Monday, November 9, 2009

Muka bengkak, kepala gatal

Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my

SUNGAI PETANI: “Saya terkejut kerana muka membengkak teruk dan menyangka saya sudah buta selepas tidak dapat membuka mata sebaik bangun tidur,” kata Rokiah Hamid, 46, dari Taman Delima yang terkejut mukanya tiba-tiba menjadi bengkak selepas menggunakan produk pewarna rambut tiga hari lalu. Dia berkata, selain mukanya membengkak, kepala juga mengalami kegatalan teruk selepas beberapa minit menggunakan produk itu dan keadaan semakin teruk apabila kulit kepala ditumbuhi kudis serta mengeluarkan air bisa. Kejadian berlaku selepas dia menggunakan produk pewarna rambut dari luar negara bagi menghitamkan rambutnya yang dibeli RM15 sepeket daripada syarikat jualan langsung selepas tertarik dengan ramuan tradisional yang terdapat di dalam produk berkenaan. Katanya, dia mencuba memakainya pada malam Khamis lalu, namun terkejut selepas beberapa minit kepalanya menjadi gatal. “Selain mengalami kegatalan teruk di kepala, saya juga terkejut keesokan harinya kerana tidak dapat membuka mata dan ketika saya melihat di cermin muka kelihatan bengkak. “Saya ingat sudah jadi buta kerana mata tidak boleh buka menyebabkan suami terkejut dan bertanya produk apa yang digunakan sehingga muka saya membengkak begitu teruk,” katanya.Rokiah berkata, suaminya menghubungi syarikat terbabit dan memaklumkan kejadian itu menyebabkan beberapa wakil syarikat terbabit datang melihat keadaan isterinya.Rokiah berkata, wakil syarikat itu tidak membenarkannya mendapatkan rawatan di klinik kerana masalah itu didakwa berpunca daripada tindak balas produk digunakan dan akan hilang dalam masa beberapa jam. “Mereka juga memberi enam botol ubat bagi dititik di kepala untuk menghilangkan ketumbuhan itu, namun kerana bimbang kesan sampingan lain, saya tidak memakainya dan sehingga semalam (kelmarin) sudah empat hari muka saya membengkak manakala kesan gatal di kepala juga belum hilang. “Saya terpaksa mendapatkan rawatan di sebuah klinik pakar kerana tidak tahan menanggung seksa,” katanya yang kesal kerana wakil syarikat itu terus mendiamkan diri selepas dimaklumkan bengkak dan gatal di kepala masih belum pulih.Menurutnya, dia memberikan produk itu kepada adiknya yang bertugas di makmal Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) untuk dikaji dan terkejut apabila diberitahu produk itu mengandungi sejenis asid yang boleh memberi kesan kepada penggunanya.

No comments:

Post a Comment