Thursday, April 22, 2010

Keunikan Perahu Tembeling

Keunikan Perahu Tembeling
Oleh HARIS FADILAH AHMAD

AZAM Md. Yassin menunjukkan hasil kraf yang dijual sebagai cenderamata di Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, Pahang. - UTUSAN/Haris Fadilah Ahmad

JERANTUT- Populariti Taman Negara Kuala Tahan dekat sini memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Saban minggu, deretan kenderaan termasuk bas pesiaran yang membawa pelancong tempatan dan asing memasuki taman tertua di dunia itu untuk menyaksikan keindahan alam semula jadi. Dengan sambutan yang begitu hebat di kalangan pelancong, ramai peniaga mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan di Taman Negara itu. Tidak kira apa sahaja yang diniagakan, semuanya akan tersenyum lebar apabila menutup operasinya selepas memperoleh keuntungan yang besar daripada kehadiran pelancong. Daripada perniagaan gerai makanan hinggalah kepada penjualan barangan cenderamata, semuanya memberi pulangan yang berbaloi terutama pada hujung minggu. Maka tidak hairanlah ramai di kalangan penduduk tempatan menjalankan perniagaan di Taman Negara untuk memperoleh pendapatan tetap atau sampingan. Menyedari potensi perniagaan di Taman Negara itu, seorang anak muda sanggup melepaskan kerjayanya sebagai pegawai perhubungan awam untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan. Dengan kemahiran dalam bidang ukiran, Azam Md. Yassin, 46, menjadikan produknya untuk dijual kepada pelancong asing dan tempatan. Usahanya dilihat amat berbaloi apabila produk ukirannya yang dijual di premisnya, Ole-Ole Shop Sdn. Bhd. (Ole-Ole Shop) di Taman Negara Kuala Tahan mendapat sambutan hebat daripada kalangan pelancong. Antara paling menarik ketika berkunjung Ole-Ole Shop ialah cenderamata berbentuk perahu penambang diukir daripada kayu dan bahan terbuang diperoleh di hutan berdekatan yang dihasilkan sendiri menerusi daya kreatif Azam. ''Saya membuat cenderamata berbentuk bot atau lebih dikenali Perahu Tembeling selepas pelancong asing yang datang di kedai ini bertanyakan cenderamata berkonsepkan budaya tempatan penduduk di sini. ''Dengan kemahiran mengukir yang diperoleh daripada ayah saya, dapatlah saya mengukir kayu-kayu terbuang di sungai untuk menghasilkan cenderamata berkenaan," katanya. Ditanya mengenai permintaan cenderamata Perahu Tembeling itu, Azam memberitahu, sambutannya cukup hebat kerana ia tidak boleh diperoleh di pusat pelancongan lain. ''Selain selipar, topi dan baju T yang bercap Taman Negara Kuala Tahan, ukiran Perahu Tembeling menjadi tarikan utama di Ole-Ole Shop. ''Ada pelancong yang datang semula ke Taman Negara, singgah di kedai ini dan mahu membeli cenderamata yang sama untuk dibawa pulang sebagai kenangan," katanya. Azam memilih kawasan esplanade berdekatan tebing Sungai Tembeling untuk membangunkan Ole-Ole Shop kerana kedudukannya yang strategik untuk disinggahi para pelancong ketika bersantai dan menaiki bot penambang atau dalam perjalanan pulang ke bandar Jerantut. Variasi produk yang ditawarkan daripada barangan cenderamata, pakaian hinggalah lukisan mampu memberi kepuasan pelancong yang berkunjung ke Ole-Ole Shop. Apatah lagi kualiti dan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Amat tepat jika seseorang itu memilih Ole-Ole Shop untuk mendapatkan cenderamata dibawa pulang kepada orang tersayang. Menurut Azam, premis yang dibuka awal tahun lalu itu disewa daripada Majlis Daerah Jerantut (MDJ) yang menumpukan perniagaan berasaskan pelbagai jenis cenderamata. "Pelancong berpeluang memilih ole-ole yang mereka kehendaki dengan harga berpatutan dan kualiti yang tinggi untuk dibawa pulang ke tempat masing-masing. ''Saya menjual cenderamata dengan harga antara RM10 hingga RM100 dan saya mengambil sikap bertimbang rasa dengan mengurangkan kadar harganya jika seseorang pelancong yang benar-benar ingin memilikinya tetapi kekurangan wang," katanya. "Semua cenderamata seperti baju T, selipar dan pen yang dijual di sini diletakkan tanda Taman Negara Kuala Tahan atau dalam bahasa Inggerisnya 'National Park Kuala Tahan' bagi menggambarkan entiti pusat pelancongan antarabangsa yang dikunjungi pelawat dari seluruh dunia," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kuala Tahan, dekat sini baru-baru ini. Azam yang juga bekas pegawai perhubungan pelancong di sebuah resort di Taman Negara memberitahu, beliau mengeluarkan modal sebanyak RM45,000 menerusi wang simpanannya untuk mendapatkan produk cenderamata. ''Selain itu, saya juga sedang mengumpulkan wang untuk membeli mesin sulaman dan peralatan ukiran berteknologi tinggi dari Jepun bagi memudahkan kerja membuat sulaman dan ukiran bermotifkan Taman Negara pada baju T, selipar, topi, seluar, kayu dan cenderamata lain. ''Mesin berkenaan amat penting mempercepatkan pengeluaran cenderamata bagi memenuhi permintaan pelancong dan pengusaha resort dan hotel di Taman Negara ini," katanya. Dalam pada itu, Azam memberitahu, kemahiran berbahasa Inggeris, Jerman, Itali dan Jepun memberi kelebihan kepadanya untuk menarik pelancong asing ke premisnya. ''Kemahiran dalam pelbagai bahasa ini diperoleh daripada pergaulan dengan pelancong asing yang singgah di Taman Negara. Kebolehan berbahasa asing antara faktor menarik pelawat singgah di kedai saya. Beliau yang berasal dari Kampung Pagi, Hulu Tembeling dekat sini yakin perniagaan cenderamata di Taman Negara mempunyai potensi cerah untuk maju memandangkan kehadiran pelawat yang semakin ramai.''Kehadirannya lebih berganda terutama ketika cuti hujung minggu dan persekolahan," katanya

No comments:

Post a Comment