Thursday, April 22, 2010

Parah Jatuh Lubang

2 parah jatuh lubang tidak ditutup kontraktorGambar Hiasan
SUNGAI PETANI - Dua remaja cedera parah dengan salah seorang daripadanya hampir patah pinggang selepas terjatuh ke dalam lubang yang didakwa tidak ditutup oleh kontraktor yang menjalankan kerja-kerja di Jalan Kampung Baru, Pulau Sayak dekat Kota Kuala Muda, Rabu lalu. Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8 malam ketika mangsa, Mohd. Arif Ahmad dan Mohd. Asyrul Abd. Manaf, masing-masing berusia 17 tahun sedang menunggang motosikal berasingan.
Ibu Mohd. Asyrul, Zabedah Mustafa, 50, berkata, ketika kejadian, anaknya menunggang motosikal di hadapan diikuti Mohd. Arif untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Teluk Amboi, tidak sempat mengelak lubang sedalam 0.5 meter itu. "Semasa tiba di tempat kejadian ditambah pula dengan keadaan gelap, mereka hanya sempat mengelak dua lubang namun tidak sempat berbuat demikian pada lubang ketiga. "Ia mengakibatkan mereka terpelanting serta terhempas ke atas bahu jalan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini. Katanya, akibat kejadian itu, Mohd. Asyrul yang parah dengan tulang belakangnya retak dan hampir patah pinggang dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani selama dua malam. Sementara Mohd. Arif pula luka teruk di bahagian muka dan anggota badan. Lebih malang lagi, katanya, kedua-dua mereka juga mungkin menghadapi risiko cacat seumur hidup selepas disahkan mengalami keretakan teruk pada bahagian tulang belakang serta pinggang. "Saya sedih dengan kejadian yang berpunca daripada kecuaian kontraktor terbabit. Mereka tidak menutup lubang dikorek sejak beberapa minggu lalu," katanya. Zabedah mendakwa, jalan tersebut juga tidak diletakkan papan tanda amaran oleh kontraktor terlibat. Berikutan kejadian itu, katanya, pihaknya telah membuat laporan di Balai Polis Kota Kuala Muda untuk tindakan lanjut. Sementara itu, bapa Mohd. Arif, Ahmad Mustafa, 62, berkata, pihaknya kesal kerana anaknya terpaksa menanggung derita akibat kejadian berkenaan. "Sepatutnya, kontraktor tersebut perlu lebih bertanggungjawab dan tidak membiarkan kerja-kerja yang dijalankan mereka menyusahkan orang lain. "Mereka harus tampil memperbaiki keadaan jalan ini supaya kejadian seumpama tidak berulang," katanya. Beliau berkata, pihaknya juga bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat kontraktor terbabit untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya dalam tempoh terdekat.
Dua remaja parah jatuh lubang
KOTA KUALA MUDA - Dua remaja cedera parah akibat terjatuh ke dalam lubang ketika menunggang motosikal berasingan melalui jalan yang sedang dibaik pulih di Kampung Baru, di sini, Rabu lalu. Mohd Amirul Asyraf Abdul Rahim, 17, cedera pada bahagian tulang belakang, tangan, kaki dan badan manakala seorang lagi mangsa, Mohd Arif Ahmad, 17, luka parah pada bahagian pinggang dan muka. Ibu Mohd Amirul, Zabedah Mustafa, 50, berkata, anaknya tidak sempat mengelak lubang sedalam satu kaki itu akibat keadaan jalan yang gelap selain tiada papan tanda amaran. Menurutnya, kecederaan yang dialami Mohd Amirul pada bahagian tulang belakang mengakibatkan dia tidak dapat melakukan aktiviti lasak seumur hidup selepas ini selain menghadapi risiko cacat (tidak dapat berjalan) jika dia terjatuh atau mengalami kecederaan lain lagi selepas ini. “Saya sedih dengan nasib yang menimpa anak saya yang berpunca daripada kecuaian orang lain dan perkara sebegini tidak seharusnya berlaku. saya minta pihak berkenaan bertanggungjawab atas kemalangan yang menimpa anak saya. “Ini kerana semasa menunggang motosikal bersama rakannya pada malam Rabu lalu, dia mendapati ada tiga lubang sedalam satu kaki di jalan itu tanpa ada tanda amaran. Dia sempat mengelak daripada terjatuh ke dalam dua lubang namun tidak sempat mengelak pada lubang ketiga menyebabkannya terpelanting dan terhempas di atas jalan,”katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Telok Amboi, di sini. Zabedah berkata, tiga lubang itu dipercayai dikorek pihak kontraktor yang menjalankan kerja baik pulih jalan namun mereka didakwa tidak meletakkan papan tanda amaran. Menurutnya, keadaan jalan yang gelap tanpa lampu menyebabkan Mohd Amirul tidak nampak lubang berkenaan. Sementara itu, bapa kepada Mohd Arif, Ahmad Mustafa, 48, turut menyuarakan rasa kesal kerana ketiadaan papan tanda amaran menyebabkan anaknya kemalangan. “Saya kecewa kerana kecuaian pihak berkenaan menyebabkan anak saya dan rakannya ditimpa musibah yang begitu teruk,” katanya. Ahmad berkata, pihak berkenaan seharusnya tampil menunjukkan rasa simpati selain mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang lagi,” katanya. http://www.sinarharian.com.my/utr/content/story7595566.asp

No comments:

Post a Comment