Friday, November 13, 2009

OSH IN SCHOOL - Pastikan Peralatan di Sekolah Selamat

Pastikan Peralatan di Sekolah Selamat
METRO / 13.11.2009
ALOR STAR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan pengurusan sekolah seluruh negara memastikan peralatan dan bangunan selamat bagi mengelakkan insiden kipas siling di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil, Selangor berulang.Beliau yang juga Menteri Pelajaran kecewa kerana aspek keselamatan di sekolah tidak diambil berat oleh pengurusan sekolah berkenaan sehingga mengundang kemalangan ke atas pelajar. “Mungkin kipas itu sudah lama tidak diperiksa sehingga ia tercabut ketika berpusing. Kejadian itu boleh dielakkan sekiranya sekolah memeriksa peralatan secara berkala dan memastikan ia selamat. “Pentadbiran sekolah terutama pengetua bertanggungjawab dan mereka kena pastikan keadaan seperti ini tidak berlaku kerana malang tidak berbau,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Gunung di sini, semalam.Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian seorang pelajar tingkatan satu sekolah itu, Fahmi Harith Abu Bakar, 13, yang terpaksa menerima lebih 10 jahitan selepas terkena satu bilah kipas siling yang terjatuh di atas meja kelasnya sehingga pipi dan mulutnya terkoyak dan menampakkan tulang rahang kira-kira jam 6 petang Selasa lalu.Katanya, pengurusan sekolah boleh meminta kerjasama Jabatan Kerja Raya membuat pemeriksaan dan tidak harus memandang ringan aspek keselamatan pelajar dalam kelas. Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata punca kipas itu terjatuh disebabkan besi penggantung yang reput dan berkarat.“Walaupun ia kali pertama berlaku, kita memandang ia sesuatu yang serius bagi memastikan insiden sama tidak berulang.“Sehubungan itu, Bahagian Perolehan dan Pengurusan Aset akan mengeluarkan pekeliling dalam tempoh terdekat supaya pemeriksaan terhadap semua pendawaian elektrik di sekolah diperiksa bagi memastikan kemalangan seumpama itu dapat dielakkan,” katanya ketika merasmikan penutupan Konvensyen Perdana Kaunselor Organisasi Pendidikan Kementerian Pelajaran di Subang Jaya, Selangor, semalam.

No comments:

Post a Comment