Pengusaha Bas Mesti Patuhi
- AKKP 1994 @ OSHA 1994
BHARIAN / 02.01.2010KUALA LUMPUR: Semua pengusaha kenderaan pengangkutan awam mesti mematuhi peraturan ditetapkan “Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994” bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjanya terjamin termasuk membantu mencegah berlakunya lebih banyak kemalangan maut. Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia, Hamzah Masri, berkata mereka mesti menyediakan bas yang selamat mengikut prosedur dan peraturan ditetapkan serta mengutamakan keselamatan penumpang.
"Akta itu perlu diperluaskan dengan menekankan majikan memastikan ''tempat kerja'' disediakan selamat. Contohnya, bagi syarikat pengusaha bas, ''tempat kerja'' bagi pemandu bas adalah sepanjang perjalanan membawa penumpang dari satu destinasi menuju ke satu destinasi lain.
"Sekiranya pemandu itu memandu bas yang berkeadaan selesa dan sihat termasuk tidak memandu secara berterusan kemalangan maut pasti tidak akan berlaku," katanya di sini, hari ini.
Hamzah mengulas tragedi kemalangan maut di jalan raya yang membabitkan bas termasuk terbaru membabitkan bas dua tingkat Sani Express di KM272.8 Lebuh Raya Utara Selatan dan mengorbankan 10 nyawa, Sabtu lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, bas dua tingkat yang sedang dalam perjalanan ke Kangar dari Klang, Selangor terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan.Hamzah berkata pengusaha bas perlu memastikan pemandu bas mematuhi langkah-langkah yang diperkenalkan Kementerian Pengangkutan terutama berhubung masa rehat bagi mengatasi keletihan dan memandu di dalam keadaan baik. Katanya sikap pengusaha bas yang mengabaikan keutamaan aspek keselamatan adalah antara punca yang mengakibatkan kemalangan melibatkan kenderaan itu. Punca kemalangan sesebuah bas perlu dilihat secara menyeluruh termasuk keletihan dan kelesuan pemandu serta pengurusan yang tidak cekap, katanya. "
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) seharusnya menyiasat pemandu yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelakkan sesuatu kemalangan itu bertambah serius dan membahayakan penumpang dan pengguna lebuh raya yang lain," katanya. Beliau berkata tindakan dan hukuman sewajarnya hendaklah dikenakan kepada pengusaha dan pemandu bas terbabit yang didapati enggan mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan. - Bernama
No comments:
Post a Comment