Keadaan dalam dewan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang berikutan kejadian siling runtuh secara tiba-tiba kiri-kira pukul 3.30 petang di Lebuh Light, Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG- Siling bahagian galeri awam bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak di Lebuh Light di sini runtuh petang ini, tiga hari sebelum Persidangan Penggal Ketiga DUN Ke-12 dijadualkan berlangsung. Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, siling di galeri berkenaan yang menempatkan tempat duduk untuk orang awam, pemberita dan pencatat minit DUN runtuh secara tiba-tiba. Kejadian itu disedari oleh beberapa orang pekerja yang sedang membuat kerja-kerja rutin di kawasan berhampiran. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan kerana kebanyakan pekerja berada di luar bangunan. Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan bangunan berkenaan kira-kira pukul 6.30 petang ini mendapati beberapa pekerja, pihak polis dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang sibuk menjalankan kerja masing-masing. Namun, orang awam, pemberita dan pihak-pihak lain tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut yang dikawal rapi. Speaker DUN, Datuk Abdul Halim Hussain ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu pihaknya kini sedang menunggu laporan penuh daripada JKR berhubung insiden itu. 'Setakat ini apa yang saya diberitahu runtuhan melibatkan keseluruhan siling bahagian galeri awam yang mampu memuatkan 65 orang. ''Jika kerja-kerja membaiki kerosakan tidak dapat disiapkan dalam masa dua hari, kemungkinan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-12 yang bermula Isnin ini akan dipindahkan ke tempat yang lain. Bagaimanapun, keputusan mengenainya hanya akan dibuat bila laporan penuh diterima," katanya. Ketika ditanya kemungkinan sidang berkenaan akan ditangguh buat kali kedua bagi tahun ini, Abdul Halim berkata, pihaknya mempunyai alternatif lain. Menurutnya, antara langkah yang boleh diambil termasuk memindahkan lokasi persidangan ke kawasan lain seperti Dewan Sri Pinang, Dewan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Pada 19 April lalu, persidangan berkenaan terpaksa ditangguhkan berikutan keuzuran Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas. Beliau tidak dapat menyempurnakan majlis perasmian DUN kerana dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) ekoran masalah kesihatan. Namun, semalam beliau dibenarkan keluar dari HPP selepas menerima rawatan penyakit berkaitan paru-paru sejak 18 April lalu. Abdul Halim dijangka akan mengadakan sidang akhbar berhubung kejadian tersebut di bangunan DUN pada pukul 9.30 pagi esok.
No comments:
Post a Comment