Monday, April 26, 2010

Pembaca Meter TNB Kena 6 Jahit

Pembaca meter TNB kena 6 jahit
Oleh Zulfa Mohamad
bhnews@bharian.com.my

PEMBACA meter TNB menerima enam jahitan di tangan kiri selepas dibaling kerangka perabot di sebuah kilang dekat Pekan Darat, Butterworth, semalam.
Mangsa dibaling kerangka perabot
BUTTERWORTH: Seorang pembaca meter Tenaga Nasional Berhad (TNB) bukan saja menerima enam jahitan di tangan kiri, malah alat pembaca meter (HHC) berharga RM10,000 turut rosak akibat dibaling kerangka perabot di sebuah kilang di Pekan Darat, di sini, semalam.
Mangsa berusia 51 tahun yang enggan namanya disiarkan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi apabila dia menunggang motosikal memasuki kilang perabot berkenaan bagi memeriksa meter. Dia yang bertugas di pejabat TNB Seberang Jaya, menunggang motosikal masuk ke dalam kilang kerana kedudukan jangka meter agak jauh. Sebaik memasuki kawasan itu, seorang pekerja kilang menjerit ke arahnya dengan mengatakan motosikal tidak dibenarkan masuk ke dalam kilang. "Berikutan itu, saya cuba berpatah balik tetapi pekerja itu serta dua rakannya membaling kerangka perabot kayu menyebabkan saya berhenti. "Mereka kemudian membaling kerangka perabot ke arah kepala saya menyebabkan saya menepis dengan tangan kiri hingga cedera. HCC turut terjatuh dan rosak," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Sungai Dua di sini. Mangsa juga mendakwa tiga pekerja terbabit berusia antara 30-an hingga 40-an menendangnya beberapa kali tetapi dia sempat mengelak. "Selepas kejadian, saya mengambil motosikal keluar. Sebelum beredar seorang pekerja mencabar saya membuat laporan polis jika berani," katanya. Semalam adalah kejadian pertama diserang sejak bekerja sebagai pembaca meter 37 tahun lalu. Pengurus Perkhidmatan Pengguna dan Pemasaran TNB Seberang Jaya, Mohd Azhar Abdul Rashid, berkata pihaknya kesal dengan kejadian itu kerana mangsa hanya menjalankan tugas. "Kami menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya.

No comments:

Post a Comment