Thursday, January 14, 2010

Pemadam Api Hanya Hiasan

Pemadam api hanya hiasan
Oleh NORAINI NORDIN

Alat pemadam api yang diletakkan di kawasan pembuangan sampah adalah gambaran bahawa ramai pemilik premis mengambil mudah soal penjagaan alat tersebut tanpa memikirkan kesan daripada tindakan mereka itu.

KUALA LUMPUR - Sekadar melepas batuk di tangga. Itulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan sikap sebilangan besar pemilik premis di ibu negara mengenai keperluan memiliki dan memastikan alat pemadam api berfungsi dengan sempurna. Kebanyakan pemilik premis terbabit hanya mematuhi syarat memiliki alat pemadam api mudah alih kerana bimbang dikenakan tindakan.Sama ada alat tersebut diselenggara mengikut jadual dan diletakkan di tempat yang betul tidak diambil peduli oleh kebanyakan mereka.Lebih parah, ada pemilik premis yang langsung tidak menghiraukan sama ada alat tersebut masih berfungsi atau sudah rosak.Tinjauan di beberapa restoran di ibu kota mendapati, pekerja-pekerja premis tersebut langsung tidak mempunyai pengetahuan bagaimana mahu menjaga peralatan tersebut dengan cermat.Mereka meletakkan tabung alat pemadam api itu di merata tempat termasuk di atas simen atau dalam stor yang berkunci.Ada juga restoran yang menjadi tabung alat pemadam api itu penyendal pintu dapur bagi memudahkan petugas menghantar makanan kepada pelanggan.
Terdapat juga pemilik premis yang memasang alat keselamatan kebakaran berhampiran dengan sumber api atau bersebelahan dapur memasak.Mereka juga lalai untuk mengisi semula tabung alat keselamatan kebakaran tersebut apabila sudah digunakan.Seorang pekerja yang berketurunan Thai yang mahu dikenali sebagai Yee, 32, yang ditemui di sebuah restoran di Kota Damansara dekat sini mengakui tidak mengetahui cara menggunakan alat pemadam api tersebut."Jika ada kebakaran kecil di dapur saya hanya menggunakan air sahaja. Lebih cepat dan mudah. Walaupun ada alat tersebut saya tidak tahu menggunakannya,'' kata beliau yang sudah tiga tahun bekerja di restoran tersebut.Seorang pemilik restoran masakan Melayu, Zaila Sharif, 44, mengakui tidak pernah menghantar tabung keselamatan kebakaran untuk pemeriksaan bomba kerana tidak mempunyai masa terluang."Kesibukan mengendalikan urusan perniagaan menyebabkan saya lupa untuk mematuhi peraturan tersebut."Setakat ini belum kebakaran besar berlaku di restoran saya. Kalau ada cuma kecil sahaja yang boleh dipadamkan sendiri.'' katanya yang sudah lima tahun berniaga.

90 peratus pemadam api tidak berfungsi

KUALA LUMPUR - Lebih 90 peratus alat pemadam api mudah alih yang terdapat di premis-premis di seluruh negara tidak boleh digunakan untuk memadam api kerana mengalami pelbagai kerosakan. Kerosakan pada alat keselamatan kebakaran itu turut melibatkan premis-premis milik kerajaan serta pusat beli-belah. Ketua Unit Komunikasi dan Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Penguasa Kanan Bomba 1, Morni Mamat memberitahu Utusan Malaysia, kerosakan tersebut berpunca daripada kecuaian pemilik premis menyelenggara serta menyimpan peralatan tersebut dengan cermat.akibatnya, kata beliau, serbuk kering iaitu sejenis bahan kimia seperti debu di dalam tabung tersebut beku dan tidak boleh digunakan lagi.Selain itu, kata beliau, ada juga tabung alat keselamatan kebakaran tersebut sudah 'kosong' kerana telah digunakan tetapi tidak diisi semula.Beliau berkata, lebih dibimbangi ialah sikap ambil mudah terhadap penyelenggaraan peralatan tersebut turut dilakukan oleh pemilik-pemilik restoran iaitu premis yang paling berisiko terdedah dengan kebakaran."Kelalaian seumpama itu boleh mengundang padah. Jika kebakaran kecil berlaku di premis mereka alat tersebut tidak mampu memadamkan api."Kebakaran akan cepat merebak dan membahayakan keselamatan pelanggan-pelanggan mereka,'' katanya semasa ditemui di pejabat beliau di Putrajaya dekat sini.Jelas beliau, peralatan memadam tersebut perlu sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan penyelenggaraannya dilakukan secara berjadual.
"Tabung alat pemadam api mudah alih itu mesti hantar ke balai bomba berhampiran setahun sekali untuk pemeriksaan,'' katanya.Beliau mendedahkan, daripada pemantauan yang dibuat, lebih 90 peratus pemilik premis cuai menyelenggara dan menjaga peralatan itu menyebabkan ia tidak boleh digunakan pada waktu kecemasan.Kata Morni, walaupun semakin banyak pemilik premis mematuhi arahan memasang alat keselamatan kebakaran tetapi kesedaran untuk memastikan alat itu berfungsi sangat rendah."Terdapat juga premis-premis milik kerajaan yang turut mengabaikan penjagaan peralatan tersebut sehingga dikompaun."Kecuaian seperti itu juga berlaku di beberapa pusat beli-belah negara ini, sekali gus mendedahkan kepada orang ramai risiko yang besar jika berlaku kebakaran," katanya.Beliau juga mengingatkan pemilik premis bahawa tabung alat pemadam api tidak boleh diletakkan di merata-rata tempat bagi mengelakkan kerosakan."Dry powder (serbuk kering) di dalamnya boleh membeku jika tabung tersebut diletakkan atas simen atau stor yang berkunci."Ada juga yang menggunakan tabung alat pemadam api sebagai penyendal pintu sehingga merosakkan peralatan tersebut,'' katanya.
Sementara itu, Morni menjelaskan, pemasangan alat keselamatan kebakaran telah diwajibkan oleh kerajaan di setiap premis yang mempunyai keluasan minimum 20 x 70 kaki persegi.
Kata beliau, peraturan itu termaktub di bawah Akta Peruntukan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984."Pemilik-pemilik premis yang gagal mematuhi peraturan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Bomba yang membawa denda tidak melebihi RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
"Denda tambahan boleh dikenakan sejumlah RM100 setiap hari daripada tarikh amaran sehingga alat pemadam api tersebut dipasang di premis mereka,'' katanya.
Orang ramai boleh membuat aduan jika terdapat premis yang tidak mempunyai alat pemadam keselamatan kebakaran di talian 03-88880964 atau balai-balai bomba berhampiran.

Sikap ambil mudah pemilik premis dikesali

KUALA LUMPUR- Sikap ambil mudah dan malas menyelia alat pemadam api mudah alih oleh kebanyakan pemilik premis membimbangkan orang ramai.Menurut mereka, pemilik-pemilik premis terutama yang berisiko tinggi termasuk restoran-restoran perlu mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap keselamatan pelanggan-pelanggan mereka. Anis Fariza Omar, 18, berkata, pemilik premis harus memastikan premis mereka selamat sepanjang masa.
"Jangan dedahkan pelanggan-pelanggan dengan bahaya kebakaran. Sikap cuai mereka (pemilik premis) menyelia alat pemadam api tidak patut berlaku," katanya yang menetap di Semenyih.
Seorang surirumah, Norzita Alias, 35, berkata, premis-premis yang terdedah dengan kebakaran perlu selalu dipantau bagi menjamin keselamatan pelanggan.Beliau yang terkejut dan bimbang dengan 'sikap ambil mudah' kebanyakan pemilik-pemilik premis menyelia alat keselamatan mudah alih menyarankan tindakan tegas diambil terhadap mereka.Seorang kakitangan swasta, Muhammad Hatta Farizi Syafrizal, 19, berkata, mempunyai alat pemadam api mudah alih sangat penting untuk mencegah kebakaran di peringkat awal."Pemilik premis tidak boleh alpa terhadap penjagaan alat keselamatan tersebut. Jangan memperjudikan nyawa pelanggan gara-gara sikap sambil lewa itu,'' katanya.Bagi Nur Hasyimah Hashim, 18, pekerja premis juga mesti mempunyai pengetahuan cara menggunakan alat pemadam api."Selain daripada memastikan alat keselamatan tersebut berfungsi, pekerja juga perlu dilatih menggunakan peralatan tersebut supaya tidak panik menghadapi saat-saat cemas," katanya.Pendapat yang sama juga turut dinyatakan oleh seorang penuntut, Amirul Amri Yahya Robi, 18 tahun."Ada pekerja yang tidak tahu langsung menggunakan alat keselamatan tersebut terutama majikan yang menggunakan khidmat rakyat asing. "Jika berlaku kebakaran, ia boleh membahayakan keselamatan orang ramai,'' ujar beliau.

No comments:

Post a Comment