2 anak kapal terpelanting
Gambar Hiasan
Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
JOHOR BAHRU: Dua anak kapal tangki minyak MT Hercules maut selepas terpelanting beberapa meter ke udara dan jatuh ke atas dek akibat letupan ketika sedang melakukan kerja penyelenggaraan di atas kapal berkenaan, kira-kira tiga batu nautika ke selatan Pulau Kukup, Pontian, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa dikenali sebagai Sylvester Keterim, 24, berasal dari Tamparuli, Sabah dan Shezi Chang Shiah Joo, 22, dari Sandakan, Sabah maut akibat cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian.Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin, berkata letupan itu turut mengakibatkan kebakaran berlaku di atas kapal, namun dapat dipadamkan kira-kira 30 minit kemudian oleh anak kapal berkenaan. “Kapal berkenaan berdaftar di Pelabuhan Klang dan berada di lokasi kejadian sejak hampir dua bulan lalu untuk kerja ubah suai dan naik taraf,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. Sementara itu, Ketua Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Wilayah Selatan, Datuk Che Hassan Jusoh, berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat kejadian di kapal tangki minyak itu daripada pusat kawalan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) jam 9.05 malam. Katanya, KM Bidong dan bot Kilat 12 digegaskan ke lokasi kejadian selain meminta bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Jabatan Laut. “Ketika kejadian, terdapat 24 anak kapal dan 20 pekerja kontrak di dalam kapal berkenaan terdiri daripada warga Indonesia, Filipina, India selain pekerja tempatan. “Difahamkan dua pekerja sedang melakukan kerja kimpalan pada satu daripada tangki minyak apabila tangki berkenaan tiba-tiba meletup,” katanya. Menurut Che Hassan, pasukan mencari dan menyelamat yang tiba di tempat kejadian mendapati kebakaran sudah dipadamkan dengan bantuan anak kapal. Katanya, mayat dua anak kapal terbabit dibawa keluar dari dalam kapal kira-kira jam 10.15 malam dan dibawa ke jeti Kukup oleh bot Kilat 12 sebelum diserahkan kepada pihak polis. “Sehingga kini, kami belum mengetahui punca letupan. Bagaimanapun, semua anak kapal yang terselamat masih berada di atas kapal itu. “Kapal MT Hercules juga dipantau selama 24 jam bagi memastikan ia benar-benar selamat dan tiada lagi berlaku kebakaran,” katanya.
No comments:
Post a Comment