dan Brandon Yeoh.

“Ketika cuba membuat pusingan, perahu itu dipukul ombak menyebabkannya terlanggar tongkang dan terbalik,” katanya. Beliau berkata, 11 mangsa sempat berenang ke pantai berhampiran manakala seorang lagi diselamatkan nelayan. Katanya, empat mangsa yang terselamat dimasukkan ke HPP kerana cedera di beberapa bahagian badan. Ayub berkata, berdasarkan siasatan awal dan maklumat mangsa yang terselamat, polis dimaklumkan bahawa ada beberapa pelajar terbabit tidak memakai jaket keselamatan ketika menjalani latihan.

PERAHU membawa 17 pendayung Sekolah Menengah Chung Ling yang karam ditarik ke jeti Pantai Macalum, Pulau Pinang, semalam.

Ditanya sama ada pihak sekolah terbabit memaklumkan latihan itu kepada pihak berkuasa, Ayub berkata, pihaknya tidak dimaklumkan berhubung perkara itu. “Kita akan menjalankan siasatan kerana saya dimaklumkan mereka menjalani latihan mendayung perahu naga itu setiap Ahad,” katanya. Terdahulu, Ayub melawat dan menenangkan keluarga mangsa yang menunggu di tepi pantai sejak jam 9 pagi bagi mengetahui perkembangan anak masing-masing. Seramai 60 anggota pelbagai agensi menyertai gerakan mencari dan menyelamat.

No comments:

Post a Comment