Ismail Mohamed Taib (kanan) bertukar dokumen perjanjian pembinaan jambatan Pulau Pinang kedua dengan Sun Liang, sambil diperhatikan Awang Adek Hussin di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR- Isu konsesi dan projek pembinaan Jambatan Pulau Pinang Kedua bernilai RM4.5 bilion kini dianggap selesai dengan termeterainya perjanjian kontrak antara tiga pihak terlibat hari ini. Perjanjian itu dimeterai oleh syarikat khas Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), Chec Construction (M) Sdn. Bhd. (Chec) dan UEM Builders Bhd. (UEM Builders). JKSB merupakan anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan, yang dilantik sebagai pemegang konsesi untuk projek tersebut. Pengerusi JKSB, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berkata, majlis memeterai perjanjian itu, menyaksikan penganugerahan kontrak untuk Pakej 1 dan Pakej 2 kepada dua kontraktor utama. ''Pakej 1 diberikan kepada Chec yang melibatkan sub struktur, navigasi jarak utama (main navigation span) dan kerja-kerja asas bagi jarak. ''Manakala Pakej 2 diberikan kepada UEM Builders yang melibatkan kerja-kerja struktur utama bagi jarak (super structure works). Kedua-dua kontraktor bertaraf dunia itu dipilih berdasarkan merit dan rekod prestasi yang baik,'' katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kontrak antara JKSB diwakili oleh Pengarah Urusannya, Datuk Ir. Ismail Mohamed Taib, Pengarah Urusan Chec, Sun Liang dan Pengarah Urusan UEM Builders, Datuk Ridza Abdoh Salleh di sini hari ini. Majlis tersebut disaksikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin. Pembinaan jambatan sepanjang 23.5 kilometer yang merupakan terpanjang di Asia Tenggara apabila siap kelak akan menghubungkan Batu Maung di Pulau Pinang dan Batu Kawan di Semenanjung. Projek itu telah dimulakan sejak 2008 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang November 2013. Jarak antara jambatan pertama dan kedua adalah kira-kira lapan kilometer. Sulaiman berkata, setakat ini kerja-kerja pembinaan jambatan itu telah 24 peratus siap. Projek pembinaan jambatan ini akan dibiayai oleh Export-Import Bank of China (China Exim), Kumpulan Wang Amanah Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Bank Pembangunan Malaysia Bhd. (BPMB). Sebelum ini, projek jambatan berkenaan dihantui kemelut berkaitan konsesi dan kerja-kerja kontrak sehingga membawa kepada penubuhan sebuah syarikat khas (SPV) milik penuh kerajaan sebagai pemegang konsesi Jambatan Kedua Pulau Pinang, yang seterusnya mengagihkan kontrak membina jambatan itu. SPV yang diberi nama Jambatan Kedua Pulau Pinang Sdn. Bhd. (JKPP), dan mengurangkan 40 peratus daripada kos kontrak yang sepatutnya diberikan kepada UEM Builders Bhd pada awalnya. Berikutan penubuhan JKPP, surat anugerah Chec dan UEM Builders, masing-masing melibatkan wang berjumlah RM2.3 bilion dan RM1.3 bilion bagi pembinaan bahagian-bahagian tertentu jambatan itu. Sementara itu, sebahagian besar agihan kerja yang diberikan kepada Chec tidak berubah daripada kontrak asal, tetapi yang diberikan kepada UEM Builders telah dikurangkan sebanyak RM900 juta. UEM Builders, sebelum ini dikatakan tidak begitu menyenangi pengurangan kontrak itu dan tidak menunjukkan tanda-tanda sama ada mahu menerima tugasan itu di bawah syarat-syarat sekarang. Selain itu, Ismail berkata, pembinaan jambatan kedua itu dapat mengurangkan sebanyak 20 peratus kesesakan lalu lintas yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang sedia ada. ''Secara purata, kini terdapat 100,000 kenderaan menggunakan Jambatan Pulau Pinang setiap hari dan pembinaan jambatan kedua dapat menarik sebanyak 20 peratus pengguna sedia ada. ''Kami juga akan mempunyai sistem kerjasama antara kedua-dua jambatan bagi mengelakkan kesesakan berlaku dengan memaparkan keadaan lalu lintas pada waktu sebenar di atas kedua-dua jambatan dan memudahkan pengguna memilih laluan mereka,'' jelasnya. Ketika ditanya mengenai penganugerah Pakej 3 kepada kontraktor lain, Ismail berkata, JKSB telah menutup tender tawaran dan pada bulan hadapan perbincangan pemilihan kontraktor akan dimulakan. ''Menjelang akhir Mei, kerja-kerja untuk Pakej 3 akan dapat dimulakan dan pengumuman kontraktor akan dibuat,'' katanya. Sementara itu, Awang Adek berpendapat, projek mega ini bukan hanya memberi manfaat kepada penduduk setempat tetapi juga kawasan sekitar. ''Selain mengurangkan kesesakan ia dapat merangsang pertumbuhan ekonomi. Ia juga dapat mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan China bukan sahaja dari segi kepakaran tetapi juga kewangan,'' katanya. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm
No comments:
Post a Comment