Pembeli kereta lelong kecewa tindakan bank
Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan swasta yang menemani suaminya di Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN) di sini, terkejut apabila keretanya yang diletakkan di pusat rawatan berkenaan ditarik sebuah bank tanpa sebarang notis.Lebih membingungkan pemiliknya, bank yang menarik Proton Wira Aeroback itu bukan institusi kewangan yang memberi pinjaman sewa beli kenderaan kepadanya. Zarina Nordin, 48, berkata suaminya, Shofian Abddullah, 47, dimasukkan ke IJN pada 1 April lalu kerana saluran jantung tersumbat. “Disebabkan mahu menjaga suami, saya tidak tengok langsung kereta, tetapi meminta adik melihat keadaannya selepas dua hari diletakkan di tempat letak kereta IJN. “Bagaimanapun, saya terkejut apabila diberitahu Proton Wira Aeroback terpakai yang dibeli empat tahun lalu hilang,” katanya yang ditemui di IJN di sini, semalam. Menurutnya, dia membeli kereta yang dilelong sebuah bank pada harga RM17,000 dan membuat pinjaman sewa beli dengan bank lain. “Seorang pengawal keselamatan kemudian memaklumkan kereta itu sudah ditarik kira-kira jam 11 pagi, 3 April lalu oleh pihak bank yang melelong tanpa notis pemberitahuan. “Saya pelik bagaimana kereta boleh ditarik sedangkan saya tidak pernah gagal membayar pinjaman. Kami kemudian bergegas ke stor simpanan milik bank itu di Ulu Klang, tetapi tidak dibenarkan dibawa pulang. “Adik lelaki saya menghubungi bank yang memberi pinjaman dan kami sekali lagi terkejut kerana mereka tidak tahu mengenai perkara itu serta tidak pernah mengeluarkan surat kuasa kepada mana-mana pihak untuk menarik kenderaan itu,” katanya. Zarina berkata, dia kemudian menghubungi bank yang melelong kereta itu sebelum ini untuk mendapatkan penjelasan sedangkan pinjaman dibuat di bank lain. “Saya pergi ke bank berkenaan, tetapi pegawai enggan melayan kami, sebaliknya memberi tahu pinjaman kereta itu sudah empat tahun tidak dibayar menyebabkan ia ditarik,” katanya. Dia berkata, tidak puas hati dengan tindakan itu, satu laporan dibuat di Pondok Polis IJN pada 3 April lalu dan dia juga bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap bank berkenaan.
No comments:
Post a Comment