Wednesday, April 7, 2010

Pulau Pinang Bergegar

Pulau Pinang bergegar, penduduk cemas
GEORGETOWN – Kira-kira jam 6.15 pagi tadi, penduduk di beberapa lokasi sekitar negeri ini cemas berikutan blok bangunan perumahan mereka bergegar selama dua hingga lima minit. Antara lokasi utama di sekitar daerah Timur Laut yang merasai gegeran berkenaan ialah di Batu Feringghi, Tanjung Bungah, Tanjung Tokong, Jelutong Ekspressway, Batu Lanchang dan Air Itam. Setiap kali berlakunya gegaran di kawasan pulau negeri ini, semua penduduk hanya teringatkan peristiwa tsunami yang meragut ratusan nyawa penduduk serta kerugian harta berjuta ringgit di negeri ini pada 2005. Gegaran yang terkena tempiasnya di kawasan pantai Pulau Pinang itu juga disebabkan gempa bumi kuat berskala 7.5 ritcher yang berlaku di Kepulauan Utara Sumatera pada jam 6.15 pagi, semalam. Jabatan Meteorologi yang mengeluarkan kenyataan pada jam 6.40 pagi juga memaklumkan amaran tsunami dikeluarkan kepada penduduk di kawasan pantai Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Tinjauan Sinar Harian mendapati penduduk di lokasi berkenaan masih berjaga-jaga dan ada di antaranya yang masih trauma. Penduduk Rumah Pangsa Nipah Court, Sri Tanjung Tanjung Tokong, Mohd Asrul Ismail berkata, gegeran berkenaan mula dirasainya dan isterinya ketika mengambil air wuduk bagi mengerjakan solat Subuh. Menurutnya, ketika memasuki bilik air dia terkejut melihat air di dalam bekas berkocak begitu kuat. “Saya terkejut kerana ini adalah kali pertama kejadian gegaran yang begitu kuat berlaku di rumah kami, hendak pula rumah ini baru sahaja saya diami dengan keluarga pada tahun lalu. “Isteri sampai sekarang trauma kerana dia melihat lampu hiasan di ruang tamu kami bergoyang sampai dia boleh kata pasti nyawa kami sudah hendak berakhir. Sebelum terjadi apa-apa saya terus bawa anak dan isteri turun dari rumah,” katanya yang mendiami tingkat 11 rumah pangsa berkenaan. Asrul berkata, pada jam 6.15 pagi hampir 100 penduduk perumahan berkenaan turun ke pekarangan rumah pangsa kerana sedar dengan gegaran kuat berkenaan. Walaupun ada yang menyedari kejadian berkenaan, tetapi masih ramai lagi yang tidak tahu gegaran yang sedang berlaku di rumah mereka, akui Zainol Arshad Mohamad yang juga menghuni di Nipah Court. “Ini adalah situasi yang membimbangkan kerana kejadian sebegini langsung tidak disedari oleh orang ramai sedangkan masih ramai yang lena dienak dibuai mimpi. “Nasiblah tiada apa yang terjadi, mereka semua tidak sedar kerana tiada loceng amaran disediakan oleh pihak perumahan, benda ini sememangnya perlu dipandang serius oleh semua pihak,” katanya. Dalam pada itu Zainol turut menyarankan agar Kerajaan Negeri mencadangkan supaya setiap pemaju perumahan mewujudkan penggera gegaran dan penggera tsunami bagi membolehkan semua penduduk berjaga-jaga. Menurutnya, dalam kejadian pagi semalam masih ramai yang tidak turun termasuk warga emas dan kanak-kanak. “Kalau boleh memang saya tidak mahu doakan apa-apa yang tidak baik kerana melalui pemasangan penggera ini sajalah cara yang terbaik untuk membantu semua penduduk berjaga-jaga sekiranya ada kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya. Difahamkan Tanjung Tokong juga terkena penangan ombak besar apabila ia melepasi Jalan utama Tanjung Tokong ke Batu Feringghi. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu Feringghi, Jamaluddin Hashim berkata, beliau mengetahui kejadian berkenaan kerana siren tsunami yang diletakkan di Masjid Batu Feringghi berbunyi. Menurutnya, walaupun siren berkenaan dibunyikan masih ramai penduduk yang tidak mengambil endah kerana hanya beberapa orang sahaja yang keluar dari rumah. “Selepas mendengar siren itu saya juga menghubungi rakan nelayan dan rakan yang duduk di sepanjang pantai, tetapi nelayan bernasib baik kerana pada musim sekarang adalah musim air mati. “Apabila air laut mati ramai nelayan tidak keluar, tetapi kali ini walaupun duduk di rumah kampung kami masih rasakan gegaran tersebut, kerana sebelum ini gegaran hanya dirasai penduduk yang duduk di rumah pangsa sahaja.” katanya. Bagi penggiat sukan air di Batu Feringghi, Asrol Yaakob berkata, dia menerima arahan supaya berjaga-jaga daripada pihak berkuasa semasa menjalankan aktiviti perniagaan sukan air. Dia bersama rakan niaga lain masih menjalankan perniagaan seperti biasa bermula jam 9 pagi hingga jam 8 malam. “Kami juga tidak risau kerana tiada ombak kuat yang berlaku pagi tadi disini, dan semua bot sudah turun ke laut, tambahan lagi di sini memang ada menara keselamatan yang dikawal Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya. Sementara itu di Rumah Pangsa Kampung Melayu Air Itam juga berlaku gegaran yang sama. Penduduk, Sharifah Fuziah Syed Masir menyedari kejadian gegaran setelah melihat air berkocak di bilik air. Kejadian itu berlaku buat kali kedua dan dialami Fuziah selepas bencana tsunami pada 2005. “Pada mulanya selepas bangun tidur saya rasa pening, tetapi disebabkan sudah mempunyai pengalaman semasa Tsunami dahulu saya hanya terfikir sama ada ini gegaran atau betul-betul pening. “Dulu masa tsunami juga saya alami benda yang sama, alhamdulillah tiada perkara buruk berlaku,” katanya. Sinar Harian cuba mendapatkan maklum balas Pengarah JPAM negeri, Noor Azam Johari mengenai sistem keselamatan dan persediaan yang disediakan JPAM semasa mengalami situasi mencemaskan. Azam berkata, pihaknya bersiap sedia dengan segala situasi kecemasan yang diterima oleh JPAM. “Kami mempunyai dua bilik gerakan yang dibuka setiap hari selama 24 jam, dan bagi kecemasan di laut kami juga sudah mempunyai anggota khas. “Di Pantai Batu Feringghi juga ada menara kawalan JPAM, dan semuanya masih dalam keadaan selamat,” katanya. Bagi Pengarah Ikatan Relawan Rakyat (Rela) negeri, Romli Ibrahim berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan. Justeru, setiap satu daerah di negeri ini mempunyai 1 Platun Rela dengan kekuatan anggota seramai 33 anggota.

No comments:

Post a Comment