Thursday, April 22, 2010

Perangi Dadah Di Felda

Perangi dadah di Felda
KUANTAN - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menjalinkan kerjasama dengan Felda dalam memerangi gejala penyalahgunaan dadah di tanah rancangan di seluruh negeri ini. Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerjasama itu bagi membolehkan AADK menyelaras program-program pencegahan dadah di kawasan tanah rancangan Felda. "Modul khas pencegahan dadah di kawasan Felda dengan kerjasama AADK telah dibentuk apabila program yang dirancang adalah khusus untuk masyarakat peneroka," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Norolazali Sulaiman (BN-Guai) pada Sidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. Menurut Adnan, AADK dikehendaki menjalankan operasi sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh seminggu di setiap daerah. "Bagi penagih tegar yang melanggar syarat perintah pengawasan, AADK telah mengambil tindakan perundangan dengan mendakwa penagih ini di bawah Seksyen 6(3) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan ) 1983 pindaan 1998. "Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau sebat tidak lebih tiga kali atau kedua-duanya sekali," katanya. Sementara itu, Pengerusi jawatankuasa Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, kerja-kerja penggantian paip di semua daerah di negeri ini adalah satu projek berterusan. Katanya, pelaksanaannya bergantung kepada keutamaan kerana peruntukan yang diperlukan amat tinggi. "Oleh itu, kita menggunakan kaedah lain seperti pengurusan tahunan untuk memastikan paip-paip lama masih boleh berfungsi dengan baik," katanya ketika menjawab soalan Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak (BN-Tahan) mengenai cadangan kerajaan menaiktaraf perbekalan air di Pahang.

No comments:

Post a Comment