Monday, April 5, 2010

Tandas Awam Kotor

MB kesal tandas awam kotor Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Datuk Ahmad Said melahirkan rasa kesal dengan sikap dan mentaliti masyarakat negeri ini yang tidak menjaga kebersihan tandas awam disediakan kerajaan sebagai kemudahan kepada mereka. Menurut Ahmad, beliau kecewa apabila tandas awam masih lagi kotor dan menjijikkan meskipun Kerajaan Negeri membelanjakan ratusan ribu ringgit setiap tahun bagi tujuan penyelenggaraan dan penjagaannya di setiap daerah. Dalam soal tandas ada dua perkara, pertama dari segi pengurusan dan penjagaan, kedua ialah mentaliti pengguna itu sendiri dan kita telah mengeluarkan belanja yang besar kepada semua tandas awam di peringkat daerah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan oleh Mohd Abdul Wahid Endut mengenai kritikan rakannya dari luar negara pada tahap kebersihan tandas di Setiu ketika singgah di sana. Berikutan pendedahan Abdul Wahid, Menteri Besar meminta Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu menghantar laporan bagi memberi penjelasan kepada Kerajaan Negeri sekiranya benar tandas tersebut tidak diuruskan sempurna. “Mungkin ada satu atau dua kes terpencil seperti ini (dan) saya minta diberi laporan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu kalau betul tandas awam yang diuruskan oleh majlis daerah ini tidak dilakukan dengan sempurna. “Kerajaan Negeri telah memberikan peruntukan yang cukup kepada majlis daerah dan majlis perbandaran bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk uruskan tandas awam,” katanya. Ahmad memberitahu, selain tandas awam beliau juga berasa malu dengan sikap orang Islam yang tidak pandai menjaga kebersihan tandas di masjid meskipun Islam mementingkan soal berkenaan. Lebih mengecewakan katanya apabila segelintir golongan ibu dan wanita dikesan membuang lampin pakai buang serta tuala wanita ke dalam mangkuk tandas bukannya ke dalam bekas yang disediakan hingga menyebabkan tandas tersumbat. Terdahulu, ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli, Menteri Besar berkata, banyak faedah dan manfaat bakal diperoleh penduduk di kawasan Dungun apabila majlis daerah itu dinaiktaraf kepada Majlis Perbandaran. “Pertama adalah pertambahan kakitangan akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat jawatan di peringkat majlis perbandaran selain tambahan bajet tahunan dan penyediaan banyak kemudahan asas,” katanya.

No comments:

Post a Comment